Home Klik Di Bawah

Jumaat, 2 Ogos 2013

Mengecapi Nikmat Bahagia

alt
Hari yang indah terasa mendung dan kelam. Angin sepoi bertiup lembut namun ia tidak mampu menenangkan hati duka si gadis bernama Sakinah. Langkah yang diatur terasa berat, namun, berat lagi bebanan rasa yang terbuku di hati. Terlalu payah untuk diterjemahkan.

Sesekali hati merintih, mengapakah aku diuji sebegini rupa? Air mata mengiringi setiap langkah kaki Sakinah. Sampai hati kau Rafiq. Sampai hati! Terlalu murah air mata Sakinah kali ini. Menangisi lelaki bernama Rafiq.

 Ah, kenapa mesti lemah begini? Soalan mengasak-asak fikiran Sakinah namun dia tidak mampu berhenti menangis.
 


Sakinah terus menangis. Sayu benar hatinya. Lara hati siapa yang tahu. Sesekali ada yang menoleh ke arahnya. Ah, hati aku yang merana! Kau apa tahu? bentak hati Sakinah seolah-olah masalah yang ditanggungnya sangat sulit dan berat.

Sakinah merupakan seorang remaja yang sentiasa bahagia sebelumnya. Dia mengenali Rafiq, seorang mualaf dari luar negara yang lebih berusia daripadanya, melalui mukabuku (Facebook). Siapa sangka rasa suka bertukar kepada cinta. Cinta mereka disulam suka dan bahagia. Namun, adat bercinta, adakalanya ia goyah jua.

Pada Sakinah, Rafiq sangat sempurna akhlaknya dan sangat teguh pendirian agamanya. Ternyata hidayah Allah yang meresap ke dalam diri Rafiq tiada tolok bandingnya jika dibandingkan dengan dirinya.

Kadangkala, Sakinah merasa malu kepada diri sendiri. Patuhnya Rafiq kepada ajaran Islam melebihi dirinya sendiri yang dari lahirnya seorang Muslimah. Kepada Allah Sakinah memanjatkan doa semoga Rafiq adalah jodohnya yang tertulis di Lauh Mahfuz. Dia lelaki soleh dambaan wanita.

Sakinah hadir dalam hidup Rafiq pada saat Rafiq mendoakan seorang jodoh untuk dirinya. Pada saat dirinya terlalu menginginkan seorang isteri dambaan hati. Pada Rafiq, Sakinah seorang gadis yang solehah, yang bijak menjaga diri dan teguh pendiriannya terhadap Islam.

Mereka banyak berkongsi ilmu agama bersama-sama. Dia akui, ilmu agama yang dimilikinya sangat cetek jika dibandingkan dengan Sakinah. Rafiq amat bersyukur kepada Allah SWT atas hadirnya Sakinah. Setiap kali usai solat, Rafiq tidak pernah lupa untuk mendoakan agar Sakinah ditakdirkan untuknya.

“Semoga Sakinah diciptakan sebagai tulang rusuk kiriku.”

Masa berlalu. Sakinah semakin yakin bahawa Rafiq adalah jodohnya. Walaupun mereka berjauhan namun tiada satu hari pun berlalu tanpa Rafiq. Rafiq adalah segalanya bagi Sakinah. Namun, benarlah, suratan qadar tiada siapa yang dapat menolak.

Suatu hari, Sakinah menerima perkhabaran daripada Rafiq bahawa dia akan menikahi seorang wanita pilihan komuniti masjid untuknya. Sakinah terpempan. Masakan begitu? Bukankah sepatutnya Rafiq menikahi aku? fikir Sakinah berulang kali. Berderaian air mata Sakinah sebaik sahaja menerima perkhabaran itu daripada Rafiq.

Rafiq hanya mampu berserah. “Wahai Sakinah, bukan ini yang aku mahukan. Tidak pernah sesekali aku meminta kepada mereka untuk mencarikan jodoh untukku. Aku sendiri terkesima mendengarkan berita ini. Hati aku masih terlalu cinta kepadamu Sakinah namun ketahuilah, jarak antara kita sangat besar.

“Mana mungkin ku tinggalkan ibu bapaku yang sudah lanjut usianya di sini. Sakinah, ku doakan kau bertemu seseorang yang lebih mulia dariku. Inilah suratan kita. Kau bukan untukku Sakinah. Percayalah, bukan ini yang ku mahukan untuk kita.”

Rafiq mengeluh kesal. Sungguh, ini bukan rencanaku, Sakinah. Maafkan aku.

Betapa tegarnya hatimu Rafiq. Apakah nilai aku kepadamu sebenarnya? Ya Rabb, bergetar jiwaku, betapa sakitnya hatiku. Sakinah menangis tiada henti. Masa bagaikan terhenti berdetik. Meskipun pukulan cemeti singgah di tubuhku, tidak akan aku merasa sakit.

Maha hebatnya derita hatiku. Aku dipaksa untuk menerima musibah ini. Ya Allah, mengapakah begini? Sakinah rebah. Tapi, itulah qadar Allah yang Maha Mengetahui. Hampir habis kekuatanku direnggut pergi. 

Perginya ia bersama-sama Rafiq.
ilove islam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan