Home Klik Di Bawah

Rabu, 3 Jun 2015

KISAH MENANTU SOMBONG & QUEEN CONTROL INI WAJAR BUKA MATA

"RAMAI dalam kalangan kaum wanita yang sudah berumahtangga, mereka boleh berdikari walaupun tanpa suami di sisi. Namun tidak ramai antara mereka lemah seperti saya sentiasa takut, tidak berani bertindak, sebaliknya saya sentiasa bergantung, sama ada dengan ibu atau pun anak, setelah ketiadaan suami.

“Inilah keadaan diri saya. Saya mengaku lemah dan tidak berani bertindak sendirian. Nasib saya bekerja, jika tidak saya boleh mati tegak, sebab tak tahu apa patut saya buat selepas kematian suami. Nasib ada anak lelaki sulung. Izat namanya dialah tempat saya bergantung dan berbincang sebelum saya buat keputusan’’. Itu cerita Rosnani dalam e-melnya.
 

“Ketika itu Izat belum kahwin, masih belajar di universiti dalam tahun akhir, tetapi dia jadi kekuatan saya bersama tiga orang lagi anak-anak saya yang masih belajar. Sebenarnya saya bukan penakut, tetapi tak berani buat keputusan, sebab sepanjang berkahwin suamilah buat keputusan, saya jadi pak turut. Segala tindakannya saya tak pernah bantah.

“Suami saya meninggal ketika usianya baru masuk 50 tahun. Jadi anak lelaki sayalah yang menguruskan semua urusan harta, pencen, ansuran dan sebagainya. Saya cuma bertanya apa yang belum dan sudah dilakukannya. Pendek kata dialah harapan saya.

“Pencen suami yang saya dapat tak banyak, tetapi dapat tampung perbelanjaan pelajaran anak-anak, sementara Izat ada biasiswa. Dia nasihatkan saya apa patut dan tak patut saya lakukan. Namun saya ada sampaikan hasrat arwah suami yang ingin besarkan rumah yang kami diami ini untuk keselesaan anak-anak yang semakin membesar dan untuk buat kenduri kahwin mereka nanti jika ada rezeki.

“Untung Izat tak bantah, malah dia buat cadangan macam mana kami boleh lakukan untuk besarkan rumah. Paling tidak hajat ayahnya hendak besarkan dapur dan tambah sebuah bilik akan tercapai. Tapi duit tak cukup. Kata Izat saya kena sabar setahun dua lagi untuk kumpul duit dicampur dengan sedikit duit tinggalan arwah untuk besarkan rumah.

“Kata Izat dia izinkan saya gunakan duit tinggalan ayahnya yang menjadi hak mereka untuk besarkan rumah, malah anak anak lain pun izinkan. Lagi pun rumah itu untuk kebaikan semua bukan saya sahaja.

“Saya yang tak faham bab faraid ikut saja keputusan Izat. Malah Izat mohon saya berdoa supaya dia lulus cemerlang dan cepat dapat kerja, bolehlah dia turut bantu saya. Ketika itu besarnya hati hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Saya rasa betuah dapat anak seperti Izat sanggup bantu saya yang lemah ini. Malah Izat berjanji bila bekerja nanti dia akan bantu adik-adik kalaupun bukan dengan wang ringgit, tetapi dia akan menasihati mereka. Dan lebih penting dia tidak akan segera kahwin hinggalah anak kedua saya masuk universiti.

“Tetapi kita manusia mampu merancang, Allah menentukan dan Allah sentiasa menguji hambanya tanpa disedari. Selepas setahun bekerja, tiba-tiba satu hari Izat beritahu saya dia nak kahwin. Ketika itu terasa gelap mata saya mendengar kata-kata Izat. Kelu rasanya lidah untuk bertanya. Terkedu saya seketika.

“Katanya dia sudah lama berkawan dan mereka sama-sama belajar di universiti dahulu. Katanya lagi dia tak boleh tangguh lagi sebab keluarga temannya itu sudah mendesak supaya cepat kahwin. Selepas tersedar daripada terkedu, saya tanya Izat macam mana dengan janjinya dulu. Rumah belum dibuat, janjinya dulu dia hendak membantu. Tetapi jika dia kahwin segera, tentu urusan membesarkan rumah akan terbengkalai.

“Maklumlah bila hendak berkahwin, Izat pasti dahulukan hasratnya mengumpul duit buat hantaran belanja, belanja kenduri kahwin, hantaran persalinan dan macam-macam lagi. Kata Izat saya tak perlu buat kenduri di rumah, tak perlu besarkan rumah, sebab urusan kenduri kendara hanya akan dibuat sebelah perempuan sahaja. Tapi hasrat saya ingin juga buat kenduri di rumah sendiri, paling kurang lima dulang nasi.

“Saya suruh Izat dan temannya berunding dan minta tangguh paling kurang setahun dua, sebab saya ingin besarkan rumah dan nak buat tambahan bilik. Kini tiba pulak giliran Izat termenung. Sebab dulu dia yang berjanji akan bantu saya.

“Sementara itu Izat hendak bawa kawannya jumpa saya dan berkenalan. Saya tak ada halangan, tapi saya ingatkan Izat, lagi cepat dia datang jumpa saya lagi cepat dia mahu segera dinikahkan. Paling tidak dia hendak segera bertunang. Tetapi Izat nafikan, sebulan kemudian dia bawa kekasihnya Intan Adlina jumpa saya di rumah.

“Tepat seperti diduga, Intan mendesak supaya mereka segera bertunang. Sedangkan ketika dia datang ke rumah saya, dia tidak sebut pasal bertunang, dia banyak berdiam diri sambil melihat keadaan rumah kami. Sebenarnya pada pandangan saya Izat masih muda lagi belum pun 25 tahun, jadi mengapa mesti kahwin segera. Lagi pun dia ada tanggungjawab yang belum beres. Sementara Intan baru habis belajar belum pun bekerja.

Janji

“Dalam kerisauan, saya terus meminta Izat supaya bersabar, paling tidak kami mesti besarkan rumah dahulu. Saya tak mahu duit arwah yang terkumpul terpakai, maklumlah duit dalam tangan dan saya bimbang hasrat arwah ayahnya tak kesampaian.

“Saya janji pada Izat kalau nak bertunang pun tunggulah hingga rumah siap. Sebab saya tak tahu nak pilih kontraktor. Macam mana nak reka bentuk bilik dan sebagainya.

“Tambah kecut perut rasanya bila memikirkan mampukah saya mengendalikan anak-anak yang sedang belajar, nak buat tambahan rumah kalau Izat teruskan juga hasratnya nak bertunang dan berkahwin. Kerana itu saya minta Izat bersabar dahulu.

“Syukur Izat dengar hasrat saya, dan segerakan hasrat membina rumah walaupun terpaksa mengecilkan binaan kerana duit tak cukup, sebab Izat tak bantu kerana hendak guna duit untuk kahwin. Sebaik rumah siap Izat mohon hasratnya ingin bertunang dipenuhi. Saya terpaksa ikut. Bila urusan meminang tiba di rumah Intan, ayahnya terus meminta supaya ditiadakan pertunangan dan meminta perkahwinan disegerakan.

“Alasannya dia tak mahu urusan yang baik (berkahwin) dilewatkan, malah katanya bina rumah boleh tangguh, tetapi urusan perkahwinan mesti disegerakan kerana itu lebih wajib dan dia tak mahu tanggung dosa. Terkedu saya dengar ketegasannya. Lebih sedih bila dengar suara ayah Intan yang kasar menyindir dan malukan saya dihadapan rombongan kami. Agaknya kerana saya perempuan tidak ada suami, maka dia boleh bersuara sesuka hati. Meleleh air mata saya terasa dimalukan depan khalayak ramai.

“Kerana di desak, saya ikut kehendak Izat dan ayah Intan. Enam bulan kemudian majlis perkahwinan berlangsung. Selepas kahwin saya bukan sedih kerana Izat pindah, tetapi kecewa bila Izat tidak boleh balik ke rumah sesuka hati. Sebagai contoh, setiap kali Izat datang ke rumah, setengah jam kemudian Intan telefon suruh pulang.

“Lepas kenduri dahulu semua orang puji saya bertuah dapat menantu terpelajar dan cantik. Tetapi mereka tak tahu saya sedih sebab saya tahu perangai Intan tidak sebaik wajahnya. Sejak mula berkawan dengan Izat lagi dia kawal pergerakan Izat. Dia langsung tak berbudi bahasa apabila bercakap dengan adik beradik Izat, dengan saya dia langsung tak bercakap. Perangainya lebih teruk selepas berkahwin.

“Agaknya pada fikiran Intan setelah berkahwin keluarga suami tidak perlu lagi, yang lebih penting cuma menjaga dirinya sebagai isteri sahaja. Tetapi sedarkah Intan bahawa hubungan antara ibu dan anak tidak akan putus, tetapi antara isteri dan suami bila-bila boleh terpisah. Dan tahukah Intan bahawa ibu menjadi tanggungjawab anak lelaki paling utama selain ayah dan adik beradiknya, jadi tahukah Intan di mana kedudukan dirinya sebagai isteri?

“Saya tak bencikan menantu, saya terima apa juga pilihan anak saya, tetapi jangan cuba pisahkan ibu dengan anaknya! Jangan persoal berapa kali Izat balik ke rumah ibunya dalam sebulan. Seperti yang dikatakan, saya perlukan Izat kerana dia anak lelaki sulung dan tiga orang lagi anak-anak saya semuanya perempuan. Mereka juga perlukan nasihat abangnya kerana itulah caranya kami dibentuk oleh arwah suami saya.

“Saya sedih sejak tiga tahun berkahwin, cuma tiga kali Intan datang ke rumah kami itupun pada hari raya keempat. Adakah menantu anda buat seperti itu kepada anda? Saya tak faham mengapa menantu saya benci sangat pada kami. Kesimpulannya, saya nasihatkan kaum wanita jangan jadi macam saya terlalu bergantung pada suami, kerana bila suami tidak ada, isteri jadi macam orang bodoh.

“Kepada kaum wanita janganlah meletak harapan terlalu tinggi kepada anak, kerana biasanya anda akan kecewa setelah anak berkahwin, tak kira anak lelaki ataupun perempuan. Nasihat saya kepada wanita didiklah anak-anak supaya sayangkan ibu mertua sama seperti dia sayangkan ibu sendiri. Dan sayangilah mertua anda seperti anda menyayangi suami anda.’’ Itu cerita Rosnani tentang pengalaman pahitnya bermenantu.

--Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan