Semoga perkongsian ringkas ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam mempertingkatkan amalan solat kita.
1. FAHAMI TUJUAN SOLAT
i) Untuk mendirikan solat kita perlu
tahu serta faham apa dan kenapa tujuan solat itu didirikan agar dapat
dikenal apa itu solat. Secara umum solat itu adalah untuk mengingati
Allah dengan cara memuji dan berdoa kepada-Nya.
ii) Ketahui juga tuntutan dalam
mendirikan solat. Solat bukan sekadar mengerjakan pergerakan serta
melafazkan bacaan tetapi juga hati yang sedar apa yang sedang
dikerjakan.
iii) Dalam penyediaan mendirikan solat,
ambil waktu sejenak untuk mengingatkan diri apa tujuan kita bersolat
pada waktu itu. Adakah kita bersolat kerana ingin memuji-muji-Nya,
kerana rahmat-Nya, kerana kita berhajat kepada-Nya atau adakah kita
bersolat kerana ingin dipandang orang. Peringatan ini untuk memastikan
kita mendirikan solat ikhlas kerana-Nya.
iv) Ini juga untuk mengingatkan kita bahawasanya kita akan berdiri dan menghadapkan wajah kita kepada Pencipta kita.
2. SOLAT DI AWAL WAKTU
i) Pengurusan masa juga antara faktor bagi meningkatkan kualiti solat itu sendiri.
ii) Seperti yang kita ketahui bahawa antara amalan yang Allah paling cintai adalah mendirikan solat di awal waktu.
iii) Antara kebaikan solat di awal waktu
adalah hati kita lebih tenteram dalam mengerjakan aktiviti seharian.
Kita tidak akan terasa resah dan gundah kerana kita tahu kita belum lagi
menunaikan tanggungjawab kita.
iv) Keburukan solat di akhir waktu pula
membawa kita tergesa-gesa untuk menunaikannya. Apabila keadaan
tergesa-gesa maka ia membawa solat kita dalam keadaan sambil lewa dan
ala kadar.
3. TENANGKAN DIRI
i) Solat yang baik adalah dalam keadaan yang tenang.
ii) Tenangkan diri sebelum melakukan takbir. Tarik nafas dan kawal pernafasan agar kita lebih relaks.
iii) Apabila kita tidak tenang atau
relaks, otot-otot kita lebih tegang(tense) dan ini secara tidak langsung
membuatkan kita sedikit gelisah tanpa kita sedari. Bila perasaan
gelisah tidak disedari ini berlaku, ianya akan membuatkan kita
terburu-buru dalam melafazkan bacaan kita serta ingin cepat
menyelesaikan solat.
iv) Apabila kita dalam keadaan tenang
dengan kawalan nafas yang baik kita akan lebih cenderung untuk membaca
bacaan kita dengan relaks dan perlahan tidak seperti keretapi ekspress.
Secara tidak langsung juga ia dapat membantu kita menghayati apa yang
kita baca dalam solat kita.
4. FAHAMI MAKSUD BACAAN
i) Ini adalah perkara paling asas dan penting dalam melaksanakan solat yang berkualiti.
ii) Antara faktor utama membuatkan kita
mudah hanyut dan memikirkan urusan duniawi adalah apabila kita tidak
mengetahui apa yang kita baca dalam solat kita.
iii) Fahami apa maksud takbir hinggalah
ke salam. Jika kita belum mengetahui maksud bacaan, berusahalah untuk
mengetahui bacaan kita. Lakukan sedikit demi sedikit sehingga kita tahu
semua maksud bacaan.
iv) Mengetahui dan memahami bacaan solat
sahaja sudah cukup memberi kesan yang besar kepada kualiti solat kita.
Jadi berusahalah dan rasakan perbezaannya.
5. TUMPU DAN HAYATI MAKSUD BACAAN
i) Kadangkala walaupun kita sudah mengetahui dan memahami maksud bacaan, kita masih juga tergelincir dari mengingati-Nya.
ii) Faktor pertama berbalik kepada
tujuan solat kita dirikan. Jika kita lupa tujuan solat kita sedang
dirikan secara tidak langsung kita lupa untuk menumpukan, menghayati dan
memaksudkan apa yang kita baca.
iii) Pentingnya tumpuan dan penghayatan
dalam bacaan adalah untuk mewujudkan rasa atau feel ketika melakukan
komunikasi dan hubungan spiritual dengan Pencipta kita. Apabila kita
menghayati bacaan kita, secara tidak langsung kita akan memaksudkan
setiap bacaan kita menerusi hati kita.
iv) Apabila telah wujudnya rasa dalam
berhubung dengan Allah, maka solat yang kita dirikan akan memberi makna
dan impak yang positif kepada kehidupan kita.
6. KELUAR DARI RUTIN
i) Kadangkala apabila kita sudah
terbiasa dengan sesuatu rutin secara tidak langsung perbuatan kita akan
menjadi automatik. Kita tidak lagi menggunakan otak untuk berfikir
kerana sudah menjadi kebiasaan.
ii) Pasti ada antara kita pernah melalui
situasi dimana kita mulakan solat dengan takbir, selepas itu
sedar-sedar sahaja kita dah memberikan salam. Kita tidak sedar dan ingat
pun apa yang kita lakukan di antara takbir dan salam.
iii) Salah satu cara untuk mengatasi masalah ini adalah dengan keluar dari rutin bacaan.
iv) Dalam solat, bacaan yang wajib dan tidak boleh ditinggalkan adalah al-Fatihah dan bacaan tasyahud / tahiyat.
v) Ambil inisiatif untuk menghafal dan
mempelbagaikan bacaan surah al-quran ketika berdiri. Di dalam ruku’,
duduk di antara dua sujud dan sujud juga terdapat pelbagai lagi bacaan
selain daripada bacaan yang lazim kita baca. Ini dapat menghindarkan
mode-autopilot dalam kita bersolat.
7. PENGHAYATAN BAHASA TUBUH
i) Menzahirkan penghayatan menerusi bahasa tubuh juga dapat membantu kita dalam membina solat yang berkualiti.
ii) Maksudnya di sini kita cuba
mewujudkan rasa atau feel menerusi pergerakan dan seterusnya
menghidupkan emosi didalam solat kita.
iii) Menurut sunnah ketika berdiri kita
disarankan untuk memandangkan ke tempat sujud kita. Mengapa? Antara
penjelasan paling mudah adalah untuk memudahkan kita untuk memberi
tumpuan serta fokus ketika solat.
iv) Antara hikmah lain juga adalah untuk
mewujudkan rasa kerendahan diri (humility) di hadapan Allah taala. Cuba
kita ingatkan kembali bagaimana keadaan kita ketika rasa malu, takut,
terhina. Di mana pandangan kita ketika itu kalau tidak ke bawah bukan?
Oleh itu gunakan keadaan itu mewujudkan rasa rendah diri ketika
berhadapan dengan Allah.
v) Sama juga untuk pergerakan-pergerakan
yang lain. Zahirkan rasa itu pada pergerakan tubuh kita. Sujud
contohnya, keadaan mana kita meletakkan wajah kita yang tinggi ke bawah
di atas tanah. Dalam keadaan paling rendah dan hina kita memuliakan dan
meninggikan yang Maha Tinggi. Sujud juga keadaan dimana kita paling
hampir dengan Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah.
vi) Rasakan feel serta emosi ketika
melakukan pergerakan solat serta bacaan yang kita bacakan. Anda akan
rasa perhubungan spiritual itu dengan rohani dan jasmani.
8. MENGAWASI KEBERADAAN DIRI
i) Dalam solat kita perlu mengawasi perhubungan (connection) yang kita lakukan dalam solat.
ii) Perhatikan adakah kita sedang
berhubung atau kita sudah ter’disconnect’ dengan Allah. Adakah kita
sedang menghayati dan memaksudkan dari hati apa kita bacakan atau kita
sedang memikirkan urusan-urusan dunia kita.
iii) Jangan lupa bukan sahaja mulut dan anggota tubuh bersolat tetapi juga pastikan hati kita juga bersolat.
iv) Rasulullah mengajar kita maksud
ihsan ialah bahawa “kamu menyembah Allah seolah-olah kamu
melihat-Nya,tetapi jika kamu tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia
melihat kamu.”
v) Dalam konteks untuk mempertingkatkan
kualiti solat kita perlu ada sifat ini. Jika kita mampu, lakukanlah
solat dengan melihat Allah menerusi mata hati. Jika kita belum mampu,
rasakan wujudnya Allah dengan rasa diperhatikan ketika mendirikan solat.
vi) Ingat bahawa Allah menghadapkan wajah-Nya ketika kita sedang solat selagi mana hati kita menghadap kepada-Nya.
vii) Dalam hadis qudsi Allah berfirman
bahawa Dia menjawab setiap ayat bacaan al-fatihah kita semasa kita
solat. Jika Allah menjawab setiap baris ayat yang kita lafaz, adakah
wajar kita memikirkan dan memalingkan hati kita kepada hal-hal yang
lain?
9. TAHU DAN HARGAI NILAI SOLAT
i) Sebahagian dari kita mungkin
merasakan bahawa solat ini tidak lebih dari perintah dan suruhan Allah.
Lalu kita merasakan amat berat untuk melakukannya kerana tidak merasakan
istimewanya solat itu.
ii) Tetapi tahukah anda bahawa solat ini adalah anugerah yang paling istimewa daripada Allah kepada kita.
iii) Semua amalan yang perintahkan
Allah, telah diwahyukan menerusi malaikat Jibril kepada Rasulullah.
Namun tidak kepada seruan solat lima waktu.
iv) Allah menjemput Rasulullah naik ke
Sidrat al-Muntaha melalui peristiwa israk mikraj untuk menerima seruan
solat. Wahyu Allah pada seruan solat tidak ada perantara melalui
malaikat Jibril. Wahyu-Nya adalah secara langsung kepada Rasulullah.
Betapa besar dan istimewanya seruan solat ini.
v) Seruan pertama solat lima waktu
seperti kita ketahui adalah 50 waktu. Tetapi kerana kasihnya Rasul kita
terhadap kita, baginda telah naik turun sembilan kali untuk memohon agar
dikurangkan hingga ke lima waktu. Sehinggakan baginda terasa malu
kepada Allah.
vi) Cukup dengan dua nilai ini. Pertama
keistimewaan solat hinggakan wahyu-Nya secara langsung kepada
Rasulullah. Kedua, permohonan Rasulullah yang memohon agar solat dari 50
kepada 5 waktu. Tidakkah cukup untuk kita menilai dan menghargai solat
ini.
vii) Tidak cukup dengan itu. Ganjaran
solat lima waktu Allah tidak kurang sedikit pun. Solat lima waktu tetap
sama ganjarannya seperti solat 50 waktu.
viii) Oleh itu lihatlah solat ini
sebagai sebuah anugerah yang besar dari yang Maha Pengasih dan Maha
Pemurah kepada kita yang selalu lalai ini. Cuba kita ubah perspektif
agar kita tidak lagi melihat solat sebagai sesuatu yang membebankan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan