Dikurniakan tubuh badan
yang sihat oleh Allah Taala adalah satu nikmat kepada manusia. Dengan
nikmat tubuh badan yang sihat ini, kita mampu bekerja mencari rezeki,
beriadah bersama keluarga, melakukan pelbagai aktiviti kegemaran dan
macam-macam lagi.
Berusaha dengan tulang
empat kerat untuk mencari rezeki yang halal dan diredhai Allah memang
menjadi kewajipan kita sebagai seorang muslim yang bertakwa. Allah SWT
menyeru kita agar bertebaran di muka bumi untuk mencari rezeki sebaik
sahaja selesai menunaikan kewajipan dan tuntutan kepadaNya.
Firman Allah SWT:
“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka
bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu
hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah
banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan
akhirat).” (Surah al-Jumu’ah, ayat 10) .
Rezeki Allah itu luas…
Rezeki yang sedikit
tetapi diberkati Allah adalah lebih baik dan tinggi darjatnya berbanding
rezeki yang banyak tetapi tidak diberkati. Tidak menjadi soal sama ada
banyak atau sedikit rezeki itu. Apa yang lebih penting adalah rezeki
yang cukup. Biar sedikit asal cukup daripada banyak tapi sering tidak
mencukupi. Sesungguhnya rezeki Allah itu cukup luas. Berusahalah dengan
jalan sabar, tekun, bertanggungjawab dan bertawakkal kepada Allah.
Kadang-kadang kita hanya pandai merungut dan meminta-minta, sedangkan
kita belum cukup berusaha. Berusaha dan berdoalah, pasti Allah akan
membantu kita. Namun seringkali kita berdoa kepada Allah agar dimurahkan
rezeki, tetapi kehidupan seharian dirasakan tiada perubahan dan makin
terhimpit. Berbaik sangkalah dengan Allah, kerana Allah pasti akan
memakbulkan doa kita. Mungkin hanya masa yang menentukan, sama ada
lambat atau cepat. Ada kala Allah tidak memberi seperti apa yang kita
minta kerana Allah ingin memberi sesuatu yang lebih baik kepada kita.
rezeki allah luas
Rezeki Allah itu luas…
Rezeki bukan hanya dalam
bentuk harta dan wang ringgit. Dianugerahkan dengan anak yang ramai
juga merupakan rezeki daripada Allah. Ada sesetengah daripada kita tidak
dikurniakan cahaya mata walaupun telah lama mendirikan rumahtangga.
Beribu-ribu wang dihabiskan, berpuluh pakar ditemui, pelbagai kaedah
digunakan tetapi masih belum berhasil. Bersyukurlah dengan nikmat dan
rezeki Allah ini kepada yang telah memiliki anak. Kepada yang tiada
rezeki anak, mungkin diberikan mertua yang baik. Maka kita lebih bahagia
daripada mendapat anak yang liar. Sesungguhnya Allah mengetahui apa
yang terbaik untuk hambaNya.
Rezeki Allah itu luas…
Jika tiada rezeki wang
ringgit dan harta benda, mungkin Allah berikan kita dengan rezeki
kesihatan. Maka kita lebih gembira dengan kehidupan kita yang sentiasa
sihat dan ceria. Jauh dari kerisauan untuk menjaga harta benda. Apa guna
memiliki kekayaan melimpah ruah jika tubuh badan tidak sihat? Pasti
tidak gembira kan?
Rezeki Allah itu luas…
Jika tiada rezeki kereta
mewah, mungkin diberikan rezeki kenderaan yang jarang memberikan
masalah. Maka kita lebih bahagia dan gembira dari membayar kerosakan
yang mahal.
Rezeki Allah itu luas…
Jika tiada rezeki
memiliki rumah yang besar, mungkin diberikan rezeki dalam bentuk makanan
yang tak pernah putus. Maka kita lebih bahagia dan gembira dari si
gelandangan.
Rezeki Allah itu luas…
Jika tiada rezeki
pasangan hidup yang cantik, mungkin diberikan rezeki dengan pasangan
yang baik dan pandai menguruskan rumahtangga. Maka kita lebih bahagia
kerana mendapat teman yang menyejukkan hati dan kehidupan berkeluarga
sentiasa terjaga.
Rezeki Allah itu luas…
Jika tiada rezeki jodoh,
mungkin diberikan rezeki umur ibu bapa yang panjang. Maka kita lebih
bahagia dapat berbakti sepenuhnya pada orang tua.
Rezeki Allah itu luas…
Jika tiada rezeki pada
hari ini, mungkin ada rezeki yang lebih baik pada keesokkan hari. Maka
kita lebih bahagia dan gembira kerana memperolehi rezeki yang tidak
dijangka.
Rezeki Allah itu luas…
Bersabar, bersyukur, berusaha, berdoa dan bertawakal. Hanya Dia Allah yang maha adil lagi maha memberi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan