Home Klik Di Bawah

Ahad, 22 Januari 2012

6 perkara untuk meringankan musibah.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Orang mukmin sentiasa reda dengan apa saja ujian atau musibah yang berlaku keatas dirinya. Sifat reda dan sabar ketika menghadapai suasana genting adalah akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah S.W.T.
Menurut Ibn Qayyim dalam kitab Zad al-Ma'ad musibah yang berlaku boleh diringankan dengan enam cara :
1. Mengikut petunjuk Allah dan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya.

2. Mencari ilmu yang syar'i.

3. Bertaubat daripada dosa-dosa.

4. Mengamalkan zikir yang berterusan.

5. Berbuat baik kepada semua makhluk.

6. Melakukan mujahadah.

Huraiannya adalah seperti berikut :

1. Mengikut petunjuk Allah dan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya.
Firman Allah S.W.T maksudnya : "Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya kejalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gelita kepada cahaya yang  terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka kejalan yang lurus."(Surah al-Maidah ayat 16).

Al-Quran merupakan sumber utama ajaran Islam, di mana di dalamnya terkandung hidayah dan petunjuk bagi setiap muslim dalam menjalani kehidupan agar selamat dan memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat. Ada beberapa macam hidayah al-Quran kepada manusia iaitu mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya Ilahi. Ajaran al-Quran membimbing manusia agar keluar dari kegelapan yang berupa kekafiran, kesesatan dan kebodohan menuju cahaya Ilahi yang berupa keimanan, keislaman dan ilmu pengetahuan.

Kita perlu mengikhlaskan beribadah kepada Allah S.W.T. Ikhlas selalunya lahir dari hati.yang luhur dan mengharapkan reda Allah S.W.T. semata-mata. Inilah akan menjadi kunci kesempurnaan dan kejayaan segala amal. Allah S.W.T. akan menerima perbuatan atau amal yang dilakukan dengan ikhlas.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu wahai Muhammad dengan membawa kebenaran,oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya".Ingatlah hak yang wajib dipersembahkan kepada Allah ialah segala ibadat dan amalan yg suci bersih dari segala rupa syirik.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "...Kemudian Allah bertanya kepada orang yang beribadat dengan ikhlas. Dia menjawab, “Dengan kemuliaan dan ketinggianMu, Engkau lebih tahu apa yang aku kehendaki. Aku menghendaki zikir kepadaMu dan mengharap redaMu.” Allah berfirman maksudnya : “Benar hamba-Ku.” Dia pun dihantar ke syurga. (Hadis Riwayat Thabrani)

2. Mencari ilmu yang syar'i.
Mencari ilmu yang syar'i perlu menghadiri majlis ilmu dan tazkirah yang di adakan di masjid atau di surau. Mendengar dengan khusyuk penyampaian ilmu daripada guru-guru yang arif.
Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya, ”Barangsiapa menuntut ilmu bererti menuntut jalan ke syurga”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Imam Asy-Syatiby di dalam kitab Al Muwafaqot, “Ilmu yang muktabar menurut syara’ adalah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal, yang tidak membiarkan pemiliknya  mengikuti hawa nafsunya bagaimanapun ia, bahkan ia mengikat pengikutnya dengan ilmu tersebut, yang membawa pemiliknya mematuhi aturan-aturan-Nya suka atau tidak suka”.

3. Bertaubat daripada dosa-dosa.
Sebagai seorang hamba kepada Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, tidak ada permohonan yang lebih besar dari permohonan keampunan dari segala noda dan dosa. Setiap satu dosa yang kita kerjakan akan terjadi satu titk hitam pada hati-hati kita. Apabila terlalu banyak dosa yang dilakukan secara sedar atau tidak maka titik-titik hitam itu akan menjadi banyak hingga hati itu menjadi hitam pekat. Apabila hati sudah menjadi hitam maka selaput inilah yang menjadi hijab kepada Allah S.W.T

Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud :"Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu siang untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu malam, dan membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu malam untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu siang. Hal ini berkekalan sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat."

Sabda Rasulullah S.A.W.  yang bermaksud :
"Barangsiapa melazimi meminta ampun kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan dan menjadikan baginya jalan lapang dari setiap kesusahan serta Allah memberi rezeki kepadanya dari punca yang tidak disangka-sangka."

4. Mengamalkan zikir yang berterusan.
Sifat orang-orang mukmin lidahnya sentiasa basah berzikir kepada Allah S.W.T. Dengan berzikir hati akan menjadi tenteram, bahagia dan damai kerana perhubungan ketika itu adalah perhubungan terus kepada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”(Surah Al Imran Ayat 191)

Rasulullah S.A.W.  bersabda maksudnya : “Orang yang membaca ‘Laailaha illallah’ di dalam keadaan penuh keikhlasan di dalam hatinya atau iman bersamaan dengan sebiji barli, maka ia akan dikeluarkan dari neraka jahanam. Dan orang yang membaca kalimah ini dan di dalam hatinya terdapat keikhlasan atau iman bersamaan sebesar biji gandum maka ia akan dikeluarkan dari api Neraka Jahanam dan orang yang membaca dengan penuh kebaikan atau iman maka ia juga akan dikeluarkan daripada api Neraka Jahanam”.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi S.A.W.  bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah S.W.T. Para malaikat selalu mengelilingi bumi. Para malaikat sentiasa memerhati majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malikat naik ke langit."

5. Berbuat baik kepada semua makhluk.
Menyebabkan dada menjadi lapang. Sifat orang mukmin akan berbuat baik kepada semua makhluk Allah S.W.T. di muka bumi. Samaada kepada manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Terutama kepada kedua ibu bapa, saudara mara, jiran tetangga dan anak yatim dan fakir-miskin.

Allah S.W.T. berfirman maksudnya :Tidak ada kebaikan pada kebanyakan dari bisik-bisik mereka, kecuali siapa yang menyuruh bersedekah, kebaikan, atau mendamaikan antara manusia. Dan barangsiapa yang melakukan hal itu dengan mencari reda Allah, maka Kami akan memberikannya pahala yang besar.”  (Surah an-Nisa ayat 114)

Allah ‘Azza wa Jalla mengabarkan bahwa semua hal di atas adalah bagi sesiapa pun yang merealisasikannya, serta kebaikan akan mengundang kebaikan dan menolak keburukan. Juga Allah ‘Azza wa Jalla janjikan bagi mukmin yang mengharap pahala-Nya, maka Allah akan memberikan pahala yang besar. Termasuk dari pahala yang besar itu adalah  hilangnya kerisauan, kesusahan, kekeruhan hati, dan seterusnya.

6. Melakukan mujahadah.
Dengan melakukan mujahadah seseorang boleh mengikis sifat-sifat negatif yang ada pada dirinya. Pada adatnya tidak mungkin kita sampai pada lapangan makrifat terhadap Allah SWT apabila kita tidak mahu bermujahadah, tidak mahu melihat kelemahan-kelemahan yang terkandung dalam diri kita, lebih-lebih lagi kelemahan itu berupa penyakit hati.

Oleh itu Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Orang-orang yang berjuang di jalan Kami, sesungguhnya Kami akan memberi petunjuk mereka itu pada jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang membuat kebaikan.”

Mujahadah” yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah memerangi hawa nafsu yang mengatasi segala kelemahan diri untuk mencapai dengan sempurna keredaan Allah SWT.  Tegasnya, orang-orang yang mengerjakan sesuatu yang tidak baik bererti ia mendatangkan kekurangan pada peribadinya sendiri. Umumnya tabiat manusia tidak menghiraukan keaiban-keaiban tetapi mengutamakan pada hal-hal yang dianggap baik.

Bermujahadah melawan nafsu bererti berperang dengan diri kita sendiri. Apa yang di sukai oleh hawa nafsu akan disukai oleh diri kita sendiri. Hanya dengan ilmu yang tepat sahaja kita dapat menilai apakah kehendak itu baik atau jahat. Namun setakat tahu buruk atau baiknya belum cukup untuk kita mampu melaksanakan atau meninggalkan. Kita perlu bermujahadah dan terus bermujahadah. Ramai manusia yang tahu tapi tidak mahu melaksanakannya.

Dan ramai juga manusia yang mahu tapi tidak mampu kerana sentiasa mendapat bisikan  syaitan , syaitan tidak pernah tidur. Begitu juga nafsu, musuh yang tidak pernah tahu erti lesu. Sedikit sahaja kita terleka, pasti kita di tipu dan  dihasutnya.

Sahabat yang dimuliakan,
Apabila hati sentiasa berhubungan dengan Allah S.W.T, berdoa dan bermunajat, Allah S.W.T. akan meringankan segala bebanan dan penderitaan kita. Musibah yang datang juga akan diringankan oleh-Nya. Oleh it marilah kita sama-sama amalkan enam perkara yang tersebut di atas semoga kita menjadi hamba-hamba Allah yang dikasihi dan diredai-Nya.

abubasyer

Tiada ulasan:

Catat Ulasan