Menabung sudah, berjimat sudah, apa lagi yang boleh dilakukan untuk memastikan rezeki sentiasa ada dan tidak putus. Anda perlu 'tilik' perlakuan dan muhasabah diri. Apa yang anda lalai selama ini akan mengundangkan kepada kesempitan rezeki daripada Allah SWT.


Bukanlah niat untuk menakutkan tapi sebagai hambaNya anda tidak boleh lupa kepada Si Pencipta. Antara tip mudah untuk panjangkan rezeki, anda boleh semak sini...



1. Jaga Solat
Solat itu tiang agama. Bagi mereka yang meninggalkan solat balasannya sudah dijanjikan di akhirat kelak. Ada yang sentiasa diberikan kesusahan, disempitkan rezeki, berasa tidak tenang dan sebagainya. Bagi mendapat rezeki yang berterusan, dirikan solat dan jagalah tiang agama. Insya-Allah keberkatan itu akan datang. Walaupun sedikit yang kita dapat, anda akan rasa cukup!


2. Sombong Dengan Kata-kata
Jangan sombong dengan kejahilan diri sendiri. Sedar diri sentiasa agar mensyukuri nikmat Allah. Sewenang-wenangnya meninggalkan suruhan Allah dan angkuh menambah kejahilan diri. Jangan tambah jahil yang ada. Lagipun ujian Allah tidak pernah mengira waktu dan tempat.


3. Bakhil
Sifat bakhil ini adalah kerana tamak. Tamak dengan harta dan nikmat yang Allah berikan. Terdetik di dalam hati andai dikongsi rezeki yang ada dengan orang lain takut diri sendiri tidak mencukupi itu adalah sifat bakhil yang akan menyempitkan hati dan rezeki. Elakkan rasa bakhil agar Allah melapangkan rezeki.


4. Penyayang
Penyayang ini bukan sahaja kepada ahli keluarga malahan kepada orang lain terutama anak yatim dan haiwan. Anda akan sentiasa mendapat doa daripada malaikat dan para haiwan yang dibuat baik oleh mereka. Insya-Allah rezeki juga akan berpanjangan.


5. Beri Haiwan Makan

Pernah dengar orang tua-tua sentiasa memuliakan kucing dan sentiasa memberikan kucing makanan. Kucing binatang kesayangan Rasulullah s.a.w. dan apa salahnya kongsi rezeki dengan haiwan yang singgah ke rumah. Paling senang, waktu sedap menjamu selra, tetiba ada kucing cium kaki. Ya, itu petanda paling mudah yang rezeki anda patut dikongsi.


Bukan payah nak buka pintu-pintu rezeki, semuanya terpulang pada diri sendiri. Moga permulaan hidup anda akan lebih indah untuk pungut rezeki setiap hari.
mingguan wanita