Home Klik Di Bawah

Isnin, 6 Julai 2015

Bagaimana Anda Boleh Mencintai Seseorang?


cinta-perasaan
“Perasaan CINTA akan menjadi LEMAH apabila perasaan RAGU mengatasi perasaan PERCAYA. Perasaan CINTA akan menjadi KUAT apabila anda belajar untuk PERCAYA walaupun di dalam RAGU.”
Sesungguhnya perasaan cinta merupakan suatu perasaan yang tidak boleh digambarkan dengan perkataan dan ia bersifat kompleks. Ia merupakan adunan kelembutan perasaan, kesetiaan dan rasa hormat di antara satu dengan yang lain. Cinta merupakan sesuatu yang terjadi dengan sendiri seperti ia merupakan satu takdir yang tidak boleh dirancang dan tidak dapat dilukiskan melalui karangan. Tip kali ini memberi panduan kepada anda untuk merasai nikmat bercinta.


1. Perasaan Cinta Tidak Boleh Dipaksa.
Tiba-tiba perasaan itu ada. Anda sangat menyukai orang itu. Hanya anda sahaja yang tahu mengapa. Anda tidak dapat tidur kerananya. Sesuatu harus dilakukan agar anda dapat kepastian bahawa perasaan anda itu berbalas ataupun tidak. Jika berbalas, bermakna jalan anda untuk bersamanya akan menjadi mudah. Jika tidak, jalannya mungkin agak sukar dan anda kena belajar untuk menjinakkan hatinya agar terpaut dengan anda.

2. Cinta Perlukan Masa Untuk Tumbuh
Kadang-kadang ia memerlukan sehari, seminggu, sebulan, setahun dan mungkin bertahun-tahun. Cinta ibarat benih pokok yang perlu disemai, disiram dan dibajai. Terlalu banyak ulat dan serangga menjadi pengacau dan pengganggu. Cinta yang dipupuk baik akan menjadi pokok yang akan memberikan hasil yang cantik dan baik. Anda akan terpegun dan akan merasa puas apabila pokok cinta anda matang, kuat dan akan dapat memberi kedamaian kepada jiwa anda. Anda perlu tekun untuk memupuk dan perlu bersabar untuk menunggunya menjadi matang dan masak.

3. Cintai Dia Secara Seluruhnya.
Cintailah dia keseluruhannya. Anda tidak boleh mencintai hanya kepada rupa parasnya sahaja. Rupa paras akan luntur bersama cinta anda. Anda tidak perlu melihat hartanya untuk menjadikan cinta anda sebagai umpan. Cinta yang anda jadikan umpan itu akan habis secepat punahnya harta yang anda buru itu. Cintailah dirinya kerana keistimewaan yang anda rasakan ada padanya. Terimalah dia seadanya. Terimalah apa yang dia suka dan jauhilah apa yang dia benci. Cinta anda kepadanya adalah tanpa syarat, dia juga apabila menyedari pengorbanan anda, akan memberikan cintanya kepada anda juga tanpa syarat. Cinta tanpa syarat akan kekal hingga ke akhir hayat.

4. Komunikasi
Dia tidak akan tahu yang cinta anda sangat mendalam jika anda tidak memberitahunya atau tidak anda buktikan melalui perbuatan dan perlakuan. Anda bersimpati kepadanya ketika dia di dalam kesusahan, anda menyedari dia memerlukan anda sewaktu dia sangat memerlukan dan anda dapat meneka apa yang cuba dia sampaikan kepada anda. Anda adalah pakaiannya dan dia adalah pakaian anda. Ada penghargaan, ada kasih sayang dan ada pengorbanan. Semuanya disampaikan melalui komunikasi yang boleh difahami oleh kedua-duanya. Komunikasi yang baik dan mesra adalah kunci untuk membuka peti cinta yang abadi.

5. Hadir
Anda hadir ketika dia memerlukan anda. Ada ketikanya anda tidak dapat melakukannya, tetapi ada cara untuk membuatkan dia merasa anda hadir walaupun anda berjauhan dengannya. Kehadiran anda membuatkan dia bertenaga. Tenaga itulah yang menyemarakkan perasaan dan menyuburkan cinta untuk bersemi di dalam diri.

6. Kerana Nya
Tidak ada cinta yang lebih agung apabila cinta itu disandarkan kepada Yang Maha Pencipta. Dialah sumber segala yang wujud di alam maya ini. Cinta berlandaskan kepada Nya akan mengiring kita ke syurga. Nikmat cinta yang abadi dan kekal ini ialah nikmat cinta yang direstui oleh Allah swt. Siti Khadijah menghantar makanan kepada nabi di malam yang gelap gelita yang penuh bahaya, mendaki gua Hira …demi cintanya kepada suami dan cintanya kepada kepercayaan yang dianuti suaminya. Cinta Siti Khadijah adalah cinta agung tanpa syarat.
 http://ramlanhamzah.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan