Antara dilema anak muda apabila berhajat melangsungkan perkahwinan ialah perbahasan berkenaan kahwin muda vs kahwin tua – atau dalam erti kata lain, kahwin lewat sedikit, tak kahwin terlalu awal.
Isu ini sering timbul apabila ada anak-anak muda yang berhajat hendak bernikah awal, mungkin pada penghujung usia 20-an atau awal 20-an, dan ketika masih belajar.
Kadang,
dah habis ijazah pun, masih lagi perbahasan ini wujud. Dilihat perlu ada
kerja dan ada duit sekian banyak terlebih dahulu.
Pro dan Kontra?
Tidak
dapat tidak, rakan-rakan pembaca yang saya kasihi kerana Allah SWT,
dalam membicarakan perkara ini, kita akan menemui manusia yang mungkin
akan menyenaraikan pro dan kontra berkait kahwin muda vs kahwin tua ini.
Contohnya,
kalau berkahwin muda, pronya ialah keadaan diri akan lebih terjaga dari
maksiat, diri akan sukar nak terjebak dengan gejala sosial, jiwa lebih
tenang kononnya, dan urusan studi akan jadi lebih mudah. Itu antara
alasan-alasan yang mungkin kedengaran.
Kontranya,
ada yang akan melihat bahawa berkahwin muda ini akan menganggu komitmen
terhadap studi, anak muda masih belum ada duit yang stabil lantas tak
mampu nak menyara keluarga, anak muda masih belum matang, dan sebagainya
lagi.
Kalau
sebut kahwin lewat, pronya ialah keadaan diri yang sudah stabil
kononnya, sudah banyak pengalaman, sudah boleh fokus pada pembinaan
rumahtangga kerana sudah habis studi, sudah ada kerjaya untuk sara hidup
keluarga.
Kontranya
kita lihat kalau kahwin lewat, ada kemungkinan orang yang kita suka
takkan dapat tunggu, mudah terjebak dengan maksiat, jiwa jadi resah
sebab tak ada teman hidup untuk jangka masa yang panjang, dan
sebagainya.
Kalau
dibincangkan secara serius, mungkin kita akan dapat senaraikan lebih
banyak lagi. Saya sekadar menyebut beberapa yang sering diulang ramai.
Pengukur Kematangan
Sebelum
saya mara kepada jawapan terhadap perbahasan kahwin awal vs kahwin
lewat, kahwin muda vs kahwin tua, izinkan saya menyentuh perihal
kematangan wahai pembaca yang saya kasihi.
Saya
berpendapat bahawa kematangan itu tidak terletak pada umur. Saya melihat
bahawa kematangan itu letaknya pada ilmu dan pengalaman.
Tidak
menghairankan sebenarnya untuk kita melihat remaja berumur 15 tahun,
tetapi matangnya sudah seperti manusia berumur 40 tahun. Bahkan
kewujudannya di hadapan mata kita tidak menyebabkan kita mampu
melihatnya sebagai seorang budak, dek kerana akhlak dan keperibadiannya,
kerana ilmu dan pengalamannya.
Namun kita
akan dapat melihat wujudnya ayah-ayah dan ibu-ibu, mungkin berumur
sekitar 40-50an, memegang PhD dan berpangkat tinggi, bersikap seperti
keanak-anakan, berperangai tidak matang dan sebagainya. Ada.
Umur bukan pengukur kematangan yang sebenarnya.
Kematangan
yang sebenar itu datang pada keperibadian yang kita usahakan. Sekiranya
seorang anak muda itu menuntut ilmu dengan serius, mempunyai kesedaran
yang tinggi, mempunyai pengalaman yang banyak(mungkin kerana rajin
mengembara, rajin duduk dengan orang pandai, rajin membaca. dan
sebagainya), maka mengapa kita hendak menilainya sebagai tidak matang,
hanya kerana dia tidak berumur tua?
Jika kita
kembali meneliti sejarah, terlalu ramai orang-orang muda yang tidak
layak digelar ‘tidak matang’. Selaklah sirah Mu’adz dan Mu’awwidz, dua
remaja belasan tahun yang menumbangkan Abu Jahal. Telaahlah kisah
Abdullah Ibn Umar yang telah mengikuti majlis Nabi semenjak usia muda
belia. Perhatikanlah ‘Ali Bin Abu Talib yang menggantikan Rasulullah SAW
di tempat tidur baginda kala malam peristiwa hijrah. Saksikanlah
Muhammad Al-Fateh yang membuka Kota Konstantinopel.
Mereka semua masih muda belia ketika itu, apakah mereka tidak matang?
Mereka semua masih muda belia ketika itu, apakah mereka tidak matang?
Yang paling penting sebenarnya ialah…
Kembali
kepada tajuk, rakan-rakan pembaca yang saya doakan, apakah yang paling
penting untuk membina sebuah percintaan, perkahwinan dan rumahtangga?
Allah SWT berfirman:
“Isteri-isteri
kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun
tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan persiapkanlah diri kamu;
dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan
menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai
Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.” Surah Al-Baqarah ayat 223.
Persiapan.
Ya,
sebenarnya yang paling penting dalam percintaan, dalam sebuah
perkahwinan dan dalam proses mendirikan rumahtangga, yang paling penting
sebenarnya ialah persiapan diri kita. Walaupun ayat ini Allah seakan
mengkhususkannya untuk lelaki, mungkin kerana tanggungjawab lelaki itu
sepatutnya memimpin sebuah keluarga, tetapi nyata khasiatnya – yakni
nasihat untuk mempersiapkan diri itu – juga boleh diambil oleh para
wanita.
Persiapan dari segi spiritual, mental dan material.
Sejauh mana kita telah mempersiapkan diri?
Mungkin ramai melihat persediaan untuk perkahwinan ini hanyalah persediaan dari segi material. Tetapi hakikatnya mempersiapkan diri untuk sebuah rumahtangga, yang matlamatnya ialah keredhaan Allah dan tempat pulang harapannya ialah syurga, nyatanya kita perlu mempersiapkan diri lebih dari sekadar persediaan material.
Jika kita
balik kepada tanggungjawab untuk membawa diri dan ahli keluarga kita ke
syurga Allah SWT, jika kita kembali meneliti tujuan hidup kita adalah
untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini lantas keluarga kita
sebagai salah satu batu-bata asas ke arah menyelesaikan tanggungjawab
itu, nescaya kita tahu betapa wajibnya kita bersungguh-sungguh
melaksanakan persiapan.
Apakah
apabila telah terdetik di dalam diri ingin bercinta, ingin bernikah,
ingin mengemudi rumahtangga, kita telah menyenaraikan perkara-perkara
yang perlu kita persiapkan ke atas diri kita?
Atau kita sekadar tersengih-sengih dengan cita-cita untuk mengahwini seseorang, yang menyebabkan cita-cita itu akhirnya kelihatan seperti angan-angan kosong sahaja?
Mula mempersiapkan diri.
Maka jika kita terdetik hendak bernikah, hendak mencintai seseorang, hendak membina keluarga, maka mulalah mempersiapkan diri.
Ya, kita takkan tahu bila baru kita bersedia. Kita takkan tahu. Namun kita boleh tahu apakah kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk bersedia, atau bukan.
Kalau
masih maraton cerita korea, sibuk main game, melepak membazir masa
dengan benda sia-sia, masih banyak masa habis dengan perkara lalai dan
maksiat, maka di manakah kesungguhan persediaannya?
Kita boleh nilai diri kita secara jujur.
Kita boleh nilai diri kita secara jujur.
Justeru
jika benar hendak bernikah, hendak mencintai seseorang, pastikan diri
mempunyai perancangan. Bila hendak berkahwin? Dari sekarang hingga masa
hendak berkahwin itu, apakah yang patut kita isi masa kita?
Buku-buku apa patut kita baca? Orang-orang berpengalaman yang mana kita patut jumpa? Wang, bagaimana kita nak berjimat dengan apa yang ada dan macam mana nak tambah pendapatan kalau boleh? Apa target kita dalam kualiti hubungan kita dengan Allah SWT untuk dipertingkatkan dalam masa sebelum berkahwin ini? Apa target kita dari segi kawalan emosi, dan bagaimana kita hendak melatihnya dalam masa sebelum berkahwin ini?
Buku-buku apa patut kita baca? Orang-orang berpengalaman yang mana kita patut jumpa? Wang, bagaimana kita nak berjimat dengan apa yang ada dan macam mana nak tambah pendapatan kalau boleh? Apa target kita dalam kualiti hubungan kita dengan Allah SWT untuk dipertingkatkan dalam masa sebelum berkahwin ini? Apa target kita dari segi kawalan emosi, dan bagaimana kita hendak melatihnya dalam masa sebelum berkahwin ini?
Ya, begitulah sepatutnya kita sibukkan diri kita.
Sibukkan dengan persiapan yang menyeluruh. Bukan sibuk dengan cinta atas angin, gunung everest sanggup kudaki, lautan api sanggup kurenangi, tetapi kemudian tindakannya tidak ada.
Sedangkan tanggungjawab nanti besar!
Maka mulalah mempersiapkan diri. Bentang perancangan, kemudian gencarkan usaha.
Bila Sudah Bersungguh Mempersiapkan Diri
Bila sudah bersungguh mempersiapkan diri, kahwin muda vs kahwin tua bukan lagi satu perbahasan yang patut diperpanjangkan.
Yang muda, kalau dah bersungguh-sungguh mempersiapkan diri, di mana salahnya hendak mendirikan rumahtangga?
Yang tua, kalau langsung tak pernah berusaha mempersiapkan diri, di mana kelebihannya?
Urusan rumahtangga bukan semata urusan duit. Ia juga urusan rohani dan emosi, tanpa kita nafikan bahawa daya survival untuk hidup dalam dunia berpaksikan material ini sangatlah penting.
Berusaha bersungguh-sungguh mempersiapkan diri, itulah jawapan yang ramai manusia cari dalam dilema ini.
Artikel ini ditulis oleh Hilal Asyraf dari Langit Ilahi. (8159)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan