Home Klik Di Bawah

Jumaat, 13 September 2013

Kisah Teladan - Gara-Gara Kehilangan Sandal Di Tanah Suci Makkah



Kehilangan selipar atau sandal di masjid perkara biasa. Tetapi, apabila kehilangan itu berlaku di Masjidilharam, menjadikan bakal-bakal haji menggelabah dan merungut didalam hati.

Ada kalanya kehilangan itu dihubungkaitkan dengan sikap jemaah haji itu sendiri atau sebagai pembalasan Allah pada ketika itu juga (on the spot).
 

Untuk tujuan renungan dan muhasabah diri sama ada kepada mereka yang sudah mengalaminya ataupun yang bakal menjejakkan kaki di Makkah Al-Mukarramah bagi tujuan mengerjakan ibadat haji atau umrah, suka saya menyorot kembali peristiwa-peristiwa yang berkaitan pada tahun 1993, ketika saya mengerjakaan ibadat haji pertama dan ulung kalinya saya ke Makkah.

Saya ke Masjidilharam memang berbekalkan sarung sandal sendiri. Pada masa itu Tabung Haji atau pakej Haji tidak membekalkannya.

Apabila tiba waktu solat Zuhur suatu hari, saya dan jemaah pun pergilah ke Masjidilharam. Di pintu masjid, disediakan rak tempat menyimpan kasut atau selipar.

Saya pun masukkan selipar ke dalam sarung, ikat dan masukkan ke dalam petak rak yang disediakan. Malangnya selepas mengerjakan solat dan pergi mendapatkan selipar, rupanya sudah tiada.


Pada suatu hari, saya keluar awal dan sempat melihat para jemaah yang mengambil selipar secara gopoh-gapah sehingga banyak selipar jemaah lain terjatuh merata-rata.

Saya mengambil selipar saya dan balik. Sebelum solat Asar, saya kembali ke Masjidilharam untuk melakukan tawaf sunat.

Saya sempat memerhatikan banyak selipar tercampak ke merata-rata tempat sehingga ke bahagian luar birai beranda masjid, dan saya perhatikan juga pekerja masjid sedang menyapu dan memasukkannya ke dalam plastik besar bekas sampah.

Rupa-rupanya selipar-selipar itu dianggap sebagai diletak merata-rata, akhirnya ia dikira bahan sampah.

Betulkah tiada kecurian? Betulkah ada balasan segera daripada Allah?

Cuba renungkan satu lagi peristiwa yang saya alami. Saya ada membawa sandal yang agak mahal. Saya memakai selipar untuk ke Masjidilharam.

Seperti biasa, sebelum masuk waktu Asar, saya tawaf dahulu.

Saya bungkuskan sandal elok-elok dan masukkan ke dalam tong yang memang disediakan untuk menyimpan sandal yang letaknya tidak jauh dari Kaabah.

Selepas tawaf dan sembahyang sunat, saya pun menuju ke belakang kerana jemaah sudah ramai untuk solat Asar.

Saya tinggalkan sandal mahal saya di situ. Selepas sampai di belakang, saya teringatkan selipar saya, takut diambil orang.

Jadi saya kembali ke depan dan mengambil sandal dan membawa ke belakang untuk diletakkan di dalam tong berdekatan saya.

Selepas sembahyang, sandal itu lesap juga. Memang ada orang curi dan saya juga menyalahkan diri kerana nak buat ibadat pun dok fikir fasal selipar, tidak tawakal kepada Allah.

Jadi, Tuhan tarik rezeki `on the spot'. Selepas berpengalaman dengan kehilangan selipar, saya membeli selipar getah.

Saya menoreh dengan jelas pada selipar itu sebagai satu simbol untuk pengecaman. Saya pun pergi menunaikan fardu Jumaat di Masjidilharam. Selipar itu betul-betul saya letak di hadapan tempat yang akan saya sujud ketika sembahyang nanti. Selesai sembahyang, saya terus berwirid.

Tiba-tiba datang seorang remaja, orang Arab Mesir ke, Palestin ke, yang saya agak macam Arab, berseluar panjang dan berambut kerinting segak dan bergaya orangnya, dia terus mencapai bungkusan plastik selipar saya.

Saya pun memberanikan hati, memegang tangannya sambil berdiri, "Bismillah...Ana" sambil menuding jari telunjuk ke dada saya.

Manalah saya tahu bertutur dalam bahasa Arab. Kemudian saya berkata kepadanya, "Bismillah..Anta?" sambil menuding ke arah dadanya.

Wajahnya berubah dan dia melepaskan genggaman pada selipar dan saya mengambilnya dan berkata, "Syukran!"

Itulah perkataan yang saya tahu. Dia pun beredar, saya pula bersyukur. - Nukilan NUR MY  
http://waazin.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan