وَيُرۡسِلُ ٱلصَّوَٲعِقَ فَيُصِيبُ بِہَا مَن يَشَآءُ
"....... dan Allah melepaskan halilintar, lalu menimpakannya kepada siapa yang Dia kehendaki." [Surah Ar-Ra'd : 13]
Telah diriwayatkan sebuah hadits berkenaan dengan asbabun nuzul ayat ini
oleh Al-Hafiz Abu Ya'la Al-Mausuli; telah menceritakan kepada kami
Ishaq, telah menceritakan kepada kami Ali ibnu Abu Sarah Asy-Syaibani,
telah menceritakan kepada kami Sabit, dari Anas, bahawa Rasulullah S.a.w
mengirimkan seorang lelaki kepada seseorang dari kalangan orang-orang
Badwi yang kafir. Beliau S.a.w memerintahkan kepada pesuruhnya itu,
"Pergilah dan serulah dia untuk memeluk (agama)ku!"
Pesuruh itu berangkat menuju tempat lelaki Badwi itu. Setelah datang,
dia berkata kepadanya, "Rasulullah S.a.w menyerumu!" Lelaki Badwi itu
bertanya, "Siapakah Rasulullah, dan apakah Allah itu, apakah dari emas
ataukah dari perak atau dari tembaga?"
Pesuruh Rasulullah S.a.w kembali menghadap kepada Rasulullah S.a.w dan
menceritakan apa yang dialaminya, Dia berkata kepada Nabi S.a.w, "Telah
aku ceritakan kepadamu bahawa orang itu jauh lebih ingkar daripada apa
yang diperkirakan. Dia mengatakan anu dan anu kepadaku (menunjukkan
keingkarannya)." Rasulullah S.a.w bersabda kepadaku, "Pergilah lagi kamu
kepadanya!"
Pesuruh Rasulullah S.a.w berangkat lagi kepadanya untuk kedua kalinya,
dan lelaki Badwi yang diserunya mengatakan hal yang sama dengan
sebelumnya. Maka pesuruh Rasulullah S.a.w kembali dan berkata kepada
Rasulullah S.a.w, "Wahai Rasulullah, telah aku ceritakan kepadamu bahawa
dia lebih ingkar daripada itu."
Rasulullah S.a.w bersabda kepadanya. "Kembalilah kamu dan serulah dia!"
Pesuruh Rasulullah S.a.w kembali kepada lelaki Badwi itu untuk yang
ketiga kalinya, tetapi lelaki Badwi itu mengeluarkan jawapan yang sama
kepada utusan Rasulullah. Ketika sedang berbicara dengan utusan
Rasulullah, tiba-tiba Allah mengirimkan awan di atas kepala lelaki Badwi
itu, lalu awan tersebut mengeluarkan guruhnya, dan petir (halilintar)
menyambar lelaki Badwi itu mengenai kepalanya sehingga kepalanya hilang.
Maka Allah S.w.t menurunkan firman-Nya;
"....... dan Allah melepaskan halilintar, lalu menimpakannya kepada siapa yang Dia kehendaki." [Surah Ar-Ra'd : 13]
Ibnu Jarir meriwayatkannya melalui hadits Ali ibnu Abu Sarah dengan
sanad yang sama. Al-Hafiz Abu Bakar Al-Bazzar meriwayatkannya dari Abdah
ibnu Abdullah, dari Yazid ibnu Harun, dari Dulaim ibnu Gazwan, dari
Sabit, dari Anas, lalu disebutkan hal yang semisal. Al-Bazzar
mengatakan, telah menceritakan kepada kami Al-Hasan ibnu Muhammad, telah
menceritakan kepada kami Affan, telah menceritakan kepada kami Aban
ibnu Yazid, telah menceritakan kepada kami Abu Imran Al-Juni, dari Abdur
Rahman ibnu Sahhar Al-Abdi. Disebutkan bahawa Nabi S.a.w pernah
mengutusnya kepada seseorang yang berlaku sewenang-wenang untuk
menyerunya agar memeluk Islam. Tetapi lelaki yang diserunya bertanya,
"Bagaimanakah menurut kalian tentang Tuhan kalian, apakah dari emas,
atau dari perak atau dari permata?" Ketika lelaki yang diseru itu
membantah mereka yang menyerunya, tiba-tiba Allah mengirimkan segumpal
awan, lalu awan itu mengeluarkan suara guruhnya, kemudian Allah
melepaskan halilintar mengenai lelaki yang diseru itu sehingga kepalanya
hilang. Dan turunlah ayat ini.
[Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, Surah ar-Ra'd, ayat 13]
Dalam riwayat an-Nasai'e dan al-Bazzar, dari Anas, ada dikemukakan
bahawa Rasulullah mengutus seorang sahabatnya kepada pembesar jahiliyah
untuk mengajaknya beriman kepada Agama Allah. Berkatalah pembesar itu,
"Apakah Tuhan yang engkau ajak supaya aku menyembahNya itu dibuat
daripada besi, tembaga, perak atau dari emas?" Kemudian utusan itu
kembali melaporkan kejadian tersebut kepada Rasulullah. Kemudian
Rasulullah S.a.w menyuruhnya kembali kepada pembesar tersebut sebanyak
tiga kali dan Allah mengirim petir untuk menyambarnya sehingga terbakar.
Maka turunlah ayat ini (Ar-Ra'd, ayat 13) berkenaan dengan peristiwa
tersebut.
[Imam as-Suyuthi - Lubaabun Nuquul fii Asbaabin Nuzuul]
Kisah Amir ibnut Tufail dan Arbad ibnu Rabi 'ah
Berhubung dengan asbabun nuzul ayat ini ulama tafsir menceritakan kisah
Amir ibnut Tufail dan Arbad ibnu Rabi 'ah ketika keduanya tiba di
Madinah dan menghadap kepada Rasulullah S.a.w, lalu keduanya meminta
separuh dari urusan itu buat mereka berdua kepada Rasulullah S.a.w.
Tetapi Rasulullah S.a.w menolak permintaan mereka berdua. Maka Amir
ibnut Tufail berkata kepada Rasulullah S.a.w, "Ingatlah, demi Allah,
sesungguhnya aku benar-benar akan memenuhi kota Madinah untuk
memerangimu dengan pasukan berkuda dan pasukan jalan kaki."
Maka Rasulullah S.a.w menjawabnya, "Allah pasti menolakmu melakukan hal
tersebut, demikian juga orang-orang Ansar." Kemudian keduanya berniat
akan membunuh Rasulullah S.a.w. Untuk itu, salah seorang dari keduanya
mengajak Rasulullah S.a.w berbicara, sedangkan yang lainnya menghunus
pedang untuk membunuh Rasulullah S.a.w dari arah belakang. Akan tetapi,
Allah S.w.t melindungi diri Rasulullah S.a.w dari perbuatan keduanya dan
menjaganya.
Akhirnya keduanya pergi meninggalkan kota Madinah, lalu berkeliling
menemui kabilah-kabilah Arab Badwi, mengumpulkan orang-orangnya untuk
memerangi Rasulullah S.a.w. Maka Allah mengirimkan awan yang mengandungi
halilintar kepada Arbad, kemudian Arbad mati terbakar disambar
halilintar. Adapun Amir ibnut Tufail, Allah mengirimkan penyakit ta'un
kepadanya; akhirnya tubuh Amir terkena penyakit bisul yang besar,
sehingga Amir merintih-rintih kesakitan dan berkata, "Hai keluarga Amir,
aku diserang bisul seperti bisul bonggol unta, dan kematianku sudah
dekat, iaitu di rumah keluarga Saluliyah." Akhirnya matilah keduanya.
Semoga mereka berdua dilaknat oleh Allah. Berhubung dengan peristiwa
seperti itu Allah menurunkan firman-Nya;
"....... dan Allah melepaskan
halilintar, lalu menimpakannya kepada siapa yang Dia kehendaki, dan
mereka berbantah-bantahan tentang Allah." [Ar-Ra'd: 13]
Al-Hafidz Abul Qasim At-Thabrani mengatakan, telah menceritakan kepada
kami Mas'adah ibnu Sa'id Al-Attar, telah menceritakan kepada kami
Ibrahim ibnul Munzir Al-Hizami, telah menceritakan kepadaku Abdul Aziz
ibnu Imran, telah menceritakan kepadaku Abdur Rahman dan Abdullah
(keduanya anak Zaid ibnu Aslam), dari ayahnya, dari Ata ibnu Yasar, dari
Ibnu Abbas, bahawa Arbad ibnu Qais ibnu Hazz ibnu Jalid ibnu Ja'far
ibnu Kilab dan 'Amir ibnut Tufail ibnu Malik tiba di Madinah untuk
menemui Rasulullah S.a.w. Lalu keduanya menemuinya, ketika itu
Rasulullah S.a.w sedang duduk, maka keduanya duduk di hadapan Rasulullah
S.a.w.
Amir ibnut Tufail berkata, "Hai Muhammad, apakah yang akan engkau
berikan kepadaku jika aku masuk Islam?" Rasulullah S.a.w bersabda,
"Engkau akan memperolehi hak seperti kaum muslim lainnya dan mempunyai
kewajiban yang sama dengan mereka."
Amir ibnut Tufail berkata lagi "Apabila aku masuk Islam, mahukah engkau
jika aku memegang tampuk pemerintahan selepasmu?" Rasulullah S.a.w
bersabda, "Hal itu bukanlah untukmu, bukan juga untuk kaummu, tetapi
engkau boleh memegang tali kendali kuda (memimpin pasukan berkuda)."
Amir menjawab, "Sekarang saya adalah pemimpin pasukan berkuda Najd.
Berikanlah kepadaku kekuasaan ke atas daerah-daerah pedalaman, dan
engkau mempunyai kekuasaan di daerah-daerah perkotaan."
Rasulullah S.a.w menjawab, "Tidak." Ketika keduanya telah pergi dari
hadapan Rasulullah S.a.w, berkatalah Amir, "Ingatlah, demi Allah,
sesungguhnya aku akan memenuhi kota Madinah dengan pasukan berkuda dan
pasukan jalan kaki untuk memerangimu." Rasulullah S.a.w menjawabnya,
"Allah pasti mencegahmu."
Setelah Arbad dan Amir keluar dari sisi Rasulullah S.a.w, Amir berkata,
"Hai Arbad, aku akan menyibukkan Muhammad darimu dengan pembicaraan,
lalu pukullah dia olehmu dengan pedang. Kerana sesungguhnya orang-orang
Madinah itu (bila kamu membunuh Muhammad) paling tidak tuntutan mereka
adalah diyat. Mereka pasti tidak mahu berperang, maka kita beri mereka
diyat-nya." Arbad berkata, "Akan saya lakukan."
Keduanya kembali lagi menemui Rasulullah S.a.w. Amir berkata, "Hai
Muhammad, kemarilah bersamaku, aku akan berbicara denganmu." Rasulullah
S.a.w bangkit dan pergi bersama Amir, lalu Keduanya duduk dekat pagar
kebun kurma. Amir berbincang-bincang dengan Rasulullah S.a.w, sedangkan
Arbad menghunus pedangnya. Tetapi ketika Arbad meletakkan tangannya pada
gagang pedang, tiba-tiba tangannya kaku dan menempel pada gagang
pedangnya sehingga dia tidak dapat mencabut pedang.
Ketika Arbad dalam keadaan demikian, dalam waktu yang cukup lama
dirasakan oleh Amir, tiba-tiba Rasulullah S.a.w berpaling ke belakang
dan melihat Arbad dalam posisinya yang demikian, maka beliau pergi
meninggalkan keduanya.
Akhirnya Amir dan Arbad pergi dari hadapan Rasulullah S.a.w, dan ketika
keduanya telah sampai di Al-Harrah (iaitu Harrah Raqim) keduanya turun
beristirehat. Sa'd ibnu Mu'az dan Usaid ibnu Hudair keluar (dari
Madinah) mengejar keduanya. Sa'd dan Usaid berkata, "Tunjukkanlah
dirimu, hai dua orang lelaki musuh Allah; semoga Allah melaknatmu
berdua!" Amir bertanya, "Siapakah temanmu itu, hai Sa'd?" Sa'd menjawab,
"Ini adalah Usaid ibnu Hudair, panglima pasukan."
Keduanya pergi dari Madinah. Ketika sampai di Ar-Raqm, Allah mengirimkan
halilintar bagi Arbad, lalu halilintar menyambarnya hingga mati.
Sedangkan Amir ketika dia sampai di Al-Kharim, Allah menimpakan penyakit
bisul yang membinasakannya.
[Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, Surah ar-Ra'd, ayat 13]
unikversiti
Tiada ulasan:
Catat Ulasan