Rumah tangga mana yang tidak bergolak. Setiap pasangan yang berumah tangga pasti ada perselisihan faham. Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Namun, kawallah pertelingkahan dan ketidaksefahaman yang berlaku agar ia tidak membawa kemudaratan kepada rumah tangga yang dibina. Mungkin ada antara tips berikut yang boleh dipraktiskan bagi mendapatkan rumah tangga harmoni dan bahagia.
1. Utamakan pasangan
Tidak kira anda seorang isteri atau suami, meletakkan pasangan di tempat yang pertama dalam semua hal (semestinya selepas Allah SWT dan Rasulullah saw) adalah keutamaan anda. Sebelum lakukan sesuatu, fikirkan kesannya kepada pasangan anda. Dapatkan pandangan pasangan jika anda perlu membuat sebarang keputusan.
2. Lakukan aktiviti yang menyeronokkan
Aktiviti yang boleh melibatkan anda berdua seperti menonton wayang, berkelah, melancong boleh mengeratkan hubungan kerana ia adalah masa berkualiti bersama.
3. Tetapkan masa untuk berdua
Walau sibuk bagaimanapun, anda perlu mewujudkan satu masa untuk saling berdua-duaan. Jadikan sehari dalam sebulan sebagai masa untuk anda dan pasangan menghabiskan masa bersama-sama.
4. Abaikan hal remeh-temeh
Jangan ambil pusing hal-hal remeh yang boleh mengganggu rumah tangga anda. Jika berlaku kesilapan yang kecil, maafkan kesalahan pasangan.
5. Jangan menipu
Beritahu perkara yang sebenar kepada suami atau isteri anda. Individu yang sering merahsiakan sesuatu dari pasangan akan menyebabkan pergaduhan berlaku apabila pasangan mendapat tahu perkara tersebut.
6. Selalu tunjukkan kasih sayang
Kerap berpegangan tangan, memeluk dan memaksimumkan hubungan fizikal antara suami isteri terbukti mengurangkan stres. Oleh itu pastikan dalah sehari, anda mesti mencium dan memeluk suami/isteri masing-masing. Tetapi awas bukan di khalayak ramai ya!
7. Fokus kepada kebaikan
Setiap orang memang ada kelemahan dan keburukan masing-masing. Lebih baik anda beri tumpuan kepada kebaikan suami/isteri anda berbanding asyik memikirkan kelemahan dan keburukannya. Saling memahami kekuatan masing-masing dan cuba melengkapi antara satu sama lain. Sampaikan kritikan dengan cara yang berhemah untuk mengelakkan pergaduhan.
pama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan