Home Klik Di Bawah

Sabtu, 30 Januari 2016

Penyakit murung bebankan kehidupan

TEKANAN rawatan penyakit yang melampau boleh menjadi faktor kepada masalah psikiatri.

BERCAKAP seorang diri, kerap termenung dan suka menyendiri adalah situasi yang sering dilihat pada individu yang disifatkan mengalami gangguan mental.
Meskipun ada yang terzahir secara jelas, masih ada dalam kalangan masyarakat sebenarnya mengalami gangguan emosi teruk sehingga mendatangkan kemurungan dan penyakit psikiatri yang lain.
Laporan di dada-dada akhbar juga kedengaran menakutkan apabila ada lelaki yang sanggup membunuh pasangannya kerana cemburu, memukul kerana terlampau marah dan perbuatan agresif lain ekoran gagal mengawal emosi.



Berkongsi pendapat tentang isu itu, Zaifirol Zaidi, 28, menjelaskan, tekanan yang dihadapi oleh ahli masyarakat khususnya di tempat kerja, masalah dalaman keluarga dan hubungan dengan rakan-rakan menjadi penyumbang kepada isu tersebut.
Tutur jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu, bebanan kerja yang terlampau banyak dalam satu masa dan persekitaran kerja yang tidak mesra alam menyebabkan seseorang mudah tertekan serta gagal mengawal perasaan.
“Tekanan yang dihadapi menyebabkan mental mereka tidak stabil, suka menyendiri dan berfantasi. Mereka seakan-akan berada dalam dunia sendiri.
“Saya percaya dengan menerapkan nilai positif dalam masyarakat khususnya sikap tolong-menolong ketika susah atau senang boleh mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh individu.
“Sebagai ahli masyarakat, kita juga perlu jujur dan ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara,” jelasnya.
Zaifirol menjadikan aktiviti riadah seperti mendaki sebagai cara untuk melepaskan tekanan.
Berkongsi pengalaman mengendalikan ahli keluarga yang menghidap masalah psikiatri, suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Miera Liyana,34, pula berkata, sepupunya mempunyai masalah psikosis yang hampir mengorbankan nyawa sendiri.
Menurut Miera Liyana, pada peringkat awal, sepupunya yang bekerjaya itu dilihat suka menyendiri, murung dan tidak banyak cakap, suka termenung dan mengabaikan orang-orang sekeliling.
Dia beranggapan, itu mungkin perkara biasa yang disebabkan tekanan kerja.
“Dia merupakan seorang yang ceria, namun berubah perwatakan menjadi sebaliknya. Ia berlarutan lebih daripada seminggu. Kami menyangka ia disebabkan perbuatan orang (guna-guna) yang mungkin dengki kerana dia pekerja cemerlang.
“Apabila keadaan menjadi semakin kritikal sehingga dia mencederakan diri sendiri, kami membawanya ke hospital untuk menjalani rawatan,” terangnya.
Dia memberitahu, sepupunya itu kini sudah pulih dan bekerja seperti biasa.
Tegas Miera Liyana, selain faktor rawatan, dia percaya bahawa sokongan daripada ahli keluarga memainkan peranan penting dalam memastikan pesakit psikiatri cepat pulih dan menjalani kehidupan normal.
Tanggapan negatif
Selain keluarga, majikan di tempat kerja turut menyokong pemulihan sepupunya dan tidak mempunyai tanggapan negatif tentang penyakit psikiatri.
“Sokongan dan memahami situasi yang berlaku sangat penting buat pesakit.
“Selain itu, kesedaran tentang penyakit tersebut juga perlu dipertingkatkan supaya mangsa mendapat rawatan awal dan keadaan tidak menjadi parah,” ujar ibu kepada empat orang anak itu.
Sementara itu, mengulas tentang penyakit psikiatri, Pakar Psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Umi Adzlin Silin berkata, terdapat pelbagai penyakit psikiatri dalam bidang itu yang mempunyai tahap-tahap keterukan tertentu.
Terangnya, penyakit psikiatri yang selalu menjadi sebutan dalam kalangan masyarakat ialah skizofrenia.
Skizofrenia ialah sejenis penyakit psikiatri yang dicirikan dengan kecelaruan pemikiran menyebabkan pesakit mendapat gejala halusinasi (mendengar suara ghaib) dan delusi (kepercayaan tidak benar dan palsu) yang menjejaskan fungsi kehidupan individu.
Ia boleh menyebabkan pesakit suka menyendiri, berkhayal dan mengalami emosi yang tidak stabil.
Ujar Umi Adzlin, biarpun peratus penghidap skizofrenia dalam komuniti di seluruh dunia hanya satu peratus, ia menjadi lebih popular kerana mengikut pemahaman masyarakat, pesakit berkenaan boleh bertindak agresif hingga mengorbankan nyawa.
Pemeriksaan


FITRAH manusia memerlukan individu untuk berinteraksi sesama mereka.


“Sebenarnya, penghidap skizofrenia tidak boleh terus dikaitkan dengan tingkah laku agresif. Hanya sebahagian kecil bertindak sedemikian ekoran tidak mendapatkan rawatan.
“Oleh sebab itu, sangat penting untuk mereka menjalani pemeriksaan di hospital supaya penilaian dan rawatan psikiatri boleh dibuat.
“Makin lambat dibawa ke hospital, makin kritikal penyakit yang dihadapi dan impaknya juga mungkin bertambah buruk,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! di HKL, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau memberitahu, penyakit kemurungan juga perlu diberi perhatian.
Biarpun impaknya tidak kelihatan ketara, Umi Adzlin memberitahu, kemurungan salah satu penyakit psikiatri yang menjadi antara penyakit utama dunia.
Penyakit itu mengganggu fungsi manusia serta sosioekonomi negara.
Memetik kajian yang dijalankan oleh Global Burden of Disease (GBD) pada 1990, kemurungan dijangka menjadi penyakit nombor dua dari segi morbiditi di dunia pada 2020.
Morbiditi merujuk kepada bebanan hidup akibat penyakit yang melibatkan hilangnya produktiviti, kos rawatan dan kualiti kehidupan.
Bagaimanapun, Umi Adzlin menjelaskan, kajian pada 2010 mendedahkan, penyakit itu sudah menduduki tangga kedua, sedekad lebih awal berbanding jangkaan.
“Kemurungan adalah penyakit yang nampak biasa, namun jika dibiarkan, ia boleh membawa kepada keadaan yang lebih bahaya.
“Individu yang murung biasanya akan hilang selera makan, tidak boleh menumpukan perhatian, rasa diri tidak berguna dan mengganggu fungsi mereka seperti tidak dapat bekerja.
“Jika orang sekeliling anda mengalami situasi itu lebih dua minggu, bawalah mereka berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dan penilaian,” terangnya.
Beliau memberitahu, sekitar 10 hingga 15 peratus penduduk menghidap penyakit tersebut setiap tahun.
Dalam pada itu, Umi Adzlin menjelaskan, tiada satu-satu faktor utama yang menjadi penyebab kepada penyakit psikiatri sebaliknya ia berpunca daripada gabungan faktor genetik dan persekitaran.
Persekitaran kerja, masyarakat, keluarga dan semua komuniti melibatkan individu memainkan peranan dalam peningkatan penyakit dan menangani isu tersebut.
“Ada individu yang tidak diterima masyarakat, ditindas di tempat kerja, keluarga berantakan dan sejak kanak-kanak mengalami gangguan emosi menyebabkan diri mereka dilanda kemurungan, sedih atau tertekan.
“Biarpun tampak biasa, jika dibiarkan berlarutan tekanan yang dihadapi boleh membawa kepada masalah psikiatri.
“Oleh sebab itu, fitrah manusia sebagai makhluk yang sosial dan perlukan komunikasi, sokongan sosial sangat penting dalam mengekang penyakit ini,” tegasnya.
Rawatan psikiatri yang komprehensif melibatkan aspek bio-psikososial-spritual melibatkan ubat-ubatan dan pelbagai terapi prikologi serta rehabilitasi perlu dilakukan ke arah pemulihan pesakit untuk menjalani kehidupan normal.
Tambahnya, selain kaedah medikal dan sokongan moral, aspek spiritual adalah langkah rawatan yang tidak boleh dinafikan, malah dipersetujui ramai pakar di dunia.
Katanya, kekuatan rohani sangat penting untuk menguatkan jiwa seseorang yang menjadi benteng apabila mereka menerima ujian.
“Mereka yang berpegang teguh kepada agama menerima setiap cabaran atau masalah dengan reda dan tenang dan menganggap ia sebagai ujian dari Tuhan.
“Mereka lebih senang berdepan dengan masalah dan mencari solusi berbanding terus-menerus memikirkan masalah tanpa ada penyelesaian,” tutur Umi Adzlin.
kosmo

smo
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan