Home Klik Di Bawah

Selasa, 2 Februari 2016

Bila Allah Tidak Tunaikan Apa Yang Diminta.. Pasti Ada Perkara Yang Tak Pernah Terjangkau Oleh Fikiran Kita.

Bila Allah Tidak Tunaikan Apa Yang Diminta
Awan mendung mula memenuhi langit bumi Syam dua minggu ini, menandakan fasa klimaks Shita (musim sejuk) kian menghampiri.

Butir-butir kapas putih akan memenuhi bumi Amman dalam beberapa hari lagi.

Sebahagian masyarakat arab itulah yang dinantikan mereka, sebahagian yang lain musim sejuk ini merupakan musim yang sangat berat bagi mereka disebabkan mereka berada dalam keadaan yang sangat daif, bahkan sebahagian dari mereka hanya tinggal di dalam khemah dan mereka ini merupakan pelarian Syria.

Begitulah kehidupan, ada sesuatu yang bagi kita nikmat akan tetapi bagi manusia yang lain ia suatu musibah.
Walaupun begitu, apa sahaja yang diberi pasti ada hikmah dan sebagai hamba Allah Azawajal kita diajar untuk bersyukur walau terkena musibah.

Tetapi inilah kelemahan kita, kita hanya akan bersyukur dengan benda yang pada pandangan kita ia memberi manfaat.



Jika ia memberi kita musibah maka kita akan terus merungut sehingga kadang-kadang kita menyalahkan Tuhan disebabkan tidak beri apa yang diminta.

Kita silap sebenarnya, di sini ada sebuah cerita sebagai renungan.
Ia berlaku di Riyadh ketika Syeikh Ali Tantawi berada di sana, beliau telah menetap di Mekah.

Beliau menceritakan, bersamanya seorang lelaki dari Syam yang juga menetap di Riyadh. Lelaki tersebut tinggal bersama-sama ibunya.

Pada suatu hari, lelaki tersebut terpaksa bermusafir ke Lubnan atas urusan kerja. Namun ibunya berat hati untuk membenarkan lelaki tersebut pergi, dek kerana ibunya akan sunyi dan tinggal keseorangan.

Namun lelaki itu memujuk ibunya, dan dia telah menghantar beg beserta semua yang berkaitan kerja kepada syarikat penerbangan yang akan beliau naiki pada keesokkan paginya.

Pada pagi itu, ibunya telah mengejutkan lelaki itu sebelum subuh supaya dia sempat bersiap-siap dan bertolak ke lapangan terbang, kerana dia hanya ada 3 hingga 4 jam sebelum penerbangan.

Lelaki telah bangun dan bersiap-siap dengan cepat, dia telah mengambil sebuah teksi dan memintanya membawa dengan laju.

Lelaki tu akan bayar dua kali ganda kepada pemandu tersebut.

Dalam hatinya dia berdoa dengan penuh keikhlasan dan pengharapan kepada Allah Azawajal agar dapat sampai ke lapangan terbang tepat pada waktunya dan tidak terlepas kapal terbang.

Akhirnya lelaki tersebut sampai di lapangan terbang dan masih berbaki setengah jam sebelum penerbangan. Dia terus memasuki ruang menunggu dan masih berbaki setengah jam sebelum pintu kapal terbang dibuka.
Lelaki tersebut mendapatkan sebuah kerusi di ruangan menunggu dan telah tertidur.

Setelah berlalu setengah jam, pintu dibuka dan pengumuman dibuat menggunakan pembesar suara untuk memaklumkan bahawa kapal terbang akan berangkat.

Namun lelaki tersebut tidak langsung mendengar pengumuman tersebut bahkan terus tidur.  Adakah Allah Azwajal tidak memaqbulkan apa yang diminta oleh lelaki tersebut ketika di atas kereta tadi?

Maka di sini ada sesuatu yang lain, kita perlu tahu bahawa Allah Azawajal tidak selalunya memberi apa yang diminta oleh hambanya yang ikhlas secara terus, tetapi sebagai manusia kita disuruh untuk berdoa dan meminta perkara-perkara yang baik.

Namun di akhirnya Allah Azwajal jua yang tahu apa yang terbaik untuk kita. Walaupun kita akan menangis, bersedih, rasa kecewa  sebelum kita tahu hikmah dan cara Allah memberi kepada kita.

Berbalik kita kepada cerita tadi, anda tahu apa yang berlaku?

Ada sebuah kapal terbang milik syarikat terbesar di tanah arab, dan ia terhempas pada tahun tersebut, apakah kaitan ia dengan lelaki tersebut?

Ya, itulah kapal terbang yang sepatutnya dinaiki lelaki tersebut, kapal terbang yang terlepas dan membuatkan lelaki tersebut sedih dan susah.
Sungguh manusia meminta apa yang disangkanya bahawa ia sangat memerlukan, tetapi ketahuilah Allah Azawajal lebih tahu akan diri manusia, apa yang diperlukan dan apa yang tidak diperlukan.
Jika seorang ayah pergi ke pasaraya lalu dibawa bersamanya seorang anak kecilnya.

Ketika berjalan-jalan anaknya ternampak mainan, lalu dia meminta ayahnya membelikan.

Lalu si ayah membelikanya. Seketika pula anaknya meminta buah-buahan, maka si ayah membelinya lagi. Seketika pula anaknya meminta gula-gula, lalu si ayah membelinya lagi.

Seketika mereka melalui sebuah farmasi di dalam pasaraya tersebut, anak kecil tadi melihat ubat yang berwarna merah, dilekatnya pula “JAUHKAN DARI ANAK KECIL”, lalu anak tersebut meminta untuk dibelikan, adakah ayahnya akan mebelikan juga demi tidak mahu menghampakan si anak tadi?

Jika si ayah tadi tahu akan apa yang terbaik untuk anaknya maka dia tidak akan membeli dan memberinya ubat tersebut, kerana dia tahu anaknya tidak memerlukan.

Sesungguhnya Allah Azawajal itu jauh lebih mengasihi dan mengetahui akan hal hambanya lebih dari mana-mana ibu atau ayah.

Sebagai hamba, maka ketahuilah Allah Azawajal sentiasa mendengar dan menqabulkan setiap permintaan hambanya, sedangkan iblis laknatullah ketika hendak diazab oleh Allah meminta agar ditangguhkan azab pada hari akhirat, firman Allah:
  1. Berkata iblis: “Ya Tuhanku, (kalau begitu) maka beri tangguhlah kepadaku sampai hari (manusia) dibangkitkan
  1. Allah berfirman: “(Kalau begitu) maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh
Inikan kita manusia yang sentiasa menyesal atas perbuatan dosa, bahkan kita selalu berusaha untuk melakukan segala perintahNya.

Lagilah Allah Azawajal mendengar dan memandang permintaan manusia yang meminta dengan penuh keihlasan dan pengharapan.

Dalam sebuah Hadis Qudsi Rasulullah S.A.W bersabda:
أبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً
Hadits abu hurairah r.a. ia berkata rasulullah saw.bersabda:
“Allah berfirman: ‘Aku berada pada sangkaan hamba-Ku, Aku selalu bersamanya jika ia mengingat-Ku, jika ia mengingat-Ku pada dirinya maka Aku mengingatnya pada diri-Ku, jika ia mengingat-Ku dalam suatu kaum, maka Aku mengingatnya dalam suatu kaum yang lebih baik darinya, dan jika ia mendekat kepada-Ku satu jengkalmaka Aku mendekat padanya satu hasta, jika ia mendekat pada-Ku satu hasta maka Aku mendekat padanya satu depa, jika ia datang kepada-Ku dengan berjalan kaki, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari.”

Kesimpulan: Allah tahu apa yang terbaik buat hambanya walaupun Dia tidak tunaikan apa yang diminta

Teruslah berdoa dan meminta pada Allah Azawajal dan bersangka baik kepada Allah.

Jangan pernah berputus asa dan kecewa, yakinlah dengan setiap apa yang diminta bahawa Allah Azawajal akan menunaikannya dengan cara yang paling terbaik atas hambanya.

Semoga penulisan ini bermanfaat untuk kita semua.

Muhamamd Nazirul Bin Mohamad Musidi
Sweileh, Amman, Jordan.
29/12/2015

akuislam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan