Open Minda:http://baca-blogspot.blogspot.com
Paparan Terbaik Open Minda Menerusi Mozilla Firefox,Opera, Google Chrome Dan Safari.
Home Klik Di Bawah
▼
Khamis, 15 Oktober 2015
Tawakal Jalan Terbaik Hadapi Dugaan Hidup
KITA selalu mendengar keluh
kesah sesetengah orang yang bertanyakan kenapa agaknya suratan kehidupan
mereka begitu susah untuk memperoleh kesenangan dan begitu senang pula
mendakap kesusahan.
Mereka iri hati dengan keadaan orang lain
yang ditakdirkan senang memperoleh kesenangan secara berterusan. Ada
manusia yang hidup senang dan kaya raya, ada hidup susah dan melarat,
ada dulunya senang tetapi kemudian hidup melarat. Hakikatnya, inilah
asam garam dan pancaroba kehidupan yang harus diterima dengan hati
terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah kita membuat analisis
dan muhasabah. Berfikir secara waras bahawa ketentuan Allah SWT
mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran.
Cuba
nilai mengapa sesetengah manusia diberikan ujian terlalu hebat oleh
Allah SWT? Mengapa sesetengah yang lain diberi rahmat dan rezeki yang
tidak putus-putus?
Setiap sesuatu dijadikan atau ditakdirkan-Nya
itu pasti ada sebab dan mempunyai hikmah. Manusia hanya perlu bersyukur
jika diberikan rahmat dan rezeki yang melimpah ruah.
Firman Allah
SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang
dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu
persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah an-Nahl, ayat 18) Begitu juga sebaliknya, manusia perlu
terus-menerus bersabar andai diuji dengan dugaan demi dugaan. Setiap
sesuatu ketentuan perlu dihadapi dengan waras, bijak, tenang, serta
berserah tanpa kompromi atau bersyarat kepada Allah SWT.
Tidak
perlulah melihat dalam perspektif yang luas, lihat saja diri kita
sendiri. Dalam banyak waktu, kita iri hati melihat sahabat yang nampak
bahagia sepanjang masa dibanding kita tidak senang atau bahagia seperti
mereka.
Ini memang amalan manusia, suka membanding-bandingkan
diri dengan orang lain. Cuba lihat rakan lain yang selalu dirundung
kesukaran, kesakitan, kepayahan dan duka? Bandingkan nasib mereka dengan
kita.
Hanya dengan cara ini kita akan mengucap syukur
Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya kita menyedari ketentuan nasib yang
lebih baik dan senang berbanding mereka. Hakikatnya, manusia sukar untuk
merasa puas.
Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi
hendaklah reda, bersyukur dan bertawakal kepada-Nya. Giatkan usaha dan
berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan mengurniakan keadaan lebih
baik daripada sebelum ini.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit
ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan
berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang
apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi
Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan
mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat
155-157)
Akan tiba masanya, kalau tidak di dunia, Insyaallah di
akhirat kelak, terbit sinar kebahagiaan dan rahmat-Nya menerangi
kehidupan, berkat kesabaran serta keimanan menempuhi ujian demi ujian.
Perlu
diingat, sebanyak mana harta kemewahan dan kesenangan dianugerah Allah
hendaklah disyukuri. Perlu juga diyakini segala nikmat diperoleh dengan
izin Allah SWT, dan dengan kehendak Allah juga, boleh hilang dalam
sekelip mata.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apakah manusia
itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan ‘kami telah
beriman’ sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah
menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah SWT
mengetahui orang yang benar dan dan orang yang dusta.” (Surah
al-Ankabut, ayat 2-3)
Ingatlah, setiap apa yang kita lakukan, baik mahupun tidak, akan tetap dihitung dan diberi balasan sewajarnya oleh Allah SWT.
Firman
Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah,
nescaya dia akan melihat (balasannya), dan sesiapa yang mengerjakan
kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula.”
(Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)
Untuk itu, janganlah kita mudah
mengeluh apabila berdepan dugaan hingga mudah syaitan menusuk jarum
kebencian terhadap takdir Allah SWT. Kita menjadi lupa kepada Allah
serta lupa kekuasaan dan pembalasan-Nya.
Janganlah kita menjadi
seperti kaduk naik junjung atau luncai yang terjun dengan labu-labunya
sehingga dikatakan sebagai orang yang ‘kufur nikmat’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan