Home Klik Di Bawah

Isnin, 3 Disember 2012

DOSA LIDAH PUNCA MUFLIS DI AKHIRAT

Gambar hiasan
Amalan kebaikan di dunia menjadi ganti rugi akibat perbuatan jahat terhadap insan lain


Segala amalan kita di dunia ini akan dibentangkan di akhirat, walaupun ia sekecil zarah. Pada ketika itu kita akan melihat segala amalan ketika hidup ini dalam suratan amal, ada yang berpahala, ada juga yang berdosa. Mereka yang berdosa itu akan berasa takut dengan keadaan sedemikian.
Firman Allah SWT:
Dan Kitab-Kitab Amal dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau besar, melainkan semua dihitungnya! Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu ada tertulis di dalamnya dan ingatlah Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.” (Surah al-Kahfi, ayat 49)
 
 
 
Imam al-Ghazali pernah berkata: “Menerusi lidah akan berlakulah pendustaan atau pembohongan, buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencarut, mencela, mengutuk, bertelingkah, mengumpat, melaknat dan membicarakan sesuatu dalam keadaan kesat, kasar dan penuh dengan kesombongan.”
 
Namun persoalannya pada hari ini, ada kalangan kita yang kaya di dunia, tetapi miskin di akhirat. Dengan kata lain, mereka banyak melakukan amalan kebaikan dan kebajikan ketika di dunia, tetapi di akhirat mereka dikira sebagai golongan miskin ataupun muflis.
 
Ini terjadi kerana ketika hidup, mereka melakukan kebaikan dan pada masa sama mereka juga melakukan kejahatan serta dosa sesama manusia. Segala ganjaran pahala kebaikan diambil oleh Allah SWT bagi membayar segala hutang kejahatan ketika hidup.
 
Sabda Rasulullah SAW: “Siapa yang muflis? Manusia yang muflis itu bukanlah mereka yang tidak berharta dan memiliki tempat tinggal. Sesungguhnya orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak menunaikan hak-hak orang lain seperti mencaci dan merampas harta tanpa hak, memukul tanpa sebab dan sebagainya.” (Riwayat Muslim)
 
Sebenarnya golongan yang menjadi muflis di akhirat asalnya mereka memiliki pahala yang banyak. Bagaimanapun, semua pahala ibadat itu habis kerana digunakan sebagai bayaran ganti rugi kepada insan pernah disakiti, dikhianati, dihina, dibunuh atau dizalimi.
 
 
Bahkan mereka juga dibebankan dengan dosa orang yang dizalimi. Alangkah ruginya golongan muflis ini. Ganjaran pahala yang dikumpulkan akhirnya menjadi barang tukaran kerana denda yang perlu dibayar kerana kesalahan terhadap orang lain.
Kuat beribadat dan memiliki pahala yang banyak tidak menjamin terpeliharanya seseorang itu daripada azab Allah SWT jika pada masa sama masih lagi melakukan penganiayaan, penindasan dan kezaliman kepada insan lain.
 
Dalam pergaulan hidup sehari-hari, sudah tentu berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak. Kesilapan itu boleh mengundang dosa terutama jika ia menyentuh pelanggaran hak berkaitan tubuh, maruah diri dan harta benda orang lain.
 
Apabila kesalahan berkaitan dengan manusia, wajib kita meminta maaf dan mengembalikan haknya. Jika tidak sempat memohon kemaafan ketika hidup, maka dosa itu akan dibayar dengan pahala di akhirat. Kerana itulah pahala berkurangan sehingga kita miskin di akhirat nanti.
 
Jika kita miskin di dunia masih ada lagi orang yang bersimpati dan dapat membantu, tetapi siapakah yang akan bersimpati, menolong dan menyelamatkan kita dari azab seksaan neraka Allah SWT?
 
Bagi dosa membabitkan sesama manusia, lidah yang paling banyak kesalahan. Dosa lidah boleh menyebabkan seseorang itu menjadi muflis di akhirat. Kenapa lidah kita amat mudah untuk bercakap mengenai orang lain? Itulah persoalan yang perlu ditanya diri kita.
 
Lidah hendaklah diawasi supaya hidup tenteram, aman dan damai. Sikap tidak menjaga lidah bukan saja menimbulkan kemarahan orang yang mendengarnya, malah menimbulkan implikasi buruk kepada hubungan sesama manusia dan mengakibatkan seseorang itu menjadi muflis di akhirat.
 
Kita memerlukan kekayaan untuk mendapat alam kubur yang luas dan terang, berada di Padang Mahsyar dengan selesa, meniti Titian Siratul Mustaqim sepantas kilat, melintasi pintu syurga serta membina mahligai besar di dalam syurga.
 
Tanpa pahala, kita akan menjadi manusia yang miskin di akhirat kelak dan tidak mampu membeli kesenangan, kita akan susah di alam kubur, di Padang Mahsyar dan seterusnya akan dilemparkan ke dalam neraka bersama kaum kafir serta Iblis.
 
Marilah menghitung adakah sudah cukup amalan kita untuk bertemu dengan Allah SWT di akhirat kelak. Janganlah kita tergolong dalam golongan mereka yang kaya di dunia, tetapi miskin di akhirat.
 
Firman Allah SWT: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan