Home Klik Di Bawah

Ahad, 2 Disember 2012

Rasukan Jelmaan Beruk Akibat Buatan Orang

“Kakak nampak apa?”

“Di dapur, atas tangga. Ada seorang lelaki, tiada kepala dan dada. Yang ada cuma dari pinggang ke bawah berjalan keluar ikut pintu. Darah menitis di celah kelangkangnya.”

Malam itu malam jumaat. Semua pasangan suami isteri di kampung Pasir Pekan Hulu pasti sedang enak melayari hubungan suami isteri dengan posisi masing-masing. Tetapi lain cerita di rumahku. Perancangan intim ibu bapaku di malam itu terganggu oleh raungan kakak yang kedengaran seperti orang gila.

“Haaarrrr… Harrrrr…. hus hus hus.” Kakak bernafas seperti kuda. Matanya terbelalak ke belakang dan bajunya dikoyakkan oleh kuku tangannya sendiri.

Aku terjaga dari tidurku akibat bunyi bising itu. Kulihat lampu pendaflour berkelip-kelip di siling atap bata. Ku usap-usap mataku, sama, lampu berkelip-kelip begitu juga. Di luar hujan turun dengan lebat, tempiasnya masuk di celah-celah bata keping yang menjadi atap itu. Jam menunjukkan pukul 2 pagi.






“Huuuaaarrrrr!.” Suara ‘gorila’ kakak kedengaran lagi.

“Kenapa dengan kakak?,” soal abang.
“Entah.” Aku jawab pendek.

Kelihatan ibu dan ayah melintas di depan kami yang sedang terlentang di depan TV. Ayah dan ibu masuk ke bilik kakak dengan tergesa-gesa. Aku dan abang bangun menuruti.

Sebaik aku dan abang menjengah ke dalam bilik kakak, kami melihat kakak meracau-racau dengan rambut mengerbang dan matanya pula putih. Baju kelawarnya koyak, dadanya tidak ada apa-apa sebab dia masih remaja dan masih belum banyak hormon keluar. Yang kelihatan cuma coli kecil
berwarna hitam. Ayah kedengaran bertitah cemas.

“Pergi rumah Pak Ngah cepat! Panggil dia ke mari. Bahaya ni. Kakak masuk hantu!”

Gulp! "Kakak masuk hantu?”

Abang menarik tanganku dan kami terus berlarian keluar rumah dan terus ke rumah Pak Ngah (kini sudah arwah) yang berada 100 meter di belakang rumahku. Abang sempat menyambar payung di beranda, tetapi hujan sangat lebat menyebabkan kami basah juga apabila tiba di pintu pagar rumah Pak Ngah.

Pagarnya tinggi dengan kawat duri melintang sebanyak dalam 10 baris. Rapat-rapat agar celahannya tidak boleh dimasuki kambing liar. Pernah ada kambing mahu masuk juga lalu mati tercekik di situ.

“Pak Ngah!!!”Abang melaungkan nama Pak Ngah sekuat hati. Tapi suara abang tenggelam dalam hujan. Abang panggil Pak Ngah lagi dan lagi tapi semua sia-sia.

“Yie, panjat!” Abang kemudian suruh aku panjat pagar. “Pergi ketuk pintu dia.”

Sebagai seorang adik yang baik dan kacak, aku akur. Pagar setinggi kepala itu aku panjat. Kawat duri ku pijak, dan aku naik ke atas dan ke atas. Semua aksi itu berlaku di dalam hujan lebat. Sampai di puncak pagar, aku terjatuh ke sebelah sana. Satu duri daripada duri2 kawat itu terkena jua pada
seluarku di bawah peha menyebabkan apabila aku jatuh ada bunyi syahdu di situ.

“Creeeetttttt.” Bunyi seluar koyak.

“Kecepeeeerrrr!!” Bunyi aku jatuh dalam lopak air.

Tidak menghirau aib diri, aku terus ke pintu utama rumah Pak Ngah. Belum sempat pintunya ku ketuk, pintu itu dibuka. Cis! Sia-sia saja aksi James Bondku tadi. Tapi aku tetap kontrol cool di depan Pak Ngah.

“Ada apa malam-malam ni Hamdan?” Kedengaran suara Pak Ngah, suara mengantuk.

“Kak Maria, Kak Maria masuk hantu!” Abang laung dari luar pagar.

“Astaghfirullahal Azim.” Pak Ngah mengucap panjang. Dia kemudian melihatku. “Hah, kamu ni Khairi kenapa? Kakak kamu gigit seluar kamu ke?”

“Erk?”

“Panggg!!” Terkejut beruk aku apabila Pak Ngah menampar lantai kayu rumah kami dengan kuat. “Sapa hantar mung mari sini syaitan?”

Kakak terduduk berayun-ayun badannya. Asap kemenyan memenuhi rumah. Bau asap itu sebijik macam bau kemenyan. Aku jadi batuk-batuk sebentar sebab aku sememangnya alahan dengan asap lebih-lebih lagi asap rokok.

Kakak tidak menjawab soalan Pak Ngah. Dia cuma sengih-sengih. Kakak tidak pernah sengih seperti itu. Ternyata itu bukan kakak.

“Mung nak tubik (keluar) tok sey ni?” tanya Pak Ngah.

Kakak geleng. Sengih lagi macam syaitan. Kakak duduk bersimpuh, lengannya lurus menongkat bahu. Bahu itu terhincut-hincut entah kenapa. Macam meratib, tetapi meratib apa? Gila seram bila aku ingat balik ekspresi kakak ketika itu.

Gruuuummmm…

Guruh berdentum. Angin di luar bertiup kencang. Hujan masih lebat. Kami semua duduk di belakang Pak Ngah yang sedang ‘berbicara’ dengan kakak.

Gruuukkk… grruukkkk…. grruuukkkk…

Itu bukan bunyi guruh. Lagipun ianya datang dari bawah. Ah, sudah… kata aku dalam hati. Bulu roma aku terus meremang-remang dan kepala membesar-besar.

“Menate gapo pulok tuh.” Kata ayah melihat ke lantai. Wajah ayah sangat serius.

Bunyi itu bunyi lantai rumah kami ‘dikeruk’ atau dicakar dari bawah. Rumah kami rumah papan berlantai tinggi. Bunyi itu seperti papan lantai dicakar oleh binatang berkuku seperti harimau.

Grrruukkk… grruukkkk… grrrukkkkk… bunyi itu beralih-alih sekejap ke depan sekejap ke belakang. Apabila bunyi itu bergerak menghampiriku, dada aku berdebar kencang bagai mahu meletup.

“Mat,” kat Pak Ngah, “biarkan dia. Dia takleh masuk. Biar dia main kat bawah tu. Yang penting, hat ni dalam badan Maria ni.”

Kakak terus sengih berayun-ayun badannya.

Tap! setitik air hujan tiba-tiba menitik di atas kepala adikku yang ketika itu berumur 10 tahun yang sedang duduk bersila di sebelahku. Aku lihat dia mendongak. Aku lihat dongakannya lama. Ke atas siling, dia terus melihat. Lama dia melihat, aku jadi curious. Dan aku pun mendongak…




Aku cuma melihat atap yang suram. Tetapi adik aku ternyata telah melihat sesuatu yang lain di situ. Di atap yang gelap itu, menurut katanya, ada susuk hitam seperti beruk. Bergayut di para atap, sebesar manusia tetapi berbulu hitam dan bertangan panjang seperti orang utan. Matanya merah dan air liurnya berjejeran jatuh ke lantai. Air itu yang menitik ke atas kepalanya.

Adik aku yang masih kecil itu terus meraung tak sedarkan diri. Aku melihat sendiri mata hitamnya ke belakang dan mulutnya berbuih-buih.

Semua jadi kalut. Kakak selepas itu pengsan dijampi oleh Pak Ngah, kini adik pula menggelupur seperti budak kena sawan babi.

Selepas adik disimbah air bacaan Yasin, dia terus pengsan tidak sedarkan diri seperti kakak. Ayah dan Pak Ngah menggelengkan kepala.

Kata Pak Ngah, “Mat (ayah), ada orang nak kenakan kamu!”

Tidak aku tahu apa sebab semua itu berlaku pada malam itu sebelum aku sendiri bertanyakan kakak apa yang sebenarnya sedang berlaku. Kakak mengambil Quran dan meletakkan di atas bantal di sebelahnya sebelum dia bersetuju untuk buka cerita. Dengan sabar aku dan abang menunggu untuk kakak membuka cerita. 

“Kakak tolak cinta dia,” kata kakak.

Kami diam menunggu.

“Selepas itu kakak mimpi ngeri. Dari atas katil, badan kakak diangkat ke atas,” kakak mengusap-usap lengannya sebelum menyambung, “kakak menjerit sekuat hati tetapi badan kakak tetap terapung sikit lagi nak cecah atap. Bau atap sangat busuk. Ketika itu, seperti ada pisau menusuk perut kakak. Sakitnya masyaAllah, tak dapat kakak nak royat (cakap). Selepas itu kakak terjaga dari mimpi. Peluh membasahi tubuh kakak.”

“Kakak tak bagitahu sesiapa mimpi tu sebab kakak anggap ia cuma mimpi. Malam selepas itu kakak bermimpi macam tu lagi. Kali ini lelaki tu muncul dan berkata dia akan selamatkan kakak daripada semua hantu-hantu yang mengganggu kakak sekiranya kakak menerima cintanya.”

Pukul 2 pagi kakak terjaga dari mimpi ngeri itu. Peluh membasahi muka dan badannya. Tekaknya pula terasa sangat haus. Walaupun dia dapat merasai tangan dan kakinya terketar-ketar, kakak usaha juga untuk bangun dan keluar dari biliknya untuk ke dapur. Kakak sangat haus dan dia mahu minum air. Ketika itu semua kami yang lain sedang tidur bergelimpangan. Dapur rumah kampung tidak mewah. Ada benda-benda asas saja. Ianya pula berdekatan tandas. Dan bukaan atap untuk ke tandas sangat luas hingga boleh dilihat bintang di langit di situ.

Lampu di dapur lampu mentol kuning 50 watt cahayanya malap. Suasana sangat suram dan rasa haus kakak mengatasi ketakutannya. Dia melangkah perlahan tetapi papan lantai tidak rata yang dipijak kaki kakak yang halus berbunyi jua.

“Crrittt… crruuttt… crriittt….. crruutttt……. mariaa….”

Huh? Kakak berpaling. “Astaghfirullahal ‘aziim.” kakak mengurut dada. Tiada siapa di belakangnya. Tiada siapa yang memanggil namanya. Yang kelihatan cuma langsir, dinding, meja makan dan laluan ke ruang tamu di mana tempat aku, abang dan adik sedang tidur bergelimpangan. Suasana kembali sunyi sepi. Malam di luar rumah sangat gelap.

Kakak lalu berpaling semula untuk ke dapur. Ketika itulah kakak terduduk di situ…

“Apa yang kakak nampak?” Soal abang tidak sabar.

Kakak meraup mukanya sebelum berkata…..

Kakak jatuh terjelupuk di situ. Kakak tidak percaya apa yang kakak lihat. Semua berlaku di dalam suram cahaya dapur di depan mata kakak. Dalam samar-samar, kakak nampak seorang lelaki. Kepalanya tiada, dadanya tiada. Yang ada cuma pinggang ke bawah. Berjalan perlahan-lahan menuruni tangga ke arah tandas dan keluar mengikut pintu dapur. Darah merah menitik-nitik di celah kelangkangnya. Apabila berjalan, dia berbunyi berdesis seperti ular.

Kakak sangat takut. Kaku, kakak tidak dapat berbuat apa-apa. Kakak cuba menjerit tapi suara kakak tersekat dan tubuh kakak tak boleh digerakkan. Kakak pengsan di situ, dan esoknya ayah menjumpai kakak tidur di situ sewaktu mahu ke dapur untuk ambil wuduk solat subuh.

Selepas peristiwa gangguan itu, wajah kakak susut, badan kakak lemah. Ayah lalu buka gelanggang, siapa yang mahu cabar ayah, ayah akan kerjakan sampai mampus.

Tiga ketul batu sungai. Satu ‘tin milo kecil’ tanah kubur perempuan mati beranak. Seekor ayam kampung berbulu hitam panggang. Sekati pulut kuning. Batang pisang sepanjang sedepa. Dan barang-barang lain yang biasa seperti kemenyan, limau purut, air jernih, tujuh jenis bunga dan sebilah keris pusaka.

“Bukan orang lain. Orang dekat-dekat sini juga. Kamu nak aku hantar balik kat dia ko?”

Tanya seorang bomoh Jawa berjantina perempuan. Sudah agak berumur, tidak bertudung. Rambutnya sudah banyak yang putih. Matanya sepet, berkedut lantas apabila dia memandang sesuatu, pandangannya kelihatan sangat tajam dan tembus.

“Tak payahlah. Berhenti kat sini saja.” kata Pak Ngah. “Bagi amaran saja supaya dia tak buat lagi.”

Perempuan bomoh Jawa itu mengangguk-angguk.

Selepas itu rumahku dia pagarkan. Bukan pagar kambing seperti pagar Pak Ngah, tetapi pagar hantu guna ayat-ayat suci Al-Quran. di setiap sudut rumah dia lekatkan kertas yang tertulis ayat-ayat suci.

“Mari aku tunjuk kat mana dia letak ‘barang’ tu.” katanya selepas itu.

Kami semua menuruti bontot si Bomoh perempuan ke dapur dan terus ke dalam bilik air dan ke telaga bersebelahan tandas. si bomoh itu lalu mengambil timba dan menjatuhkan ke dalam telaga. Dengan timba itu dia selepas itu menaikkan sesuatu dalam bungkusan kuning. Ayah terkejut bukan kepalang. Pak Ngah pula mencaci dan mencela orang yang hantar guna-guna itu tanpa sebut nama.

“Nate setan. Mapuh la mung mapuh la mung bahaso iblis!” kata Pak Ngah.

“Ini,” kata bomoh, “ini adalah sihir. Dia tujukan pada anak perempuan kamu. Air yang kamu minum sudah kotor dengan sihir. Aku perlu bersihkan telaga ni.”

Pesan ayah pada kakak selepas kakak pulih sepenuhnya.

“Jangan mainkan perasaan orang lelaki.”

Jawab kakak, “mana ada Maria mainkan perasaan dia. Dia yang syok sendiri.”

Kata ayah, “Ya lah. Kalau kita tok sey (tak mau) kat dia, jangan hina dia, jangan caci dia. Tolak baik-baik.”

Jawab kakak, “Maria dah tolak baik-baik tapi dia tu yang tak reti bahaso.”

Kata ayah, “sabar, buat bodoh saja dan rujuk pada orang yang lebih tahu… macam ayah. Ayah boleh gi bincang dengan dia dengan baik, takdok masalah.”

Xarine

Tiada ulasan:

Catat Ulasan