Harga sebuah hidayah
Suatu malam,berada di Masjid Jamek Sri Petaling. Sejurus solat
Maghrib, seperti biasa di adakan majlis Bayan iaitu Majlis fikir atas
iman dan amal.. Ustaz Abdullah Hizly menceritakan sebuah kisah benar.
Kisah ini sangat menarik untuk di kongsikan bersama orang semua.
Izinkan ku mengadaptasikan kisah tersebut dalam bentuk fiksyen agar
nampak lebih memahami.
*********
Lapangan Terbang Buenos Aires menyaksikan ketibaan sekumpulan
pendakwah dari Malaysia seramai sepuluh orang. Di situ, tidak ada
sesiapa yang menyambut mereka. Tidak kelihatan lelaki mahu pun wanita Muslim yang boleh dijadikan tempat bertanya.
Apatah lagi mencari orang Melayu yang boleh memahami bahasa mereka.
Ketika mereka masih tercari-cari teksi untuk ke masjid berhampiran, mereka disapa oleh seorang lelaki,
“Adakah kamu semua datang ke sini untuk berdakwah?”
“Ya. Tapi, kami mahu berjumpa dengan saudara seagama kami terlebih dahulu,” jawab Ustaz Salman, ketua jemaah dakwah tersebut.
“Baguslah. Seorang pesakit saya baru sahaja dikeluarkan dari hospital
dan sekarang dia terlantar di rumahnya. Dia beragama Islam. Saya sudah
tidak mampu merawatnya lagi kerana penyakitnya sudah menghampiri pintu
kematian.”
“Jadi, kamu seorang doktor? Boleh kami tahu di mana rumah dia?” soal Ustaz Salman.
“Ya. Rumahnya berada 700km dari sini. Dekat dengan sempadan
Argentina. Sekejap, saya tuliskan alamatnya,” jawab lelaki tersebut
sambil jari-jemarinya ligat menulis alamat rumah pesakitnya di atas
sekeping kad. Kemudian, dia menyerahkannya kepada Ustaz Salman.
“Saya rasa, elok juga kamu berjumpa dengan dia.” Lelaki tersebut seakan-akan sudah mahu beredar dari situ.
“Err, boleh saya tahu, adakah kamu seorang Muslim?” tanya Ustaz Salman.
“Tidak. Saya seorang Yahudi.” Lelaki itu menjawab sambil melangkah pergi dari situ. Kumpulan jemaah tersebut terpinga-pinga.
Seketika kemudian, Ustaz Salman bermesyuarat dengan rakan-rakannya
yang lain sama ada perlu pergi atau tidak menziarahi saudara seagama
yang sedang berada di ambang kematian. Masing-masing memberikan
pandangan yang berbeza-beza. Ada yang setuju untuk pergi dan ada pula
yang tidak. Jarak rumah pesakit itu yang sejauh 700 km memungkinkan
mereka melalui satu perjalanan yang panjang.
Akhirnya, keputusan dibuat oleh ketua jemaah setelah mengambil kira
pelbagai faktor. Mereka terus mencari tiket bas untuk terus ke sempadan
Argentina bagi menemui saudara seagama yang berada di ambang kematian.
Sesampainya di sana, mereka bertanya kepada penduduk setempat alamat
rumah pesakit tersebut. Mujurlah penduduk di situ sudi menunjukkan
rumahnya.Takdir Allah menemukan para pendakwah tersebut dengan pemuda yang sedang menderita sakit bernama “Daniel”.
Di rumah tersebut, hanya ada Daniel,
ayah serta ibunya. Ketika memasuki rumahnya, mereka beristighfar melihat
keadaan rumah Daniel yang dipenuhi dengan berhala, gambar Jesus,
lambang Zionis di samping kalimah Allah dan Muhammad SAW. Namun, mereka
tidak terus memarahi atau menuduhnya murtad. Terlebih dahulu mereka
berkenal-kenalan.
“Kami semua dari Malaysia. Datang ke sini semata-mata untuk berjumpa
saudara seagama dan berdakwah. Syukurlah, Allah telah temukan kita,”
bicara Ustaz Salman.
“Saya terharu dengan kesanggupan tuan-tuan menziarahi saya. Semenjak saya hidup di sini, tidak ada seorang pun orang Islam yang datang berjumpa dengan saya. Di kawasan ini, hanya saya, ibu dan ayah saya yang beragama Islam. Masjid pun tidak ada.”
“Adakah keluarga tuan berasal dari sini?” soal Ustaz Salman lagi.
“Kami semua dari Tanah
Arab. Ayah berpindah ke sini untuk mencari kerja kira-kira 20 tahun
dahulu. Ibu saya warganegara sini. Setelah Ayah berkahwin dengan Ibu,
kami terus menetap di sini.”
Daniel terus menceritakan asal-usul keluarganya kepada para jemaah.
Mereka khusyuk mendengar ceritanya sehingga mereka menitiskan air mata.
“Doktor kata, kematian saya semakin hampir. Saya akan mati beberapa
hari lagi. Setiap hari, saya memohon perlindungan daripada semua tuhan
ini. Saya tidak tahu, Tuhan mana yang akan selamatkan saya.”
“Daniel, dalam dunia ini cuma ada satu Tuhan iaitu Allah. Allah yang
menjadikan semua makhluk. Allah yang beri nyawa dan cabut nyawa makhluk.
Tidak ada lagi tuhan selain Dia. Hanya orang yang menjadikan Allah
sebagai tuhan sahaja yang selamat di dunia dan akhirat.” Ustaz Salman
cuba menenangkan Daniel.
Dalam saat-saat genting seperti ini, manusia akan berharap pada sesiapa sahaja.
“Tuan-tuan, ajarlah saya. Selama saya hidup, tidak ada sesiapa yang
mengajarkan saya perkara ini.
Tolonglah tuan-tuan. Saya tidak mahu masuk
neraka.” Daniel merayu dalam nada yang sebak.
“Jika tuan izinkan, kami sedia untuk bermalam di sini selama tiga hari.”
“Ya. Tuan-tuan semua dialu-alukan.”
Selama tiga hari, Ustaz Salman dan rakan-rakannya mengajar Daniel
serta ibu dan ayahnya berkenaan iman dan Islam. Mereka diajarkan semula
kalimah syahadah dan maksud yang terselindung di sebalik kalimah itu.
Daniel dan ibu bapanya juga dibimbing cara bersolat. Walaupun Daniel
terbaring di katil, dia tetap masih mampu bersolat dengan cara solat
orang uzur.
“Alhamdulillah. Saya rasa, saya semakin sihat. Sebentar lagi
hilanglah kesakitan saya ini,” ujar Daniel pada hari ketiga yang
membuatkan ibu dan ayahnya tersenyum. Sebaliknya, Ustaz Salman
menitiskan air mata. Mungkin dia memahami kata-kata Daniel itu dengan
maksud yang lain.
“Terima kasih kerana mengajar saya. Jika tuan-tuan tidak datang, saya tidak tahu apa akan jadi kepada saya,” ujarnya lagi.
“Semua ini ketentuan Allah, Daniel. Jika Allah sayangkan kita, Dia akan beri kita hidayat.”
Ketika Ustaz Salman dan rakan-rakannya bersedia untuk keluar dari
rumah tersebut, Daniel mengerang kesakitan. Mereka semua mendekatinya
dan mentalkinkannya kalimah lailaha illallah. Ustaz Salman memeluk erat
tubuh Daniel yang semakin lembik. Jelas kedengaran kalimah lailaha
illallah itu keluar dari bibir Daniel sebelum menghembuskan nafasnya
yang terakhir.
Ustaz Salman berbicara kepada semua yang ada, “Sesungguhnya,
beruntunglah sesiapa yang mengucapkan kalimah ini di akhir kalamnya.
Pasti dan pasti Allah akan bagi syurga. Di luar sana masih ramai lagi
manusia yang tidak kenal pada kalimah ini. Inilah tugas kita orang
Islam. Kenalkan kalimah ini kepada mereka.”
Sebenarnya, banyak lagi kisah benar meruntun jiwa yang pernah aku
dengar. Namun, mengalami sendiri sesuatu peristiwa itu lebih bermakna
bagiku.
Ayuh kita semua azam bangkit bergerak di Jalan ALLAH.
Jutaan Umat di seluruh dunia berhajat
kepada Agama. Siapakah lagi yg akan bangkit untuk menyambung hasrat hati
Nabi Sollallahu’alaihi wasallam ini melainkan kita semua?
Semoga langkah kita semua menjadi asbab hidayat…amin.
pakar how to
Tiada ulasan:
Catat Ulasan