Bulan Syaaban merupakan bulan kedua
selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan.
Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa
sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan
untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban
adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala
macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa
untuk menerangkan hati dan jiwa.
(Dari Kitab Kelebihan Rejab, Sya`ban, Ramadhan, Ustaz Budiman Radhi)
1. Sabda Nabi s.a.w bermaksud: Apabila masuk bulan sya`ban,
baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan sya`ban atas segala bulan
seperti kelebihanku atas kamu.(Al-hadis)
2. Barangsiapa berpuasa sehari pada bulan sya`ban, diharamkan Allah
tubuhnya dari api neraka . Dia akan menjadi teman nabi Allah Yusuf a.s.
di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala nabi Allah
Ayob a.s dan nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan bulan
sya`ban, dimudahkan Allah atasnya sakratul maut dan ditolakkan
(terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada
huruhara Munkar dan Nakir, ditutup Allah keaibannya di hari Qiamat, dan
diwajibkan Syurga baginya.(Al-hadis)
3. Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan sya`ban dan
akhir khamis daripada sya`ban, dimasukkan dia ke dalam Syurga.
(Al-hadis dari kitab Al barkah).
4. Berkata Siti A`isyah r.a.h, bulan yang lebih dikasihi oleh Rasullullah s.a.w ialah bulan Sya`ban.
5. Sabda Nabi s.a.w: Sya`ban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah
bulan umatku. Sya`ban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan
Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani).(Al-Hadis).
6. Sabda Nabi s.a.w : Bahawa puasa Sya`ban kerana membesarkan
Ramadhan, siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Sya`ban,
kemudian dia berselawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa,
maka diampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatkan
rezekinya. Antara lain sabdanya lagi: Bahawa Allah ta`ala membukakan
pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat. (Al-Hadis).
7. Sabda Rasullullah s.a.w: Dinamakan Sya`ban kerana padanya
terdapat kebajikan yang amat banyak, dan puasa yang lebih afdal sesudah
(selain) Ramadhan ialah puasa bulan Sya`ban.(Al-hadis).
8. Sabda Nabi s.a.w: Bahawa kelebihan Rejab atas bulan -bulan yang
lainnya seperti kelebihan Quran ke atas segala Qalam. Kelebihan Sya`ban
atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan atas segala
ambia(nabi-nabi). Kelebihan Ramadhan atas bulan yang lain seperti
kelebihan Allah atas segala makhluknya. (Al-hadis)
9. Bulan Sya`ban, keagungan malamnya dengan malam nisfu Sya`ban,
sepertimana keagungan Rejab dengan malam Israk Mikrajnya, dan keagungan
Ramadhan dengan malam Lailatul Qadarnya. Maka pada malam Nisfu Sya`ban
telah datang Jibril kepada Rasul s.a.w lalu katanya: Angkat kepalamu
kelangit, itulah malam yang dibukakan Allah padanya tiga ratus pintu
rahmat dan diampunkan Allah sekalian orang yang tiada menyekutukan
(syirik) dengan-Nya sesuatu, kecuali tukang nujum, kekal di dalam zina,
kekal minum arak, durhaka terhadap ibubapa.(Al-hadis)
10. Sabda Nabi s.a.w: Allah menilik kepada hamba-Nya pada malam
Nisfu Sya`ban maka diampunkan dosa segala makhluknya melainkan orang
syirik dan orang yang tiada bertutur dengan saudaranya.(Al-hadis)
11. Sabdanya lagi: Apabila pada malam Nisfu Sya`ban maka berjagalah
kamu pada malamnya bersembahyang, beribadah, dan puasa kamu pada
siangnya. Allah berfirman: Adakah orang yang meminta ampun maka Aku
ampunkannya, adakah orang yang ditimpa bala` Aku a`fiatkannya. Adakah
orang yang meminta rezeki maka Aku rezekikannya, demikianlah pertanyaan
lainnya sehingga keluar fajar subuh. (Al-hadis)
12. Tersebut dalam kitab Al-berkat: Bahawa jin, burung,
binatang-binatang buas, ikan di laut berpuasa mereka pada hari nisfu
Sya`ban.
13. Tersebut di dalam kitab: Bahawa Jibril bersungguh-sungguh pada
malam Nisfu Sya`ban menunaikan segala hajat. Maka datanglah Jibril
kepada Rasullullah s.a.w kali keduanya, katanya: Ya Muhammad,
gembirakanlah kamu bahawa Allah ta`ala telah mengampunkan segala umatmu
orang yang tiada menyekutukan-Nya sesuatu. Angkatkan kepalamu, lalu
Rasullullah s.a.w pun mengankatkan kepalanya, tiba-tiba terbuka segala
pintu syurga. Dalam riwayat yang lain pula menyatakan terbuka segala
pintu langit. Pada pintu langit pertama malaikat menyeru kemenangan
bagi orang yang rukuk pada malan ini. Pada pintu langit yang kedua,
malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang sujud pada malam ini. Pada
langit yang ketiga, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang minta
doa pada malam ini. Pada pintu langit keempat, malaikat menyeru
kemenangan bagi orang yang berzikir pada malam ini. Pada pintu langit
kelima, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang menangis takutkan
Allah subhanahuwa ta`ala pada malam ini. Pada pintu langit keenam,
malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang mengerjakan amal kebajikan
pada malam ini. Dan pada pintu langit yang ketujuh, malaikat menyeru
kemenangan bagi orang yang meminta, maka dikurniakan permintaannya itu,
dan pada pintu langit yang kelapan malaikat menyeru: Adakah orang yang
meminta ampun maka diampunkan baginya. Bertanya aku kepada Jibril,
sampai bilakah terbukanya semua pintu ini (diterima doa), Jibril
menjawab: Sehingga naik fajar subuh. Dan katanya lagi: Pada malam ini
dimerdekakan hamba-Nya yang mukmin lelaki perempuan dari api neraka
sebanyak bulu kambing bani kalab (bani kalab diantara orang-orang arab
yang paling banyak memelihara kambing). Dalam satu riwayat yang lain
pula bahawa Allah memerdekakan hamba-Nya daripada neraka sebanyak
bintang-bintang dilangit dan sebanyak hari dunia dan malamnya. Pada
malam inilah dihantarkan Allah akan jibril ke Syurga untuk menghiasi
syurga.
14. Barangsiapa membaca,
(Tiada tuhan melainkan Allah, tiada kami sembah melainkan Dia,
dengan ikhlas lagi teguh atas dasar agama (tauhid) walaupun dibenci
oleh orang-orang kafir)
ditulis Allah baginya ibadat seribu tahun, dan dihapuskan
daripadanya dosa seribu tahun, dan keluarnya dari kubur, mukanya
seperti bulan purnama dan ditulis pada Allah taa`la orang benar siddiq
(orang yang benar).
15. Allah tidak akan mengampunkan dosa pada malam nisfu sya`ban enam orang;
1) Orang yang kekal minum arak
2) Orang yang durhaka kepada ibubapa
3) Orang yang kekal dalam zina
4) Orang yang banyak berkelahi
5) Orang yang melakukan perjualannya dengan sumpah yang dusta
6) Orang yang memperlakukan orang supaya kelahi (Al-hadis).
16. Riwayat daripada Usman, sabda baginda Rasullullah s.a.w: Pada
malam nisfu Sya`ban setelah berlaku 1/3 malamnya, Allah turun ke langit
dunia lalu berfirman: Adakah orang-orang yang meminta maka Aku
perkenankan permintaannya, adakah orang yang meminta ampun maka Aku
ampunkannya, adakah orang yang bertaubat maka Aku taubatkan akannya,
dan diampunkan bagi sekalian orang mukmin lelaki perempuan, melainkan
orang yang berzina atau orang yang berdendam marah hatinya kepada
saudaranya. (Al-hadis)
17. Sabda Nabi s.a.w: Ya A`isyah! Adakah engkau izinkan aku
sembahyang pada malam ini? Jawab A`isyah: Ya, aku izinkan lalu nabi pun
bersembahyanglah sepanjang malam nisfu Sya`ban itu, beliau sujud
terlalu lama masanya, sehingga aku sangka beliau telah diambil ruhnya
(mati), lalu aku tutupkannya dengan kain, aku letakkan tanganku di atas
dua tapak kakinya. Maka bergerak ia, gembiralah aku kerana beliau
masih bernafas lagi, dan aku dengar beliau membaca di dalam sujudnya:
(Aku berlindung dengan kemaafan Engkau daripada siksa Engkau, dan
aku berlindung dengan keredhaan Engkau daripada kehinaan Engkau, dan
aku berlindung dengan Engkau daripada kejahatan yang datang daripada
Engkau, aku tiada terhingga memuji Engkau sepertimana Engkau memuji
diri Engkau). Nabi menyuruh A`isyah mengamalkan doa ini dalan sujud.
(Al-hadis)
18. Sesiapa sembahyang pada malam nisfu Sya`ban daripada umat
Muhammad s.a.w terlebih afdal daripada ibadatnya 400 tahun. Demikian
Allah memberi tahu kepada nabi Isa a.s lalu Isa a.s pun berdoa kepada
tuhan: “Mudah-mudahan aku daripada umat Muhammad s.a.w”.
(Nabi Isa akan diturunkan di akhir zaman untuk menegakkan syiarkan Islam menentang orang musyrikin, insyaallah).
19. Telah disebut empat malam istimewa tentang beribadah (berbuat
amal kebajikan), iaitu malam Nisfu Sya`ban, malam Aidil Fitri pertama, malam Aidil Adha pertama,
dan malam Arafah. Disambungkan malam Lailatul Qadar kerana bahawasanya
malam rahmat dan merdeka daripada api neraka. Sesiapa sepanjang malam
Ramadhan atau sepanjang sepuluh yang terakhir daripada Ramadhan umat
Muhammad s.a.w berlumba-lumba dalam ibadah dengan berjaga malamnya.
Demikian pula saat mustajab doa pada hari jumaat. Demikian pula
disambungkan Asma Allah Al Azdhim (nama Allah yang teragung) di dalam
Asmaul Husna yang amat mustajabkan doa padanya.
Amalan pada malam Nisfu Sya`ban.
Apabila telah selesai sembahyang
Maghrib, hendaklah bi baca surah “Yaa Sinn” dengan niatkan mohon
panjangkan umur dalam mentaati Allah, kemudian dibaca doa-doanya.
Kemudian dibacakan surah “Yaa Sinn” pula kali keduanya dengan diniatkan
diluaskan Allah rezekinya yang halal dan diberkati-Nya, kemudian lalu
dibacakan doa-doanya. Kemudian dibacakan surah “Yaa Sinn” kali
ketiganya pula serta diniatkan minta ditetapkan iman dan mati dalam
iman, kemudian dibacakan doa-doanya.
http://panduanpercuma.info/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan