Sebagai ibu ayah, kita wajib mendidik anak-anak membantu kerja-kerja rumah. Biarpun mereka masih kecil, tetapi mereka perlu dididik menjadi anak yang ringan tulang.
Apabila pulang dari kerja, si ayah meminta anak lelakinya mengambilkan minuman dan menyimpan beg kerja miliknya. Sementara ibu pula menyuruh anak perempuan membantu mencuci pinggan mangkuk di dapur.

Mengapa kita perlu meminta tolong daripada anak-anak? Bukannya ayah tidak boleh mengambil sendiri minuman untuknya atau ibu tidak boleh menyiapkan kerja-kerja di dapur. Berikut adalah sebab-sebab mengapa anak-anak perlu dididik membantu kerja-kerja rumah.



1. Ia adalah perintah dari Allah iaitu seorang anak mesti patuh dan sedia berkhidmat untuk ibu dan ayahnya tanpa sebarang rungutan.


2. Ini kerana dengan meminta anak-anak membantu ibu ayah membuat kerja rumah, mereka mendapat sesuatu yang lebih mahal harganya iaitu doa daripada ibu ayah. Ia lebih mahal harganya berbanding segala harta yang ada di dunia ini. Bukankah doa dari ibu bapa itu tidak pernah ditolak oleh Allah SWT.


3. Satu cara mendidik anak tentang nilai murni dengan membantu orang lain secara amnya dan membantu ibu bapa sendiri terutamanya.


4. Kebolehan melakukan kerja-kerja rumah merupakan perkara penting yang mengajar seseorang kemahiran asas hidup. Sudah tentu ia akan membantu anak-anak lebih berjaya dan berdaya saing di masa hadapan apabila mereka perlu hidup berdikari. Kecekapan ini akan menambahkan keyakinan diri si anak serta tidak mudah bergantung kepada orang lain.


5. Menggalakan diri lebih berdisiplin dan mematuhi arahan, di mana ia kriteria penting menjadi pekerja yang berdedikasi di masa hadapan.


6. Kecekapan membuat kerja-kerja rumah juga mempersiapkan mereka menjadi seorang yang bertanggungjawab.


7. Kerja rumah memberikan peluang kepada ibu bapa untuk mengajar kemahiran hidup asas, galakan kesedaran dan tanggungjawab, menguatkan asas nilai kekeluargaan dan membina ikatan positif dengan anak-anak.


Oleh itu terangkan kepada anak-anak kita tentang hal ini, jadi mereka lebih seronok membantu ibu ayah dengan niat untuk mendapat keredaan Allah dan sebagai bonus dapat ganjaran pahala serta doa dari ibu ayah yang lebih bernilai daripada harga berjuta ringgit.
pama