Home Klik Di Bawah

Isnin, 29 Februari 2016

Hati - Proses Pemulihan dan Menjaganya

Yang paling berkuasa dalam diri manusia ialah hati, hati umpama raja, pancaindera dan segala anggota badan bagaikan rakyat yang tunduk patuh kepada perintah hati. Maka jagalah hati
Mula-mula kita perlu bersihkan hati, macam mana nak bersihkan hati?
 
Pertama, doa. Setiap kali solat atau bila-bila masa kita yang lapang mohonlah agar Allah SWT menyucikan hati kita dari segala rasa tak puas hati, marah, iri hati dan sebagainya dan diberikan hati yang bersih, ikhlas dan rendah hati semata-mata kerana-Nya.
Kedua, zikir. Kalau kita baca buku Tok Kenali, Tok Kenali berzikir dengan surah Al-Ikhlas, kita pula pilihlah satu untuk dijadikan zikir harian. Tiap-tiap hari buat (konsisten), mulakan dengan 30x, 100x, 1000x dan seterusnya. Kalau tak mampu buatlah sekadar yang boleh dan secara konsisten, ini yang penting.
Ketiga, banyakkan dengar pada perkara-perkara yang positif, kurangkan dengar muzik, dengar ceramah yang kurang baik, jangan lihat pada perkara-perkara negatif, kurangkan bercakap perkara yang tidak faedah atau sia-sia, membaca buku yang tiada aura positif. Sepatutnya kita pusatkan semua pendengaran dan penglihatan kita pada perkara yang positif. Bila aura positif dikeliling kita rezeki senang masuk, hidayah pun senang masuk, pertolongan Allah SWT pun senang terima.
Keempat, rawat hati dengan ayat suci Al-quran. Ini adalah satu kaedah terapi yang sangat mujarab. Rawatan hati dengan menggunakan ayat suci Al-Quran. Baca Al-Quran saja pun boleh dengan tafsir sekali pun lagi bagus. Bagi diri saya, saya lebih suka baca Surah Yassin… setiap hari... pada diri kalian terpulanglah. Tapi memang mujarab bila kita ada penyakit hati, masalah hati, masalah dunia, rawatlah dengan ayat Al-Quran… Insya-Allah dilapangkan selapang-lapang jalan... bayangkan masalah hati yang sakit akibat orang mengumpat boleh dihapuskan... lega
Kelima, berbicara dengan Allah SWT. Selalulah berbicara dengan-Nya. Nak cakap dalam hati pun boleh nak cakap perlahan-lahan pun boleh. Tapi janganlah sampai orang dengar. Nanti dikatakan gila ke cakap sorang-sorang. Tapi mereka tidak tahu yang kita sedang bercakap dengan Allah SWT Selalunya apabila kita berbicara dengan Allah SWT, tak kiralah kita berbual kosong ke, kita bertanya soalan ke, kita sedang mengucapkan terima kasih ke... semua ini akan dijawab oleh Allah SWT melalui perantaraan seperti surat khabar, ceramah, buku dan sebagainya. Pernah tak kita dengan secara tak sengaja terbuka buku yang tak pernah kita baca, tapi bila dibelek-belek ada jawapan yang kita sedang fikirkan selama ini… Ini lah petunjuk yang dimaksudkannya, dengan adanya lorongan-lorongan yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita, nescaya kita sedang dibimbing kejalannya. Lihatlah betapa penyayangnya dan pemurahnya Allah SWT sedang memandu kita berada diatas jalan-nya yang benar. Dan jika hidayah ini tiada, maka seperti cacing kepanasanlah kita, teraba-rabalah kita dalam terang, hati kita gundah gulana seperti kehilangan kekasih hati...
Keenam, solat malam dirikanlah… manakala solat wajib jangan tinggal… Di sini saya ingin memberi tips bagaimana membuatkan hati kita suka pada solat… caranya begini… Bila tiba waktu solat sentiasa berkata Allah dah panggil saya, saya pun suka/rindu/sayang sangat nak jumpa Allah… cepat-cepat ambik wudu’... lama-lama kita buat macam ni… kita “training” hati kita macam ni… Insya-Allah senang hendak solat. Bila kita cakap perkataan rindu, sayang nak jumpa..lama-lama memang kita rindu kalau tak jumpa..dan bila sudah terbiasa, kita sudah tidak payah lagi nak cakap rindu ke sayang ke… hati kita dan kaki kita terus sahaja melangkah untuk dirikan solat… terdorong macam tu aje… mudah sangat… sebab memang hati kita rindu bila tak membuangkan segala masalah dunia ini pada dia… Dan kebaikkan hasil dari “training” ini, bila kita terdetik je nak solat malam… memang mudah sangat seolah-olah kita digerak untuk bangun malam… jam badan kita sudah mula berfungsi…
Ketujuh, perbanyakkanlah berpuasa. Sebelum nak perbanyakkan berpuasa sunat… lihat dulu puasa wajib kita. Adakah kita sudah merasa akan kemanisan dan kenikmatan setiap kali bulan Ramadhan tiba. Apabila kita berasa suka hati akan ketibaan Ramadhan kita juga akan berasa senang dan mudah untuk berpuasa Sunat... kenapa saya berkata begini sebab ikhlas. Kita kena ada hati yang sangat ikhlas untuk melakukan sesuatu ibadah terutama yang melibatkan nafsu. Nafsu makan sukar nak tahan-tahan… apatah lagi berpuasa bukan dalam bulan Ramadhan… godaan… betul tak?Macam mana nak membina hati yang ikhlas… niatlah dihati kerana Allah SWT… Insya-Allah apabila hati mendengar niat kerana Allah SWT, ia akan tunduk.
Yang seterusnya jaga hati, bagaimana nak jaga hati?
Pertama, tolong buangkan semua sikap kita yang suka mengumpat, mengata, mengeji, bersangka buruk, mengutuk, bajet bagus, mencerca, mengadu domba semualah sikap yang sangat-sangat negatif ini. BUANG SEMUA… Banyakkan mendiam diri dulu, kita diam bukan sekadar diam ye, diam-diam kita untuk menjauhkan mulut kita dari berbicara perkara yang sia-sia atau terngumpat orang, jangan pula kalau sesiapa bertanya kita diam pula… Dan jika ada sesiapa dikalangan teman kita yang mengumpat sila tinggal kumpulan tersebut… atau nasihatkan dia supaya tidak berbuat demikian… kalau tak makan saman dengan cara terhormat sila elak kawan atau teman seperti itu. Kenapa sebab jika kita dengar sama maka pahala solat kita habis semua bagi kat orang kita ngumpat, terima kasihlah banyak-banyak kerana memberi pahala percuma… (kalau tak caya sila rujuk hadis). Kalau terngumpat sila istighfar banyak-banyak moga-moga Allah SWT mengampunkan dosa kita. Belajarlah berkata yang baik-baik, berfikir yang baik-baik, pandang yang baik-baik, Insya-Allah hati kita juga baik-baik.
Kedua, tolong buang semua penyakit hati didalam diri. Jangan ada iri hati, dengki, sombong, berlagak, sakit hati, dendam, marah dan sebagainya. Buang semuanya penyakit hati ini... Misal kata kita terlihat seorang kafir ini (bukan kafir harbi ye, kafir tu memang dah tegar tolak Islam), kita kutuk dia dengan mengata dia ni pasti masuk neraka jahanam. Ajar hati kita, cakap dengan hati kita, jika dia mengucap 2 kalimah Syahadah dia terus bersih sebersihnya dari dosa… tapi kita belum tentu sebersih macam dia… apa kita rasa… rendah hatikan… begitulah yang patut kita buat jika kita hendak didik hati kita supaya tidak bangga diri dengan apa yang kita miliki.
Jika ipar duai kita atau mak mertua yang suka dok kutuk kata belakang kita ke depan kita ke, apa yang kita perlu buat, doakan dia supaya dia sedar diri sebab mereka mungkin tidak terima hidayah dari Allah SWT sebenarnya, kesiankan mereka… sebab hati mereka banyak sangat sifat negatif langsung tak nampak cahaya Ilahi. Oleh itu kita minta dari Allah SWT supaya dikurniakan hidayah keatas hati mereka. Jangan kita membalas pula, kita duduk diam-diam. Biar kerja-kerja ini Allah SWT yang selesaikan. Nampak tak caranya? Kita pula teruskan persiapkan diri kita untuk bertemu dangan Allah SWT, itu yang penting.
Jika kita marah, sakit hati atau berdendam dengan orang, maafkanlah sahaja, sebab dengan maaf kita buang penyakit hati ini. Jika kita berasa iri hati dengan kekayaan orang lain katakanlah, kita cuba renung balik apa yang Allah SWT berikan pada kita, ada tak orang disekeliling kita menyusahkan kita, cukup tak apa yang Allah SWT berikan… Kalau jawapan kita tiada orang yang menyusahkan diri kita dan cukup segalanya, bersyukurlah kerana kalau teman kita tu banyak duit pun dia hendak bantu ahli keluarga dia sakit ke, susahke, jadi kita cakap kat hati kita bahawa Allah SWT telah berlaku adil pada semua makhluknya, semuanya ada bahagian masing-masing dan sangat adil. Dengan perasaan yang demikian penyakit iri hati, dengki tu semua hilang, maka dengan tidak semena-mena Allah SWT akan tambah rezeki kita lagi kerana kita telah bersyukur. Macam itulah hendaknya, buang semua penyakit hati lama-lama kita dengan senang membebaskan diri kita dari penyakit hati. Mudahkan. Perbanyakkan latihan, bila sesuatu kejadian atau lintasan yang negatif di fikiran atau masalah, cuba kita kembali kepada-Nya dengan memotivasikan diri kepada minda yang positif supaya hati kita juga positif dan menolak jauh semua penyakit hati ini.
Ketiga, maafkan semua orang walaupun pedih, tapi maaflah. Sebelum tidur, ambil wuduk, doa dulu atau mengucap, maafkan semua orang (termasuk ibu bapa) yang pernah menyakiti hati kita samada hidup atau yang sudah meninggal lepas tu istighfar sampai kita lena.
Keempat, cari kawan yang pemikiran positif dan hatinya ingin kearah kebaikkan. Mulai dari sekarang tolong pilih kawan yang mengajak kita ke syurga. Insya-allah senang hidup kita. Jika orang tidak mahu kawan dengan kita pun, tak perlu susah hati, Allah SWT kan ada. Jadilah teman dia, berdampinglah dengan dia lagi seronok. Nampak tak caranya, semua permasalahan kita positifkan ia supaya hati kita mudah di lentur, lembut, rendah hati, senang dengar kata kerana semua ini akan menyenangkan hidayah untuk bertapak. Kesimpulannya, berkumpullah dengan orang yang soleh-soleh, Insya-Allah kita juga Soleh/Solehah.
Kelima, tingkatkan ilmu. Ini penting sangat-sangat. Ada ilmu barulah boleh beramal takut sesat… Nak mengenal hati bacalah buku berkaitan dengan Hati, kalau nak mempebetulkan cara ibadah baca buku yang berkaitan, kena adalah sedikit ilmu sebab kalau kita pergi ke majlis ilmu kita akan tapis setiap ceramah yang kita dengar… bila tak jelas kita tanya soalan atau cari balik buku-buku rujukan, bukan ambil bulat-bulat isi butir yang penceramah berikan. Dia juga manusia tak lari dari kesilapan. Walaupun kita dilahirkan beragama Islam dan belajar mengenai Islam di sekolah sebenarnya itu belum cukup lagi… Diri kita sendiri kena cari lebih dari itu, teroka lagi ilmu Allah SWT banyak lagi ilmu yang kita ketinggalan, ilmu-ilmu yang tahap tinggi seperti ahli-ahli sufi dapat kita pun boleh dapat tapi bagaimana caranya kenalah berusaha mencarinya dari sekarang.
Keenam, hindarkan dari memberi signal-signal negatif kepada alam sekeliling... jika ada masalah atau kekurangan pada diri… jangan suka memberi kata-kata negatif sebaliknya selalu berkata pada diri kata-kata yang positif… contohnya: kalau kita tak cantik pun kata cantik… kerana apabila kita selalu berkata dalam diri perkataan cantik… satu hari nanti secara kita tidak sedar, diri kita juga berubah kearah itu… Apa-apa pun kelemahan just cakap yang positif... Insya-Allah your dream will be come true… Kenapa boleh jadi begini… sebab minda bawah sedar kita yang bekerja menjadi apa yang kita fikirkan… begitu juga jika kita hendak mengenali Allah SWT Niatkan dalam hati… tiap-tiap hari niat nak mengenali Allah SWT, jangan lupa buat apa yang Allah SWT suruh dan tinggal apa yang dilarangannya… Insya-Allah kita pasti akan kenal dan sayang dengan Allah SWT lebih dari manusia.
Akhir Sekali....
Dan ikhlaskanlah hati, ikhlaskan hati kita dalam melakukan 2 perkara diatas iaitu semasa menjaga hati dan semasa membersihkan hati. Niatkan dalam hati tujuan kita dan niatkan kerana Allah SWT Dengan berniat kita tidak akan terpesong dari jalan yang lurus dan Allah SWT akan memimpin kita. Memimpin hati kita kearah yang betul yang mana selama ini kenapa kita malas sangat nak bersolat, kenapa suka cakap banyak, kenapa buat perkara sia-sia, kenapa itu kenapa ini… semua akan terjawab. Apabila kita ikhlaskan hati, segala perbuatan, pertuturan dan pemikiran kita bergabung menjadi satu matlamat iaitu mendapat redha Allah SWT Hati yang ikhlas, jiwanya bersih, hidayah pun senang masuk… sebab itu ikhlas adalah aura yang tersangat penting untuk menjayakan misi kita bertemu dengan Allah SWT di akhirat nanti.
Apa Hasilnya Jika Kita Melakukan Terapi Hati?
Ya, kita bagai tedorong untuk melakukannya tanpa rasa malas, tertangguh-tangguh, bila sampai waktu terus mendirikan solat, bila ada orang meminta terus kita memberi, setiap kali solat tak ketinggalan membaca Al-Quran, nak buat kebaikkan terus buat tanpa ternanti-nanti… beginilah keadaan orang yang menjaga “Hati” memudahkan cara hidup mereka. Penuh dengan keimanan dan ketakwaan yang sangat ikhlas. Hati kita sendiri bagai terdorong dengan sangat sangat mudah… Masya-Allah, Subhana-Allah… tak tau nak cakap. Inilah yang saya katakan “hati” itu dapat menjaga 5 rukun Islam dengan senang sekali. Kesimpulannya: segala ibadah kita akan terjaga.
Inilah hakikatnya, bila hati dijagai dibersihi… Insya-Allah ibadah kita senang… sungguh senang nak didirikan, dijalankan, ditunaikan tanpa paksaan, tanpa perlu berdolak dalik lagi, tanpa suruhan… Nampak tak? Kita juga senang sangat-sangat terima hidayah atau petunjuk dari Allah SWT
Demikian juga bagi orang yang menjaga hati, kesihatan diri lebih baik dari orang yang tidak menjaga hati. Tiada penyakit kronik seperti jantung, kencing manis, darah tinggi atau buah pinggang, terdapat kajian yang telah membuktikkannya (kalau rajin bolehlah cari). Kajian di barat menunjukkan gaya hidup orang yang bermasalah dan orang yang positif terhadap penyakit yang dihadapi. Didapati orang yang positif, hayat mereka panjang dan tiada penyakit begitulah sebaliknya… kenapa ini berlaku, orang yang menjaga “HATI” dirinya tenang, aman, tidak celaru, mudah, tersusun, lemah lembut, positif, tidak pernah berputus asa… itulah kunci kesihatan mereka. Sekarang nampak tak bagaimana hati menjaga kesihatan kita, dan lagi wajah kita awet muda!!
Dari segi keselamatan pula, kita nak tahu macam mana hati boleh menjaga keselamatan diri kita… orang yang menjaga “Hati” senang mendapat gerak hati atau kata hati yang sangat kuat. Jika ada bahaya yang bakal terjadi atau orang yang mempunyai niat yang tidak baik, gerak hati mereka atau kata hati akan memberi signal-signal atau lintasan amaran, waspada yang kita sendiri akan tahu… lihat... kuasa hati yang Allah SWT berikan amat berguna pada diri kita yang lemah ini.
Dan orang yang menjaga hati, akan terjaga sama seluruh rezeki dan pendapatannya dari perkara-perkara haram dan subhah... kerana hatinya bersama Allah SWT, maka nafsu kehendak dan keinginan kurang. Bukan tak nak langsung tapi kurang. Misalnya, pakaian yang cantik-cantik, saya pun suka tapi kurang bukan berlebihan sehingga terpaksa mencari duit yang tidak tahu puncanya (rasuah, amalan riba, skim cepat kaya, duit infiniti) semata-mata untuk memenuhi selera. Makanan juga tak perlu bermewah hanya sekadar untuk mengenyangkan perut sahaja supaya tidak tumbang semasa menjalankan ibadah. Jikalau kita sanggup berbuat demikian, Insya-Allah badan kita tidak akan gemuk. Apabila kehendak dan keinginan kita tidak berlebihan, Insya-Allah kita mampu menjaga perkara-perkara haram dan subhah dalam pendapatan dan rezeki kita perolehi. Kerana hati yang bersih dapat menurunkan nafsu yang berlebih-lebihan tapi tak salah untuk kita berlebihan jika kita dapat memberi pada mereka yang kekurangan. Dengan keseimbangan ini juga dapat membersihkan harta kita dan dapat merendahkan hati kita juga. Ramai sahabat Nabi yang kaya raya. Abu Bakar Al-Siddiq juga kaya.
Dan ilmu kita, sebenarnya apa yang saya tulis ini adalah datangnya dari Allah SWT Dia yang memberi idea dan ilmu ini kepada saya untuk berkongsi dengan para pembaca yang disayangi. Berterima kasihlah dengan rasa syukur kerana dia membenarkan ilmu ini dikongsi melalui saya diatas kehendaknya jua. Apa-apa jua ilmu yang kita dapat dari-Nya boleh ditarik bila-bila masa yang dikehendaki dan semua dan segala-galanya adalah pinjaman termasuk O2 dan saya sebenarnya adalah seorang papa kedana di dunia ini.
Pancaindera, apabila hati kita baik maka ia akan mempengaruhi segala pancaindera untuk melihat, mendengar, perbuatan, perkataan yang baik-baik. Jika kita ditempat kerja bermain dengan duit, mata kita tidak akan memandangnya sebagai peluang tetapi sebagai amanah. Kenapa kita boleh bertahan melihat duit itu kerana mata hati kita telah mengambilalih dari nafsu. Kerana kerja kita ikhlas kerana Allah SWT. Begitu juga dengan melihat benda-benda prono… mungkin satu masa dulu kita semua pernah lihat tetapi apabila mata hati mengambilalih, runtuhnya nafsu tersebut kerana Allah SWT. Apabila kita mendengar perkataan yang kurang baik dari mulut penceramah, hati kita sukar untuk mendengar dan menerima perkataan tersebut... hati tak gembira dan cepat-cepat untuk meninggalkan majlis tersebut. Apabila hati sudah bertaut dengan Allah SWT kesemua pancaindera kita dijaga dibimbing didorong untuk melakukan kebaikan sahaja. Lihatlah kalian, jika hati kita jagai. Masya-Allah Subhanallah… Allah SWT akan jaga dan pelihara kaki tangan dan seluruh anggota badan kita dari melakukan maksiat... dimana satu hari nanti anggota badan kita ini juga yang akan membuat laporan ketika mulut kita terkunci apabila berhadapan dengan Allah SWT kelak.
Hubungan kekeluargaan, dapat mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga, masyarakat... kerana hati yang baik selalunya tidak menyimpan dendam atau nak menyakitkan hati semua pihak. Jadi jangan sangka orang yang diam apabila disakiti itu tidak ada perasaan. Mereka sebenarnya malas nak layan orang-orang yang berpenyakit hati… sangat kesian… jadi apa yang perlu kita INGAT ialah orang yang baik kita berkawan orang yang berpenyakit hati kita kena kesian. Itu aja formulanya kalau ada diantara kita yang berjumpa dengan orang-orang begini… Mudah bukan… Satu lagi saya nak ingatkan, jangan suka mempersendakan mereka yang tidak pakai tudung, mereka yang berpakaian singkat atau apa-apa jua kelemahan dan keburukkan orang… kerana kalau bukan kita yang jadi macam tu kemungkinan keturunan kita yang begitu… jadi kalau dah tak de apa nak cakap, nak tulis … diam atau ingat Allah SWT banyak-banyak dan tolong doakan mereka mendapat hidayah sebab hidayah datangnya dari Allah SWT bukan dari mulut kita. Dan diharap kita semua jangan suka sangat nak buka buku akaun dengan manusia. "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)”. (Al-Qasas: 56)
KESIMPULAN
Kesimpulan: Ubat Hati = Solat (Terapi Hati (Bersih Hati + Jaga Hati) x Keikhlasan)
Kita boleh faham kan formula ini..
Dari hati kecil saya berkata… bukan senang nak “maintain” hati senantiasa baik… bukan senang kalian… kerana hati apabila diuji kalian tahu bagaimana rasanya dan jangan sangka orang yang jaga hati tidak boleh berubah... hati boleh berubah walaupun sesaat... inilah realitinya sebab kita bukan para Nabi yang terpelihara hatinya… kita hanya manusia biasa yang kerdil… walau apapun yang terjadi, kita kena cuba jaga hati dan bersihkan hati sehingga semaksima yang mungkin... jadi sesiapa yang diuji itu Allah SWT sebenarnya Allah SWT sangat sayang pada kalian… dan terimalah ujian itu sebagai tanda kasihnya Allah SWT kepada kita… perbanyakkan solat malam sebab inilah sumber kekuatan hati.
Apabila Allah SWT pusing hati kekiri kita kita boleh berubah menjadi fasik dan munafik tapi jika Allah .SWT pusing lagi kekanan maka kita pun jadi mukmin, soleh dan sebagainya. Inilah yang kita takuti dan moga-moga Allah SWT janganlah membolak balik hati kita dari agama kita setelah Allah memberi petunjuk dan hidayah kepadakita.
Sebab itu saya nasihatkan… janganlah buang masa dengan perkara-perkara tidak berfaedah dan sia-sia… memporak perandakan negara, menjadi musuh kepada orang Islam sendiri, berhimpun/demostrasi pada perkara yang tidak faedah… actually banyak lagi kita belum dikejar, dicapai... kalau tengok nak jaga hati nak bersihkan hati pun, bukan mengambil masa yang singkat... bertahun-tahun... wahai adikkakak abang-abang... itu belum lagi nak capai Solat, Puasa, Sedekah, Zakat, Haji kearah kesempurnaan. Kita boleh bayangkanlah Bab Solat pun kita semua belum lulus lagi (dalam solat pun ada wajib ada sunat… adakah kita sudah mengetahuinya)... so jangan buang masa dan jangan tunggu sehingga Allah SWT tarik segala nikmat keamanan yang diberikan... tolonglah hijrahkan hati sebelum terlambat...
Ingatlah: jika kita melihat dengan Mata Hati maka kesenangan dan kebahagian dunia dan akhiratlah jawabnya, tapi apabila kita melihat dengan Mata Nafsu maka huru-hara dan malapetakalah jawabnya… tanyalah dengan diri sendiri mana satu Mata yang kita inginkan..

Tahap hati yang tinggi tiada langsung lintasan samada hati atau fikiran untuk menyakitkan hati orang lain. Hatinya tiada selera untuk ambil tahu kelemahan atau keburukkan orang. Jadi jangan ada satu Nano Titik pun penyakit hati dan mulut yang bersarang dalam diri kita kerana akan rosak seluruh ibadah kita sebenarnya… Jika kita dapat sampai ke tahap begini… sesungguhnya hati kita, Hanya ada Allah SWT sahaja yang bertahta... Amin… dan apabila hati itu milik Allah SWT datanglah beribu ujian didunia… pasti takkan beralih walau seinci pun daripada tali-tali Allah SWT.
 http://perjalanantanpahenti.blogspot.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan