Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Rabu memperkenalkan
'Pengeluaran Haji' yang membolehkan ahli KWSP mengeluarkan simpanan
mereka sehingga RM3,000 daripada Akaun 2 bagi membiayai kos ibadah haji
berkuat kuasa 1 Januari ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi KWSP, Datuk Ibrahim Taib
berkata, permohonan mudah tanpa perlu mengisi borang itu boleh dibuat
ahli berumur kurang 55 tahun dengan syarat mereka telah menerima surat
tawaran menunaikan haji daripada Lembaga Tabung Haji (LTH).
"Bagaimanapun ahli diingatkan pengeluaran ini hanya boleh dibuat
sekali seumur sehidup dan hanya layak bagi mereka yang tidak mempunyai
simpanan yang cukup di LTH," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.
Untuk membuat permohonan pengeluaran haji itu, Ibrahim berkata ahli
yang layak boleh berkunjung ke mana-mana cawangan KWSP dengan
mengemukakan kad pengenalan, surat tawaran LTH dan buku akaun simpanan
LTH yang telah dikemaskini.
"Ahli juga diingatkan agar mengemukakan permohonan haji
selewat-lewatnya tiga hari bekerja sebelum tarikh akhir menjawab
pengesahan menunaikan haji seperti ditetapkan LTH bagi memudahkan proses
permohonan mereka," katanya.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, beliau berkata ahli yang berminat boleh mengunjungi laman web myEPF di www.kwsp.gov.my atau menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-8922 6000. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan