Home Klik Di Bawah

Jumaat, 22 Februari 2013

Sibuk Sebagai Penceramah Motivasi

PENGHIJRAHAN yang berlaku ke atas wanita ini membuka mata banyak pihak, setiap kali diajukan persoalan berkaitan perubahannya, wanita ini cukup tenang memberitahu ia keputusan yang dibuat untuk mencari keredaan yang maha Esa. 

Setahun seminggu usia penghijrahannya, kini kehidupan Farah Asyikin Zulkifli, 34, dilihat cukup berbeza. Menurut Farah perubahan yang berlaku keatas dirinya kini melalui kefahaman demi kefahaman yang dipelajarinya sejak setahun lalu. Nekad untuk bergelar seorang pendakwah, niatnya hanya satu iaitu agar hidayah yang diberikan Allah terus kekal di dalam sanubarinya. 




Enam tahun berlalu tanpa cinta seorang lelaki, menurut Farah pernah suatu ketika dia tidak lagi terfikir untuk berkahwin. Bagaimanapun petunjuk yang diberikan Allah kepada dirinya menemukan dia dengan seorang lelaki yang tinggalnya beribu-ribu batu jauhnya di Afrika Selatan. Ternyata tempoh dua bulan perkenalan melalui Twitter membuka pintu hatinya kepada lelaki bernama Zaahier, 36.

"Kami berkenalan melalui Twitter, pada waktu itu Zaahier baru sahaja mengenali Twitter.

"Dengan kuasa Allah, Zaahier melihat lepasan Twitter saya mengenai perjuangan di Syria, dan dari situ dia mula menjadi pengikut saya di Twitter," katanya ketika hadir di Utusan baru-baru ini.

Perbezaan bahasa dan budaya bukan satu masalah buat pasangan ini untuk meneruskan majlis perkahwinan mereka yang berlangsung pada 15 Februari lalu. Peringkat perkenalan yang dilalui dua insan ini sungguh mudah, malah ia diakui sendiri Farah yang pada mulanya merangka majlis pernikahannya pada tanggal 28 Februari

"Dalam tempoh dua bulan hubungan kami berjalan seperti biasa. Adakalanya dia juga sempat berkongsi minat berbasikal ketika di sana, sehingga pada tanggal 6 Januari, dia memilih untuk melamar saya. Kami berkenalan hanya atas dasar agama dan saya langsung tidak menyangka jodoh saya tinggal ribuan batu dari sini.

"Pada mulanya kami sudah bersetuju untuk melangsungkan perkahwinan pada 28 Februari malah rakan-rakan serta keluarga suami juga sudah bersetuju untuk hadir pada hari tersebut. Namun melihatkan prosesnya begitu mudah kami langsung percepatkan. Dan apa yang paling kelakar, pada waktu itu suami saya hanya berseorangan tanpa keluarganya di sisi," katanya yang turut memberitahu majlis pernikahannya itu berlangsung di rumah ibu bapanya.

Belum ada rancangan tinggalkan Malaysia

Pernah melalui episod kegagalan di dalam perkahwinan pertamanya dahulu, menurut Farah kali ini dia lebih selesa untuk bercinta selepas bernikah. Ditanya keyakinannya untuk memikul tanggungjawab seorang isteri, jawapan wanita ini cukup mudah untuk berserah kepada Allah.

"Kami masih mengenali, malah suami saya juga baru tahu mengenai siapa saya dahulu. 

"Sebagai seorang isteri tempat saya adalah di sisi suami, namun saya percaya percaturan ini adalah yang terbaik buat diri saya," katanya.

Berkongsi perancangannya selepas bergelar isteri kini, Farah memberitahu dia dan suami tidak lagi membuat sebarang keputusan tetap untuk kehidupan mereka kelak.

"Suami saya merupakan seorang pengurus projek di sana, buat masa ini dia akan berada di Malaysia sehingga penghujung Mac. Soal di mana kami akan memilih untuk tinggal nanti masih lagi belum kami fikirkan.

"Waktu sekarang juga saya masih sibuk memenuhi undangan memberi motivasi di seluruh negara, sementara ini suami masih lagi mengikuti saya ke mana-mana," katanya yang kini mengambil peluang untuk muncul sebagai penceramah sepenuh masa, apabila melepaskan tanggungjawab sebagai guru di sebuah sekolah swasta sejak beberapa bulan lalu.

Hits ajukan soalan sama ada dia akan meneruskan dakwahnya ini di Afrika Selatan pula iaitu tempat asal suaminya. Menurut Farah secara dasarnya dia hanya akan menurut permintaan suaminya itu nanti.

"Seperti yang saya katakan tadi kami masih belum mempunyai perancangan untuk tinggal di mana.

"Buat masa ini suami sangat suka dengan aktiviti berdakwah saya di sini, malah ada juga ketikanya dia berkongsi pendapat mengenai ilmu agamanya yang pada saya sangat memudahkan saya menyampaikan kepada umum," katanya.

Masih lagi didalam "mood" pengantin baru, Hits usik pasangan ini dengan bertanyakan soalan destinasi bulan madu mereka. Menurut Farah buat masa ini dia dan suami masih lagi belum merancang percutian mereka memandangkan dia masih lagi sibuk dengan undangan memberi motivasi.

"Jadual saya sangat padat, malah beberapa jam selepas bernikah saya langsung menunaikan tanggungjawab saya sebagai penceramah di sebuah majlis.

"Mungkin kalau nak habiskan masa, saya hanya akan membawa suami saya ke Terengganu dan Kelantan, kerana dia pernah menyatakan hasrat untuk melihat kehidupan masyarakat Islam di sebelah kampung pula," jelasnya.

Secara jujurnya wanita ini tidak pernah merancang apa-apa, malah ketika bertemu jodoh kali kedua ini dia cukup yakin dengan penentuan yang maha Esa. Dan sekali lagi ketika diajukan soalan sama ada fokusnya kini untuk terus membesarkan keluarganya, Farah memberitahu soal bersedia atau tidak bukan lagi pilihan.

"Suami saya sebenarnya sudah mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulu, dan saya kini juga sudah menjadi seorang ibu. Cumanya soal anak itu kami akan berdua akan berusaha.

"Dan segala yang akan diberikan Allah kepada kami akan diterima kami dengan hati yang terbuka," katanya.

Ditanya sama ada dia akan meneruskan aktiviti nyanyiannya, menurut Farah jika suatu masa dahulu dia agak keliru dengan pendapat semasa, namun kini dia tahu hala tuju minatnya itu. Malah Farah turut bersyukur untuk mendapat keizinan suaminya.

"Saya hanya akan meneruskan nyanyian jika ia membantu niat untuk berdakwah sahaja.

"Buat masa ini saya masih menyanyi, cuma pilihan lagunya lebih kearah nasihat sahaja, di samping itu juga suami turut memberi galakan kepada saya," katanya.

Kecenderungan dirinya yang khabarnya sering hadir ke majlis-majlis ceramah politik menimbulkan polemik di kalangan peminat. Menjawab soalan panas ini, ternyata Farah begitu tenang memberikan jawapannya.

"Saya berdakwah kerana Allah. Malah ketika berada di atas pentas, tiada langsung kata-kata berbaur politik yang saya keluarkan.

"Malah sehingga kini saya juga tidak mendaftar untuk menyertai mana-mana parti," katanya.
utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan