Home Klik Di Bawah

Rabu, 23 September 2015

Fakta Yang Ramai Tidak Tahu Mengenai Kapal Titani


10 fakta tentang titanic.jpg 
10 Fakta Yang Ramai Tidak Tahu Mengenai Kapal Titanic

Pada jam 11.40 malam, bertarikh 14 April 1912,  kapal RMS Titanic melanggar ketulan ais besar di Lautan Atlantik sebelum tenggelam kira-kira 2 jam selepas itu. Ini adalah tragedi terbesar yang melibatkan kapal. Kejadian menyayat hati ini mengorbankan 1,517 penumpang dan anak kapal. Sungguh menyedihkan!
Walaupun telah ratusan tahun tragedi ini berlaku tetapi dunia masih mengingatkan mengenai tragedi dahsyat yang meragut ramai nyawa ini.

Disebalik tragedi titanic ini ada 10 fakta yang ramai tidak tahu. Mari kita lihat 10 fakta yang mungkin anda tidak tahu mengenai tragedi Titanic.



1. Pembatalan latihan keselamatan bersama bot keselamatan
Semua orang tahu bahawa Titanic tidak membawa bot keselamatan yang mencukupi, tetapi ramai yang tidak tahu pada pagi hari kejadian, penumpang dan kru Titanic sepatutnya mengadakan latihan kecemasan bersama bot keselamatan. Ia bagaimanapun dibatalkan dan ramai percaya jika latihan itu dilakukan, ia boleh menyelamatkan lebih ramai nyawa.

2. Hanya 37 saat
Ketika pengawal peninjau memberikan amaran tentang ketulan ais tersebut, pegawai bertugas hanya mempunyai 37 saat untuk melakukan sesuatu. Pembantu kapten, William McMaster Murdoch, mengeluarkan arahan agar kapal dihalakan ke kiri serta merta, namun ia tetap gagal mengelakkan kapal itu daripada melanggar ketulan ais tersebut.

3. Akhbar Titanic
Titanic memiliki akhbarnya sendiri, Atlantic Daily Bulletin yang diterbitkan di atas kapal berkenaan. Ia melaporkan pelbagai berita; perniagaan, politik dan hiburan, malah turut menyenaraikan menu harian yang disediakan di atas kapal.

4. Bot keselamatan tidak penuh
Hampir kesemua bot yang dilepaskan untuk menyelamatkan mangsa tidak diisi sepenuhnya. Bot pertama yang dilepaskan hanya membawa 12 orang walaupun mempunyai kapasiti seramai 40 orang, manakala bot-bot lain ada yang hanya membawa 20 hingga 30 mangsa, walaupun mampu diisi hingga 65 orang.

10 fakta menarik tentang titanic.jpg 
5. Dua tab mandi
Kebanyakan penumpang Titanic perlu berkongsi bilik air (kecuali penumpang kelas pertama yang mempunyai kemudahan bilik air peribadi). Penumpang kelas ketiga disifatkan paling ‘malang’ apabila terpaksa berkongsi tab mandi. Bayangkan, 700 orang berkongsi dua tab mandi. Menyedihkan!

6. Kapal paling dekat tidak memberi respon
Ketika isyarat kecemasan dilepaskan Titanic, kapal yang berada dalam jarak paling dekat dengannya ialah The Californian. Namun tiada respon dari kapal berkenaan. Krew kapal The Californian dikatakan mengejutkan kapten mereka selepas melihat isyarat kecemasan itu, namun tiada arahan daripadanya untuk bertindak. Jika kapal The Californian bertindak, mungkin lebih ramai mangsa boleh diselamatkan.

7. Dua anjing diselamatkan
Agak mengejutkan kerana ketika orang ramai dimaklumkan bahawa bot keselamatan tidak mencukupi dan keutamaan diberi kepada wanita dan kanak-kanak, dua ekor anjing rupa-rupanya ‘terlepas’ dan berjaya menaiki bot keselamatan dan berjaya diselamatkan.

8. Serombong hiasan keempat
Imej Titanic yang biasa kita lihat menerusi foto adalah sebuah kapal besar dengan empat serombong asap. Tetapi daripada empat serombong itu, hanya tiga yang berfungsi. Serombong keempat hanyalah hiasan semata-mata kerana pereka Titanic berpendapat kapal tersebut akan nampak lebih ‘megah’ dengan empat serombong asap.

9. Kapal penghantar surat
Singkatan RMS pada pangkal nama Titanic menggambarkan ia bukan sekadar sebuah kapal persiaran, tetapi juga berkhidmat sebagai penghantar surat. Terdapat 5 buah peti surat disediakan di atas kapal itu, dengan lima pegawai pos bertanggungjawab menyelenggara kira-kira 3,423 surat. Menariknya, tiada satu pun surat-surat ini berjaya ditemui selepas Titanic karam. Jika ada yang berjaya ditemui, ia akan tetap dihantar perkhidmatan pos Amerika Syarikat kerana kebanyakan surat itu dialamatkan ke Amerika Syarikat.

10. Pengurusan mayat
Kapal CS Mackay-Bennett menghabiskan masa lima hari untuk mencari sebanyak mungkin mayat mangsa Titanic. Kapal tersebut dibekalkan dengan 40 bahan pengawet, ais dan 100 buah keranda. Anak kapal CS Mackay-Bennett berjaya membawa naik 328 mayat, namun 119 daripadanya berada dalam keadaan yang terlalu teruk dan terpaksa dibiarkan ‘tertanam’ di dasar lautan.

Itulah 10 fakta yang ramai tidak tahu mengenai kapal Titanic. Adakah artikel ini menarik? Jika ya  sila kongsikan artikel ini kepada rakan-rakan anda.
ammar blog

Tiada ulasan:

Catat Ulasan