Home Klik Di Bawah

Khamis, 9 Julai 2015

Perkara Yang Membawa Kepada Kemuliaan

Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya dapat dikongsukan sedikit perkongsian ilmu yang menyentuh tentang lima perkara yang boleh menjadikan manusia itu beroleh kemuliaan disisi Allah SWT, satu kemuliaan  yang kita dambakan melebihi kemuliaan disisi manusia. Kemuliaan disisi manusia tidak kekal malah bermusim iaitu bila berharta, berpangkat besar, ada title Dr Prof Tan Sri, Dato' dan sebagainya. Malah ada tempat khusus disediakan didalam satu majlis, diberi keutamaan dan layanan istimewa. Kemuliaan disisi Allah SWT bukan terletak pada semua itu malah seorang penyapu sampah lebih mulia sisi Allah SWT jika dia bersih hati, beriman, bertakwa pada Allah SWT dan menjaga hak-hak Allah SWT dalam kehidupannya, mulia bila mengambil Islam dalam kehidupan!
 
 
 
 
Jadi, bagi kita perlunya meletakkan nilai kemuliaaan sebenar dalam hidup ini. Janganlah kita rasa bangga diri dengan nikmat sementara yang Allah SWT beri pada kita dengan merasa diri mulia kerana ada kedudukan dalam masyarakat, cepat tersinggung bila kita tidak di muliakan orang! Yang kita nak adalah kita ini mulia disisi Allah SWT. Itu kan lebih utama, lebih baik , lebih abadi! Jadi, diantara lima perkara yang perlu kita usahakan untuk meraih kemuliaan disisi Allah SWT adalah:-
1. Tidak mengikut bisikan atau hasutan syaitan..
Sama-sama kita renungkan ayat-ayat Allah SWT ini. “Dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan;kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji,dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui. (Surah al-Baqarah 2:168-169)
Syaitan merupakan musuh kita yang utama yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk membisikkan di dalam diri kita bisikan-bisikan yang jahat dan menyeleweng dari apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. Melawan bisikan dan hasutan syaitan itu menjadi satu kewajipan yang perlu kita lakukan untuk menempuh jalan yang lurus.Orang yang digoda oleh bisikan syaitan dan menyahut bisikan tersebut akan rasa seronok melakukan maksiat tanpa rasa takut pada Allah. Jadi selalulah kita memohon perlindungan untuk diri kita dan keluarga kita dari bisikan syaitan dengan banyak bertaawwuz dan berdoa. Sesungguhnya orang yang hatinya sentiasa terpaut erat mengingati Allah SWT, banyak berdoa dari bisikan syaitan laknatullah ini yang akan terselamat dari hasutan dan godaannya, Insya-Allah.
Di samping itu juga, kita perlu menghindarkan diri kita dari mempunyai sifat-sfat yang disukai syaitan. Satu anologi yang baik yang boleh menarik syaitan pada diri kita adalah umpama seekor anjing yang tertarik pada tulang yang kita pegang. Untuk mengelakkan diri dari menjadi daya tarikan anjing tersebut, kita hendaklah membuang tulang itu dari kita ; dengan kata lain membuang dari diri kita apa yang disukai syaitan.
Jadi untuk kita tidak menjadi daya tarikan syaitan, segala sifat-sifat kesukaan syaitan dalam diri seperti hasad dengki, suka membazir, mengumpat dan semua sifat mazmumah hendaklah kita buangkan dari dalam diri. Pintu-pintu kemasukan syaitan hendaklah ditutup rapat supaya tipislah peluang syaitan untuk menggoda kita tapi jika kita turutkan bisikan syaitan, maka kita akan menjadi kawannya atau menjadi tunggangan syaitan! Sedangkan Allah menegaskan dalam Al-Quran bahawa syaitan itu musuh kita yang nyata! Maka perlakukanlah syaitan itu sebagai musuh kita yang utama!
Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada kita tentang bagaimana perlunya kita sentiasa memohon perlindungan dari syaitan iaitu dalam satu hadisnya riwayat Bukhari iaitu... Rasulullah SAW meminta perlindungan Allah SWT kepada cucunya Hasan dan Husin. "Aku memohon perlindungan dari Allah untuk kamu berdua dengan kalimah Allah yang sempurna dari setiap syaitan, dan dari binatang berbisa serta dari  mata yang jahat."
Juga dalam satu hadisnya, beliau juga menegah anak-anak keluar pada waktu senja kerana diwaktu itu syaitan keluar untuk merasuk. Jadi hindarilah diri dari keluar pada waktu tersebut supaya kita tidak mendedahkan diri kita pada rasukan dan hasutan syaitan ini. Juga pentingnya kita sentiasa melakukan wirid harian sebagai pendinding diri dari syaitan ini kerana menurut Ibnu Abbas setiap anak Adam yang dilahirkan akan ada bisikan syaitan yang menghasut dan merasuknya. Jika disebut nama Allah syaitan itu akan lari, tapi jika kita melupakan Allah syaitan itu akan menggoda dan merasuknya. Maka akan mudah dan seronoklah sesaorang itu melakukan maksiat disisi Allah bila termakan bisikan syaitan.
Secara ringkas ada lima strategi untuk melawan bisikan syaitan ini iaitu:- Perlunya kita sentiasa ikhlas dalam beragama dengan berbuat sesuatu kerana Allah SWT dan di atas syariat Allah SWT, Takut pada Allah SWT dalam melakukan dosa dan maksiat, Berusaha selalu melawan bisikan syaitan dengan mujahadah diri, Menjaga perpaduan ummah iaitu sentiasa berjamaah dan janganlah berpecah belah antara satu sama lain Serta banyakkan berzikir dan berdoa minta dilindung dari syaitan ini. Insya-Allah dengan pertolongan dari Allah SWT dan usaha yang istiqamah, kita dapat melawan bisikan syaitan ini.
2. Tidak mengikuti hawa nafsu dalam diri.
Orang yang mengikuti hawa nafsunya akan mudah tergelincir dari landasan yang telah Allah tetapkan. Nafsu dalam diri sebenarnya sentiasa mengajak kepada penyelewengan dari jalan Allah SWT. Nafsu perlu ditundukkan dengan iman yang kuat jika tidak ia jadi tunggangan syaitan yang membisikkan bisikan jahat pada nafsu. Nafsu yang kita kehendaki adalah nafsu mutmainnah, iaitu nafsu yang tenang yang ada hubungannya dengan Allah SWT. Jadi sentiasalah muhasabah diri agar kehendak nafsu dalam diri adakah ia selaras dengan kehendak Allah SWT.
Janganlah kita menjadi orang yang menjadikan nafsu sebagai raja yang memerintah. Akibatnya celakalah diri! Sentiasa ingat akan pesanan dari Allah tentang hakikat orang yang mengikuti hawa nafsunya iaitu Surah Al-Maidah ayat 77.... Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus." Firman Allah SWT lagi dalam Surah Al-Mukminun ayat 71 yang bermaksud... " Andaikata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan (Al Quran) mereka tetapi mereka berpaling dari kebanggaan itu."
Jadi betul jugalah kata pepatah Melayu, ikut hati mati ikut rasa binasa. Justeru itu janganlah kita turuti kata hati kita, rasa yang bergejolak dalam jiwa. Semua itu jika tidak dihubungkan dengan Allah SWT akan menjadi jalan pintu masuk syaitan. Natijahnya cukup hebat. Ia akan membinasakan diri kita, menyebabkan kita rasa tertekan, kecewa, marah, dendam sehingga sakit dada kita menahannya. Paling malang sekali hawa nafsu yang dituruti ini akan menyebabkan tindakan yang melulu, tidak rasional, hilang pertimbangan sehingga sanggup bunuh diri, bunuh orang dan sebagainya. Relakah diri kita jadi sedemikian?? Jadi biarlah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian akibat tidakan tidak rasional itu, tidak berguna!
3. Sentiasa rasa ringan untuk berbuat ihsan. iaitu buat yang terbaik dalam melakukan sesuatu pekerjaan sama ada kecil atau besar. Ihsan dalam melakukan sesuatu pekerjaan merupakan satu tuntutan dalam Islam dan amat disukai oleh Allah dan dekat dengan rahmatNya. Firman Allah lagi dalam Surah Al-Baqarah ayat 195.. “Dan berbuat baiklah (ihsan), kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”
Firman Allah SWT lagi dalam Surah Al-A'raf ayat 5 yang bermaksud... “Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang muhsinin (orang yang memperbaiki amalannya).” Jadi kita usahakanlah dalam diri membuat yang terbaik dalam sesuatu amalan itu samada kecil atau besar kerana amalan terbaik itulah kita nak persembahkan pada Allah SWT sebagai amal soleh kita, bukan untuk tunjuk pada manusia atau nak dapat penghargaan manusia semata-mata. Mudah-mudahan dengan itu, kita mendapat rahmat dan kemuliaan disisi Allah SWT.
4. Meletakkan keyakinan dan kepercayaan pada Allah SWT semata-mata dalam hidup ini. Apabila hati tak yakin pada Allah, ini akan meletakkan keyakinan dan pergantungan pada manusia. Sedangkan pergantungan sebenar kita hanyalah pada Allah SWT semata-mata.
Sebenarnya apa yang ada disisi Allah SWT itu lebih baik dan lebih kekal dari apa yang ada pada manusia. Manusia mungkin boleh simpati dan bantu sekadar yang mampu akan permaslahan kita. Namun jika kita berlebihan dalam meminta-minta pada manusia, ini akan menimbulkan rasa bosan, meluat pada kita. Tetapi sebaliknya bila kita meminta pada Allah SWT! Allah sentiasa membukakan pintu rahmatNya memberikan bantuan, pertolongan pada kita dengan cara yang Allah kehendaki yang sebenarnya itulah terbaik buat diri kita. Jadi kena bina keyakinan diri kita agar benar-benar bulat pada Allah SWT dalam hidup ini!
Marilah kita yakini betul-betul firman Allah SWT dalam surah Al-Ikhlas yang bermaksud .... "Katakanlah, Dialah Allah, Yang Maha Esa, Allahlah tempat meminta segala sesuatu....."
Disaat kita teruji dan ditimpa musibah, yakini sebenarnya yang dapat mengeluarkan diri kita dari kesan musibah itu adalah hanya Allah SWT sahaja. Maka hadapkanlah hati kita ini dengan penuh keyakinan, khusyuk dan tawaduk pada Allah SWT yang Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani. Curahkan lah segala rintihan hati kita pertama-tamanyahanya pada Allah SWT terdahulu dan pasrahkan jiwa kita padaNya...Yakinilah pertolongan Allah SWT itu amat dekat pada orang yang kembali padaNya, insyaaAllah!
5. Tidak menyayangi apa yang ada di tangan manusia lebih dari apa yang ada di sisi Allah SWT.
Sama-sama kita renungi firman Allah SWT dalam ayat-ayat berikut yang bermaksud.... " Sedangkan kamu memilih kehidupan dunia, padahal kehidupan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal..." Surah Al- Ala' 16-17. "Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal." Surah Al- Mukminun :39
"Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya; Surah As-Syuraa: 36
Dan apa jua (harta benda dan lain-lainnya) yang diberikan kepada kamu, maka adalah ia merupakan kesenangan hidup di dunia dan perhiasannya; dalam pada itu, apa jua yang ada di sisi Allah (yang disediakan untuk orang-orang yang beriman dan taat) adalah ia lebih baik dan lebih kekal; maka mengapa kamu tidak mahu memahaminya? Surah Al-Qasas :60
Banyak lagi ayat-ayat Al Quran yang menegaskan tentang apa yang ada disisi Allah SWT itulah yang terbaik dan kekal abadi. Inilah yang kita nak rebut didunia ini sementara hayat kita masih ada. Janganlah kita terleka dengan kehidupan dunia yang menipu, dengan kesenangan hidup dunia yang melalaikan kita dari mengingati Allah SWT. Ingatlah bahawa dunia ini adalah ladang akhirat tempat kita menuai hasil kita nanti. Maka jadilah kita seorang peladang dunia yang yang berjaya yang sentiasa peka dan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan hasil tuaian kita supaya berlipatganda kelak.
Sematkan dijiwa kita selalu semua yang ada disisi kita di dunia ini akan kita tinggalkan kecuali amal soleh kita yang berterusan iaitu, sedekah jariah kita, doa anak yang soleh dan ilmu yang bermanfaat yang kita ajarkan kepada orang lain. Sementara hayat masih ada, fikirkan bagaimana kita nak tingkatkan hubungan kita dengan Allah SWT, tingkatkan amal soleh dan bermanfaat pada manusia! Janganlah apabila usia semakin bertambah, dunia semakin dekat di hati, semakin lalai dengan Allah, semakin banyak dosa dan maksiat, semakin tidak sensitif dengan peringatan Allah SWT. Nauzubillahiminzalik. Allahu Rabbi.
Sama-sama kita berdoa mudah-mudahan penghujung usia kita lebih baik dari awalnya dan kita mendapat husnul khatimah di akhir hayat kita. Perbanyakkanlah istighfar kita memohon ampun dari Allah SWT diatas semua kekhilafan kita pada Allah SWT. Banyaknya tanggungjawab kita pad aAllah SWT yang masih belum tertunaikan! Mudah-mudahan Allah SWT tempatkan kita dikalangan orang-orang yang soleh dan mendapat kemuliaan disisiNya. Aamiin. Ya Rabbal A'lamin. - Serikandi Annur
 perjalanantanpahenti.blogspot

Tiada ulasan:

Catat Ulasan