Bagi penggemar siri animasi Boboiboy, pasti tertanya-tanya siapa pemilik suara kartun superhero itu.
Jangan terkejut kerana di sebalik personaliti Boboiboy, dia adalah gadis berusia 17 tahun, Nurfathiah Diaz, 17.
Mula membabitkan diri sebagai pelakon suara sejak berusia tujuh
tahun, Nurfathiah atau lebih mesra disapa Thiah tidak menyangka dia
mampu bertahan sehingga sekarang.
“Saya meminjamkan suara bagi watak Upin dan Ipin sejak berumur tujuh sehingga 10 tahun.
“Selepas itu, saya meminjamkan suara untuk Boboiboy pada usia 12
tahun sehingga sekarang. Kiranya, tahun ini genap 10 tahun saya terbabit
sebagai pelakon suara,” katanya.
Menurut Thiah, menjadi pelakon suara sama sekali tidak pernah terlintas di fikiran sebaliknya rezeki itu hadir secara kebetulan.
Namun, secara perlahan-lahan minatnya terhadap bidang itu mula bercambah sehingga menjadi pilihan penerbit syarikat animasi.
“Saya tidak pernah tahu wujudnya bidang ini. Bukan apa, sejak kecil
lagi ketika menonton kartun saya sangkakan itu adalah suara mereka
sendiri.
“Apabila diberi peluang melakonkan watak Upin dan Ipin serta Boboiboy, baru saya faham.
“Ternyata ia bukan semudah disangka kerana perlu berlakon dengan
emosi yang betul mengikut skrip disediakan. Ada ketika untuk satu-satu
babak mengambil masa yang lama,” katanya.
Sambung Thiah, dia masih bersekolah seperti biasa kerana poses rakaman suara dilakukan pada setiap Sabtu dan Ahad.
“Jika kebetulan ada perkara penting atau pembetulan, baru proses rakaman dijalankan pada hari biasa.
“Kebiasaannya setiap kali sesi mengambil masa enam jam membabitkan
satu episod. Tetapi ia juga bergantung kepada durasi babak itu,”
katanya.
Menerusi filem Boboiboy, Thiah mengambil masa dua tahun untuk
merakamkan suaranya kerana proses pembikinan filem itu dilakukan secara
berterusan.
Selepas filem itu mendapat sambutan menggalakkan peminat di Malaysia,
Thiah tidak sabar bertemu peminatnya di Indonesia pada 13 April ini.
“Memandangkan siri ini turut ditayangkan di Indonesia, jadi tidak dinafikan ramai peminat saya dari sana.
“Sejak mereka mendapat tahu filem ini bakal ditayangkan di sana,
setiap hari Instagram saya dihujani komen mereka tidak sabar mahu
berjumpa saya,” katanya.
Insurans suara
Sepanjang sedekad pembabitannya sebagai pelakon suara, Thiah mengakui berasa seronok dan berbaloi.
“Alhamdulillah, soal bayaran memang berbaloi kerana pelakon suara tidak memerlukan tenaga yang banyak.
“Paling penting, saya dapat bekerjasama dengan pekerja kreatif yang
menjayakan siri animasi ini. Bagi saya, ia pengalaman berharga yang
orang lain belum tentu dapat,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai kerjayanya itu, Thiah memberitahu dia tidak
mengambil insurans suara, jauh sekali mengamalkan sebarang tip
penjagaan suara.
“Bab makan saya tak ada pantang larang. Saya sama seperti remaja
lain. Kalau kebetulan suara saya ada masalah, proses rakaman tidak
dibuat.
“Kalau nak tahu, suara Boboiboy itu adalah suara sebenar saya.
Berbanding kebanyakan pelakon suara lain, mereka boleh menukar jenis
suara, tetapi tidak saya,” katanya.
Thiah berkata, dia tidak pernah meletakkan sebarang sasaran berapa lama berkhidmat sebagai pelakon suara.
Baginya, selagi ada rezeki dan permintaan, dia akan terus berkhidmat sebagai Boboiboy.
Thiah juga memasang impian mencuba bidang nyanyian dan pengacaraan.
“Sejak berada dalam bidang ini, saya teringin mengembangkan bakat
sebagai pengacara. Malah, kalau diberi peluang menyanyi pun saya boleh.
“Cuma, kalau diminta berlakon awal-awal lagi saya menolak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan