Home Klik Di Bawah

Jumaat, 5 Februari 2016

Abai hak syariah punca rumah tangga pincang

Membina rumah tangga bukan seperti membina istana pasir di tepi pantai. Sekali ombak melanda, istana roboh berderai. Sebaik-baiknya jadikanlah binaannya kukuh, sekukuh istana konkrit, biar dilanda ombak dan taufan, ia tetap utuh dan teguh.

Namun kekukuhan dalam perkahwinan itu memerlukan ramuan yang padat, bukan sahaja dari segi kekuatan fizikal, mental, spiritual malah kemantapan ekonomi dan sosial. Perkahwinan adalah manifestasi cinta antara pasangan kekasih. Namun ironinya cinta di alam rumahtangga bukan sandaran yang kukuh untuk satu hubungan yang kekal hingga ke hujung nyawa. Ia menagih begitu banyak pengorbanan, pengertian serta yang paling utama ialah kejujuran.

Dalam usaha memberi kefahaman itu kepada pasangan suami isteri seharusnya sikap kerjasama dan tolak ansur adalah penting dalam melayari hubungan rumah tangga. Selain aspek kasih sayang, tanggungjawab dan kewangan, hubungan seksual juga amat mempengaruhi kebahagiaan hidup rumah tangga. Kerjasama hidup berkekalan Setiap perhubungan mesti ada kerjasama, baru hidup berkekalan. Yang paling utama kita sebagai pasangan perlulah berkongsi hidup sama ada dari segi intelektual, sosial, emosional, kerohanian dan kebatinan serta fizikal.



Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin minggu lalu, jam 10.15 pagi berkata, dalam setiap institusi rumah tangga, setiap pasangan suami isteri perlu menyedari bahawa masing-masing mempunyai hak tersendiri. Dalam Islam, setiap suami wajib melayani isterinya dengan baik dan setiap isteri juga wajib taat dan melayani suami dengan sebaiknya. Islam adalah agama yang sempurna, setiap hukum dan peraturan yang terdapat bukan hanya memihak kepada lelaki, tetapi juga kepada isteri dan semua pihak. Islam menetapkan suami bertanggungjawab memimpin rumah tangganya dan memenuhi hak isterinya serta memerintahkan supaya mereka berlaku baik terhadap isteri mereka sesuai dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Oleh itu, apabila hak isteri tidak ditunaikan dengan baik oleh suami sedangkan ia menyedari dan mampu melaksanakannya, maka dia dianggap sudah menderhakai Allah dan Rasul-Nya, juga menderhakai isterinya. Umumnya, masyarakat kita pada hari ini jarang menghayati perkara ini mengikut tuntutan syariat bahkan lebih cenderung untuk mengikuti tradisi yang berlaku dalam masyarakat. Tatacara kehidupan dalam rumah tangga diperoleh daripada amalan tradisi masyarakat atau pengalaman yang diperoleh daripada keluarga tanpa berpedoman kepada ketentuan Allah dan Rasul-Nya. Sedangkan apa yang ditimba dari masyarakat dan keluarga kemungkinan besar jauh daripada ketentuan Allah dan Rasul-Nya, sehingga suami sering melakukan pelanggaran terhadap hak isteri dan menganggapnya suatu yang lumrah dalam masyarakat. Perkahwinan sangat digalakkan dalam konteks agama. Pelbagai bentuk kebaikan boleh diperoleh melalui ikatan perkahwinan.

Ustaz Muhamad turut menjelaskan mengenai tauhid dalam memperbaiki hidup berumahtangga iaitu menerusi konsep tauhid. Kita sering mendengar, seseorang mengucapkan tauhid atau ‘jadilah seorang yang bertauhid’, ‘mari menegakkan tauhid’ dan ‘orang yang tidak bertauhid maka akan kekal di neraka’. Namun tahukah kita apa makna tauhid itu? Bagaimana seseorang dikatakan bertauhid. Ustaz Muhamad ada menyebut bahawa suami isteri perlu saling membantu dalam menguruskan hal rumah tangga. Rumah tangga pada hari ini rata-ratanya dibina suami dan isteri yang masing-masing mempunyai kerjaya tersendiri. Setelah seharian di tempat kerja, kepenatan adalah sama. Maka tidak sesuai jika hanya isteri yang bertungkus-lumus seorang diri di rumah. Andai si isteri menjawat status suri rumah sepenuh masa sekali pun, bukan bererti si isteri tidak berhak dibantu si suami. Dalam kepenatan menguruskan rumah tangga sebenarnya lebih penat berbanding kerja harian di pejabat.

Malangnya, tidak ramai suami yang bersedia membantu membuat kerja rumah. Perkara paling utama adalah dengan meminta bantuan suami sejak awal perkahwinan. Jika sejak mula anda telah membiasakan suami untuk membantu anda, tidak akan ada masalah lagi di kemudian hari. Masalahnya, ramai isteri yang hendak tunjuk hebat pada awal perkahwinan. Semua dia hendak buat hinggakan suami mahu menolong pun tidak dibenarkan. Pemimpin dalam rumah tangga Tanggungjawab suami sebagai pemimpin dalam sebuah rumah tangga adalah satu amanah Allah yang wajib ditunaikan. Ini bermakna menjadi tanggungjawab suami menanggung perbelanjaan keluarga mengikut kemampuannya. Kewajipan ini termasuk juga sama ada isteri mempunyai harta atau pendapatan sendiri.

Bagaimanapun, isteri boleh menyumbang untuk perbelanjaan keluarga dan dikategorikan sebagai satu sedekah. Oleh itu, sebagai suami, mestilah sedaya upaya berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab menyediakan perbelanjaan keluarga seperti tempat tinggal, pakaian, makan dan minum. Menurut Islam, seorang isteri berhak mendapat keperluan hidup dan nafkah yang mencukupi daripada suaminya, dan bukan sebaliknya. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Cuai dalam memberikan nafkah zahir adalah satu dosa.

Suami isteri perlu memahami peranan masing-masing dalam perkahwinan, jika mahu melihat ia terus utuh. Suami wajib memberi nafkah zahir pada isteri dalam tiga perkara iaitu makan minum, pakaian, dan tempat tinggal. Termasuk juga dalam nafkah adalah barang-barang keperluan lain seperti alat berhias, bersuci dan ubat-ubatan. Nafkah makan, minum, pakaian, tempat tinggal yang wajib itu semua adalah hak isteri. Tetapi jika isteri tidak berkata demikian dan suami pula mengabaikannya, maka haram dan berdosa besarlah suami dan itu juga mengakibatkan solat dan segala amalannya yang lain tidak diterima. Jika isteri derhaka kepada suami pula, segala amalan isteri ditolak, jika suami abaikan tanggungjawabnya pada isteri, segala amalan suami ditolak
 epondok.wordpress.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan