RESDUNG atau sinusitis adalah satu masalah lazim di seluruh dunia.
Jika kita membuat ujian untuk penyakit resdung pada 10 orang, ujian
tersebut mendapati lapan daripadanya mengalami masalah sinusitis ringan
yang tidak memerlukan rawatan.
Di Malaysia, dianggarkan 60 hingga 65 peratus penduduk mengalami masalah resdung.
Bagaimanapun, daripada jumlah ini kurang 50 peratus mendapatkan
rawatan dan ramai tidak mahu berjumpa doktor kerana menganggap gejala
resdung yang dialami hanya selesema atau alahan biasa.
Menurut perubatan moden, resdung adalah radangan yang berada di
lapisan membran meliputi dinding ruang sinus. Punca keradangan sinus
disebabkan jangkitan kuman atau virus, alergi atau masalah sistem imun
badan seseorang.
Pesakit resdung menjadi lebih sensitif kepada bahan menyebabkan
alahan seperti habuk, bulu binatang, perubahan cuaca terutama cuaca
sejuk, pencemaran alam sekitar dan jangkitan bakteria atau virus.
Penghidap resdung biasanya sering mengalami gejala selesema seperti
hidung tersumbat, rasa sakit pada pipi, sekitar mata dan kepala. Ini
banyak berlaku terutama pada waktu pagi.
Simptom
* Batuk hingga kerongkong dan anak
tekak gatal.
* Telinga sering tersumbat.
* Lelehan air atau mukus keluar melalui hidung.
* Gatal mata apabila digaru, menjadi merah berair.
* Bersin melampau dan terlalu kerap.
* Simptom paling ketara apabila hidung kerap tersumbat dengan lendir
dan kahak hingga sukar dihembus keluar. Akibatnya, suara penghidap
menjadi sengau.
Individu berisiko
* Alah kepada habuk, bulu dan makanan menyebabkan hidung tersumbat.
* Mempunyai kelainan dalam hidung seperti septum dinding pemisah hidung bengkok.
* Mempunyai ketumbuhan dalam hidung
hingga menyebabkan ruang sinus sempit.
Kesan
Resdung jika tidak dirawat dengan betul akan memberi kesan serius kepada penghidap sama ada kanak-kanak atau orang dewasa.
Kanak-kanak
Antara akibat resdung kepada kanak-kanak ia boleh merebak ke dalam
mata hingga menyebabkan jangkitan bakteria dan mata bernanah. Dalam kes
sangat kronik, resdung boleh menyebabkan buta.
Dewasa
Resdung kronik boleh menyebabkan nanah bertakung dalam ruang sinus
frontal. Jika nanah tidak dapat dikeluarkan dari hidung, ia boleh
dipenuhi bakteria.
Risikonya bakteria boleh memasuki otak dan menyebabkan jangkitan pada
otak atau meningitis dan jika dibiarkan boleh membawa maut.
Cegah radang resdung
* Elak memelihara binatang berbulu.
* Jangan guna sarung bantal, cadar dan selimut diperbuat daripada bulu binatang.
* Bersihkan karpet atau permaidani dengan penyedut hampagas.
* Pakai penutup hidung ketika mengemas rumah
* Minum banyak air suam atau mineral.
* Lap muka dengan tuala basah dan air suam
* Elak makan makanan laut seperti udang, sotong dan kerang.
Rawatan Islam
Di Pusat Rawatan Islam Al Hidayah, terdapat ramai pesakit resdung
mendapatkan rawatan. Salah seorangnya, Kamal, 28. Dia sering bersin
waktu pagi dan masalah hidung tersumbat apabila resdung menyerang.
Kamal telah mencuba pelbagai rawatan dan ubatan tradisonal dan moden namun, kesan positif hanya bersifat sementara.
Doktor sahkan Kamal menghidap resdung kronik dan perlu menjalani pembedahan.
Kamal membuat keputusan pergi ke Pusat Rawatan Islam Al Hidayah untuk rawatan resdung dan beliau diberi beberapa ayat.
Dengan izin Allah, sakit kepalanya berkurangan.
Namun, dia sering bersin setiap pagi dan kulit wajahnya masih
berjerawat. Setelah beberapa kali menjalani sesi rawatan, masalah
resdung Kamal beransur pulih.
Jerawat di muka berkurangan dan hidungnya jarang tersumbat. Apa yang paling menggembirakan, Kamal tidak perlu dibedah.
Kesembuhan yang berlaku adalah dengan izin Allah melalui mukjizat
al-Quran. Kemuliaan dan kelebihan al-Quran dalam penyembuhan penyakit
adalah rahmat kepada orang yang memahami dan menyedari rahsia kehebatan
mukjizat al-Quran.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan kalaulah al-Quran itu Kami
jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata:
Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)?
Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya
berbangsa Arab? Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu, menjadi
(cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman dan
sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (Al-Quran itu) menjadi
sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar) dan
ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan
cahaya yang menerangi). Mereka itu (dengan perbuatan melarikan diri dari
ajaran al-Quran, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari
tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau
melihat dengan nyata).” (Surah Fussilat ayat 44)
Ssungguhnya al-Quran mempunyai pelbagai rahsia yang Allah sahaja Maha Mengetahuinya.
Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah terlebih dahulu, memeriksa setiap
pesakit yang datang, jika ada gangguan makhluk halus. Perawat akan
membuang gangguan jika ada dan memberikan ayat berikut untuk diamalkan
disertai doa kepada Allah memohon penyembuhan. Ayat tersebut adalah:
* Surah An-Nahl ayat 66 hingga 74
* Surah Al-Anfaal ayat 36 hingga 50
Pesakit hendaklah membaca surah pertama tiga kali pada malam dan
surah kedua tiga kali pada siang. Amalkan setiap hari selama tiga hingga
empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu berdoa kepada
Allah untuk penyembuhan.
Dalam pengalaman saya mengubati penyakit fizikal, selalunya ayat dari
Surah Al-Anfaal mempunyai hikmah dan keupayaan penyembuhan seumpama
antibiotik. Ayat dari Surah An-Nahl berfungsi menguatkan daya pertahanan
diri tubuh badan.
Insya-Allah gabungan amalan dua surah ini boleh membantu mengatasi
masalah resdung. Percayalah bunyi bacaan al-Quran memiliki aura dan
gelombang suara yang berfrekuensi tertentu dan panjang gelombang
tertentu.
Gelombang ini mempengaruhi sel dalam tubuh badan kita secara positif
dan mengembalikan keseimbangan tubuh. Gelombang dan aura kalimah suci
memberi kesan positif kepada sel antibodi dan juga menguatkan sistem
pertahanan tubuh badan.
Dalam erti kata lain, rawatan menggunakan ayat al-Quran ini bertindak
umpama rawatan moden, namun prosesnya tidak mampu dilihat dengan mata
kasar atau dijelaskan dengan logik akal.
Firman Allah yang bermaksud: Hai manusia, sesungguhnya telah datang
kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit
(yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang
beriman
.” – Surah Yunus, Ayat 57
Penutup
Dugaan kepada setiap penyakit yang dihadapi sebenarnya adalah ujian
Allah. Justeru, hendaklah kita berikhtiar dan berusaha serta tawakal
sepenuh hati.
Sesungguhnya doa, senjata kita yang paling ampuh dalam menghapuskan dan menyembuhkan penyakit.
https://epondok.wordpress.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan