Bila kita pandang muka bayi yang baharu lahir, terasa tenang dan damai sangat kan. Kenapa agaknya? Muka bayi yang bersih dan suci itu sendiri memberikan ketenangan kepada kita bahkan kalau  rasa tertekan, kita disarankan pandang muka bayi.

Sedar atau tidak sebenarnya kita boleh belajar banyak perkara daripada seorang bayi baharu lahir yang hanya terbaring tanpa boleh melakukan apa-apa.


  1. Belajar Tentang Kejujuran
Saat bayi anda mahukan sesuatu keperluannya seperti susu, ditukarkan lampin, tidur atau mahu didukung dia menggunakan suara tangisannya sebagai alat komunikasi. Suaranya itulah membuatkan kita segera memenuhi keperluannya. Cuba lihat wajah si kecil ketika itu. Terpancar kejujuran tentang apa yang dia perlukan. Selepas bayi mendapat apa yang diperlukan, terpancar pula kegembiraannya tanpa sebarang penipuan. Si kecil memberitahu dengan jujur apa yang dia inginkan dan dirasakan.
  1. Belajar Lebih Prihatin
Bayi keluar dari rahim ibunya ke dunia ini tanpa apa-apa. Dalam kedinginan dan tidak mampu berbuat apa-apa kecuali menyusu, buang air, menangis dan tidur si kecil amat memerlukan pertolongan ibu ayahnya. Dalam ketidakupayaannya, dia perlukan ibu dan ayah ada di sisi setiap saatnya. Justeru, dia mengajar kita untuk menjadi lebih prihatin dan belas kasihan dengan orang-orang di sekeliling.
  1. Belajar Untuk Sabar
Bukan mudah melayan kerenah bayi kecil yang sukar difahami keinginannya. Minggu-minggu awal kelahiran bayi, anda sedaya upaya memahami tingkah lakunya hanya menerusi tangisan si kecil. Awalnya memang kita hampir kalah dan tidak faham apa yang diinginkan. Tetapi lama kelamaan kita semakin cekap dan mahir memenuhi keperluannya hanya dari sebuah tangisan.
  1. Belajar Merendah Diri
Kadangkala ada sesetengah kita terlalu angkuh dengan ego yang dimiliki. Tetapi percayalah bayi yang kecil dan tidak mampu melakukan apa-apa itu boleh mengubah segalanya. Dia tidak pernah peduli ayah atau ibunya seorang yang ternama, terkaya, terkenal dan sebagainya kerana apa yang dia tahu, dari kerdipan matanya yang hening, senyumannya yang manis dan gerakan kecil yang dilakukan mampu membuatkan si ayah dan ibu belajar merendah diri dan tidak angkuh dengan apa yang dimiliki.
  1. Belajar Merasa Bahagia
Kita akan tersenyum bahagia saat melihat anak kita tidur, menyusu, tersenyum dan sebagainya lagi. Setiap saat bersama bayi kecil adalah anugerah terindah yang Allah kurniakan. Mungkin sebelum kehadirannya kita tidak perasan makna bahagia dari sebuah kesederhanaan yang mampu diperoleh daripada insan kecil bernama bayi.
pama