“Aulia, disebabkan sayanglah umi setuju dengan cadangan walid.” Pujuk umi sambil mengusap tanganku yang memegang tangannya.
Sejujurnya
aku bukanlah tak suka dengan persekitaran kampung. Lagi-lagi bila
kampung tu ada dusun buah, pemandangan yang indah dan ada sebatang
sungai yang sentiasa terjaga cuma aku malas, risau dan takut nak
berhadapan dengan seseorang yang bernama Puan Najah. Orang yang akan
membuatkan hidup aku tak tenteram, terancam sehinggalah terjadinya
simpton-simpton tidur tak lena, makan tak kenyang dan mandi tak basah.
“Tak!
Itu bukan sayang namanya. Umi macam tak kenal dengan nenek, garang dia
mengalahkan singa. Aulia tak sanggup nak menempah sangkar singa mengaum.
Baiklah! Aulia janji yang Aulia akan berubah seperti walid dengan umi
nak tapi tolong jangan hantar Aulia balik kampung.” Naik jemu aku
memujuk walid untuk membatalkan niatnya. Sampaikan sekarang ni aku
sendiri dah tak terkira untuk berapa kali aku memujuk dan merayu kepada
walid namun semuanya ternyata ‘hampeh!’.
“Aulia
ingat walid akan berkompromi untuk kali kedua? Dah banyak kali walid
bagi peluang, tapi sekali pun Aulia tak nak dengar. Walid dengan umi
sayangkan Aulia sebab tu kami nak yang terbaik untuk Aulia. Walid tak
kisahlah Aulia nak anggap walid macam mana yang penting, keputusan walid
adalah muktamad!” Putus walid sebelum meninggalkan aku yang
terkulat-kulat mendengar keputusan rasminya.
“Walid!
Walid! Dengarlah dulu Aulia nak cakap. Umi tolonglah Aulia, Nek Jah tu
garang. Cuma Abang Nazrin saja yang boleh masuk dengan nenek tapi bukan
Aulia.” Giliran umi pula aku cuba memujuk tetapi umi hanya menarik
senyum sebelum mengikut langkah walid masuk ke bilik.
Arghh!
Semuanya nak tinggalkan aku. Apa? Ingat aku ni teruk sangat ke sampai
kena hantar balik kampung gara-gara dengan alasan nak jadikan aku gadis
Melayu. Ini semua nenek punya idea. Aulia tak nak! Tak nak...
*****
Dalam
aku berkeras tak nak balik kampung akhirnya kaki aku terpaksa juga
jejak di bumi Johor. Ini semua terjadi sebab kena ugut dengan walid lah.
Kalau aku tak ikut cakap dia dan Nek Jah segala elaun dan apa-apa
kemudahan yang aku dapat akan ditarik balik. Adil ke macam tu?
“Nazirah
Aulia, tercegat apa dekat situ? Cepat naik!” Arah Nek Jah dari muka
pintu dengan suaranya yang lantang. Belum hilang pun kereta walid
meninggalkan kawasan kampung aku, Nek Jah dah mula nak guna kuasa
vetonya.
“Yalah nek, Aulia naik.” Aku yang terpaksa akur dengan arahan Nek Jah terpaksa juga mendaki satu persatu anak tangga.
“Bawa
semua beg-beg ni masuk bilik. Kemas baju elok-elok, letakkan baju dalam
almari yang nenek sediakan dan pastikan rapi.” Pesan Nek Jah lagi
sebelum menghilangkan dirinya ke dapur.
Nenek
aku ni tak tahu ke cucu dia tengah penat? Dari Kuala Lumpur ke Johor
ingat dekat ke? Bagilah aku rehat, ni baru sampai dah berdozen-dozen
bagi arahan dekat aku. Beg yang berada di ruang tamu, terpaksa juga
diangkatnya dengan susah payah. Terasa sangat saat ni hidup macam anak
terbuang, menagih kasih pada yang tidak sudi.
“Ya Allah. Nazirah Aulia! Anak dara apa tidur petang-petang ni? Bangun!”
Berdesing
telinga aku mendengar bebelan daripada seseorang. Mata yang masih lagi
mengantuk terpaksa juga aku gagahkannya untuk dibuka. Terpacul muka Nek
Jah yang bengis di depan mata. “Mak!” Kerana terperanjat aku tergolek
jatuh dari katil.
“Bertuah
punya cucu. Aku suruh kau kemas baju, bukan tidur! Kau bangun mandi,
solat asar lepas tu kemas semua baju-baju ni.” Bebel Nek Jah lagi
mengalahkan bertih jagung.
“Kemas
baju apa? Bibik kan ada, suruhlah dia yang kemas.” Aku yang masih mamai
mengesot ke tepi katil sambil mengurut-gurut pinggang yang masih terasa
sakit.
“Banyak
kau punya bibik? Ingat ni Kuala Lumpur? Pergi mandi cepat!” Arah Nek
Jah kali ni aku merasakan yang rumah kayu ini seakan bergegar kerana
suara lantangnya.
Kalau
setiap hari aku perlu berhadapan dengan situasi yang sama macam
sekarang tak hairanlah dua tiga bulan akan datang aku pula boleh jadi
pekak.“Ya! Aulia nak mandilah ni.” Kerana dipaksa oleh Nek Jah akhirnya
aku terpaksa juga mengalah.
Selesai saja aku memenuhi arahan Nek Jah, perut yang berkeroncong dari tadi memaksa aku untuk turun ke dapur.
“Nek
oh nek!” Dah satu rumah aku berteriak memanggil Nek Jah tapi batang
hidung dia pun tak muncul. Disebabkan perut aku sekali lagi berkriuk
minta diisi, aku kembali semula ke dapur. Dari jauh tudung saji yang
terletak cantik di atas meja diangkat oleh aku. Senyuman syukur yang
tadinya terukir cantik di bibir kian layu bersama perasaan hiba yang
lahir dari hati.
“Apa
lagi dugaan aku ni? Mana lauk? Mana nasi? Aku nak makan apa?” Soal aku
bertubi-tubi untuk diri sendiri. Aku hanya mampu melihat tudung saji
yang berada di depan mata dengan perut yang kosong.
“Termenung apa tu?” Soal Nek Jah dari muka pintu belakang.
“Tak
ada apa-apalah. Nek, tak ada makanan ke? Perut Aulia dah lapar sangat
ni.” Adu aku sambil mengusap perut yang sedang kelaparan.
“Ada! Ini dia...” Jawab Nek Jah sambil menunjukkan aku tiga ekor ikan keli yang masih hidup.
Ikan misai? Biar betik nenek aku ni. Perut aku dah lapar sesuka hati pula dia nak buat lawak.
“Nek biar betul ikan misai tu? Lagipun ikan tu belum masak. Aulia nak lauk yang dah dimasak siap terhidang atas meja.”
“Inilah
anak dara zaman sekarang. Selama ni hidup ada orang gaji sampaikan buat
kerja pun malas. Orang malas ni selalunya rugi. Kalau tak nak masak tak
apa, aku tak kisah sebab dah kenyang.” Sindir Nek Jah sambil meletakkan
ikan keli yang masih hidup itu di dalam periuk.
Arghh!
Geramnya... Nak main ugut-ugut pula. Aku bangkit dari tempat duduk
menuju ke arah Nek Jah yang sibuk menguruskan ikan misainya itu. “Ala
nek, Aulia tak makanlah ikan ni. Masak lainlah nek, boleh kan?”
“Ada aku kisah? Selagi ikan ni tak dimasak, lauk lain pun tak akan dimasak!”
Ada
juga orang tua macam ni? Bukan nak mengalah, dah tu aku dulu ke yang
kena mengalah ni? “Baiklah nek. Sekarang ni nenek nak Aulia buat apa?”
Nek Jah yang tersenyum mendengar soalan aku memuncungkan bibirnya ke
dalam singki di mana ikan keli itu berada.
Terjenggil
biji mataku, faham dengan maksud Nek Jah. “Nek tak kanlah Aulia kena
uruskan ikan misai tu? Kan ikan tu ada sengat. Nek tak sayang ke dengan
satu-satunya cucu perempuan nenek ni?” Aku melancarkan kempen meraih
simpati.
“Sayang
tak sayang. Cepat siang ikan tu!” Arah Nek Jah dengan tegas. Dia
mengambil tempat di meja makan dan hanya melihat saja gelagat aku
menguruskan ikan-ikan kelinya.
Siang?
Nak siang macam mana? Ikan ni masih hidup lagi, dah lah dengan badannya
berlendir. Ikan ni pun satu, yang liat sangat nak mati kenapa?
“Tengok apa lagi? Cepatlah!” Tegur Nek Jah yang dari tadi sengaja nak mengenakan aku.
“Sabarlah
nek, ikan ni degil sangat. Air tak ada pun tak nak mati-mati lagi.” Aku
memberi alasan. Nek Jah pula yang dengar jawapan aku hanya ketawa.
“Kalau
nak tunggu ikan tu mati sendiri jawabnya sampai esoklah tak mati-mati.
Lain kali rajinkan kaki tu masuk dapur, ringankan tangan tu memasak. Dah
pergi ambil garam.” Setiap ayat yang keluar dari mulut Nek Jah aku
hanya menganggukkan kepala tanda faham.
Garam?
Alahai payah betul! Aku mengambil sebotol garam yang memang tersedia di
atas kabinet dapur sebelum disuakan kepada Nek Jah.
“Buat apa bagi aku? Pergilah letak garam ni dalam periuk tu. Ikan keli kalau nak bagi dia mati cepat kena letak garam.”
“Lah!
Macam tu pula? Pelik juga ikan misai ni.” Aku membebel sendiri sambil
ikutkan saja apa yang disuruh oleh Nek Jah. Satu sudu, dua sudu dan
ambil kau ikan, hampir 15 sudu besar aku letak. Bagi cepat sikit mati.
Aku
meletakan kembali garam tersebut di tempat asalnya, tak sampai beberapa
saat ikan yang berada dalam periuk mula bergerak-gerak. Aku yang
sememangnya tertarik untuk melihatnya datang dekat menghampiri periuk
tersebut. Jangan katalah betapa seronoknya aku tengok ikan-ikan tu
berpesta dalam periuk sampai ralit dibuatnya dan tanpa sedar...
“Ne...
Nek!” Aku menjerit sekuat hati dengan berkaki ayam aku berlari keluar..
Tak pedulilah kena marah ke apa ke, yang penting diri kena selamatkan
dulu.
‘Pap!’ Aku terjatuh duduk di atas tanah. “Apa lagi malang aku hari ni!” Aku menjerit sekuat hati.
“Maaf.”
Suara seorang lelaki menampar lembut gegendang telinga aku. Aku yang
terasa malu dengan kelakuan sendiri tersenyum kelat. Jatuh saham macam
ni. Tanpa bersuara lagi, aku hanya mengangguk tanda yang aku terima
maafnya.
“Nak ke klinik tak?” Soal lelaki itu prihatin.
Aku
yang sememangnya benci dengan perkataan klinik atau hospital
menggelengkan kepala. “Err... Tak apa, dah okey ni.” Aku beralasan.
Lelaki itu yang nampak aku ingin bangun turut sama menghulurkan bantuan.
“Terima
kasih.” Ucapku sepatah tanda penghargaan. Aku mengangkat muka, mata aku
dan lelaki itu saling bertaut. “Sir Farizal?” Soal aku dengan agak
pelik.
Lelaki
itu pula a.k.a Sir Farizal berkerut dahi cuba mengingati aku. “Nazirah
Aulia! Ikan keli tu apa cerita?” Marah Nek Jah dari beranda.
Ikan
keli, ikan keli tak habis-habis dengan ikan misai tu. “Nek, Aulia dah
mengalah! Tak kisah apa nak jadi, jadilah. Ikan tu degil tahap kritikal
meloncat sana sini.” Aku menjawab terus terang.
“Baru
suruh uruskan ikan dah menjerit macam kena histeria. Dah masuk! Kaki tu
jangan lupa basuh. Ha Rizal ada apa datang rumah Nek Jah ni?” Selepas
memberi arahan kepada aku, Nek Jah menyoal pula lelaki yang berada di
sebelah aku. Aku yang malas nak masuk campur urusan Nek Jah hanya
turutkan saja arahannya.
Rizal?
Memang tak syak lagi dia tu Sir Farizal bekas pensyarah aku masa kolej
dulu. Tapi apa dia buat dekat sini? Hei! Satu-satu bala datang dekat
aku.
*****
Hari
ni merupakan hari kedua aku direkrut oleh Puan Najah. Kalau semalam
sibuk aku kena bergelumangan dengan kedegilan ikan misai tu tapi
pagi-pagi tadi usai saja solat subuh berjemaah sekali lagi aku dipaksa
masuk ke dapur. Teruk jugalah telinga aku kena ceramah percuma daripada
Nek Jah katanya gadis Melayu kena hormatkan orang tua, kena pandai
mengemas rumah dan paling penting kena selalukan diri untuk masuk dapur
atau lebih mudah difaham kena pandai memasak, dan itulah dia misi aku
yang paling penting buat masa sekarang. Hari ni dan seterusnya aku kena
belajar M-E-M-A-S-A-K, memasak!
“Nazirah
Aulia, sini sekejap!” Aku yang sedang menikmati buah belimbing di bawah
pokok manggis hampir tersedak mendengar laungan daripada Nek Jah.
Gugur semangat aku hari-hari macam ni. “Ya nek. Aulia datang.” Aku mengusap dada perlahan mengurangkan rasa terperanjat.
Sampai
saja di depan bilik Nek Jah aku mengetuk dulu pintu bilik sebelum
masuk. Maklumlah ini kali pertama aku nak menapak masuk ke bilik Nek Jah
yang tak pernah langsung selama ni aku melihatnya. Masuk saja ke bilik
Nek Jah hampir terlopong mulut aku, apa taknya punyalah pembersih nenek
aku ni sampaikan bilik dia wangi gila, perabot dan segala isi dalam
biliknya juga tersusun kemas patutlah dia mengamuk sakan kalau aku buat
sepah.
“Apa
lagi yang berdiri kaku tu? Sini duduk cepat.” Panggil Nek Jah lagi
menyuruh aku duduk berdekatannya. Almari lama tetapi masih lagi cantik
dan terjaga dibukanya.
“Apa ni nek? Nak bagi harta karun ke?” Soal aku dengan niat ingin bergurau.
“A’ha.
Nak bagi harta yang sangat berharga.” Jawab Nek Jah serius. Aku yang
terasa lain macam dengan jawapannya hanya menyepikan diri.
“Aulia
cuba pakai baju ni.” Sepasang Baju Kurung Pahang dihulurkan kepada aku.
Aku memandang pelik Nek Jah dan baju kurung tersebut bersilih ganti.
“Apa tengok-tengok lagi? Pakailah cepat.”
“Nek, nenek ni pelik-peliklah. Suruh orang pakai baju kurung pula. Panaslah nek.” Aku menolak pemberian daripada Nek Jah.
“Jangan
nak melawan! Ingat Aulia kena hormatkan orang tua. Aku ni lagi tua
daripada Aulia. Apa yang aku suruh buat, itu semua ada sebab tersendiri
dan pemakaian baju kurung ni pun salah satu ciri gadis Melayu. Aulia
tu...”
Ya
Allah mula lagi nenek aku ni membebel. Tak apa demi misi menjadi gadis
Melayu aku akan pakai. “ Baiklah nek, Aulia pakai.” Aku menyambut
huluran daripada Nek Jah.
Hampir
lima minit aku bersiap dengan memakai Baju Kurung Pahang milik Nek Jah.
Sekali pandang nampak cantik, dua kali pandang nampak ayu dan kali
ketiga aku berkenan pula dekat baju ni. Tak panas, tak ketat macam
baju-baju aku yang lain dan nak bergerak bebas pun boleh.
Setelah
aku berpuas hati dengan penampilan aku mengenakan baju kurung Nek Jah,
aku menuju ke biliknya tetapi dia tiada, ke ruang tamu pun tak ada dan
aku pasti nenek aku mesti ada di dapur.
“Nek,
tengok ni. Cantik tak Aulia pakai?” Aku yang sibuk membetul-betulkan
baju kurung yang dipakai tidak sedar yang Sir Farizal dari tadi jadi
pemerhati.
Aku
mengetap bibir kerana benggang dengan kehadiran Sir Farizal yang tak
diundang. “Sir? Apa Sir buat dekat sini?” Soal aku yang geram dengan
kemunculannya.
“Saja.
Jadi ini lah dia Nazirah Aulia yang suka pancitkan tayar kereta saya?”
Soal Sir Farizal dengan senyuman sinis bermain di bibir.
Adui...
Dia dah dapat cam aku pula. Nenek punya pasallah panggil nama penuh
aku. “Kalau ya pun, apa saya kisah? Sir tu yang menjengkelkan. Tapi apa
sebenarnya tujuan Sir datang ke sini? Sir nak mengadu domba pasal
perangai saya dekat Nek Jah kan?” Aku membuat spekulasi sendiri.
“Mengadu
domba tu tak adalah, tapi kalau nak balas sikit-sikit perbuatan awak
dulu tu apa salahnya kan?” Sir Farizal meletuskan tawanya apabila
melihat riak muka aku yang mula sakit hati dengan perangainya.
“Aulia, Rizal amboi rancak berbual.” Tegur Nek Jah yang baru memunculkan diri dari belakangku.
“Nek, nenek pergi mana tadi? Aulia cari tak jumpa pun.” Aku sengaja menukar topik perbualan.
“Aku
dekat bilik belakang. Ha, kan cantik pakai baju kurung macam ni baru
terserlah ciri keperempuanan.” Puji Nek Jah sambil mengusap lembut
bahuku. Aku hanya tersenyum mendengar pujian daripada Nek Jah tetapi
mata aku masih kekal fokus ke arah Sir Farizal yang tak habis-habis nak
tersengih macam kerang busuk.
“Kalau
nenek tak cakap pun Aulia tahu. Nek, Aulia naik tau.” Aku yang malas
menghadap muka Sir ingin berlalu pergi tetapi ditahan pula oleh Nek Jah.
“Nak ke mana? Kan tetamu ada ni, buatkan air untuk Rizal.” Pinta Nek Jah lembut sebelum menyuruh tetamu TERhormatnya itu duduk.
Nek
Jah ni tahu ke tidak yang aku tak sanggup nak tengok muka plastik Rizal
tu a.k.a Sir Farizal aku zaman kolej dulu. Cukuplah aku kena menghadap
muka dia dua semester berturut-turut tapi bukan sekarang. Walaupun hati
tak rela tetapi aku tetap juga mengambil jug dari kabinet.
“Aulia
buat air tu biar dengan rasa ikhlas jangan biarkan amarah menguasai
diri. Karang orang buat air rasa manis, kau buat air rasa masin.” Perli
Nek Jah. Mana pula Nek Jah tahu aku tengah marah, terpampar ke dekat
muka ni yang aku tengah mencuka?
“Ni
nek airnya. Kalau dah tak ada apa-apa Aulia nak naik dulu.” Kali kedua
aku ingin berlalu pergi namun sekali lagi dipanggil oleh Nek Jah untuk
duduk menyertainya pula.
“Kat
atas tu bukan ada kerja pun. Duduk sini! Cuba kenang balik jasa Rizal
yang mencurahkan ilmu pada Aulia. Tak kanlah dengan cikgu pun tak nak
bertegur.”
Amboi
cepat gila Nek Jah tahu aku ni bekas pelajar Sir Farizal? Mulut murai
tempayan betul tak reti nak berahsia! Patut Nek Jah perli aku punya
pedas rupanya tembelang dah pecah.
“Rizal
macam mana dulu perangai Aulia dekat kolej?” Soalan daripada Nek Jah
membuatkan aku menelan air liur seperti menelan pasir, kesat sampai ke
tekak. Aku mengeleng-gelengkan kepala perlahan berharap yang Sir Farizal
membantu aku dengan menyembunyikan perkara sebenar.
“Aulia?” Sir Farizal melihat aku dengan senyuman yang meleret keningnya di gerak-gerakkan, sengaja nak mengenakan aku!
“Aulia
lah pelajar yang paling saya tak pernah lupa. Rajin buat tugasan, orang
lain buat sikit dia sanggup nak buat banyak. Orang pergi kelas ikut
jadual tapi dia punya tahap rajin tu Nek Jah, hampir setiap kali saya
mengajar dia wajib datang dan sampaikan ada satu perkara yang paling
saya suka, bila saya sendiri kena buat lebih kerja dengan menolong Aulia
menaip surat. Kan Aulia?” Soal Sir Farizal sinis.
“A’ha
nek. Sejahat-jahat Aulia pun masih ada sikap rajin tu.” Aku menjawab
mesra soalan daripada Sir Farizal walaupun hakikat sebenarnya dia bukan
memuji tapi memerli.
Punca
kenapa aku benci sangat dengan Sir Farizal ni bermula dari hari pertama
lagi dia menjadi pensyarah sementara bagi subjek LAW. Langsung tak ada
sikap keperimanusiaan. Hari pertama kelas dia, aku dah kena denda sebab
masuk kelas lambat walaupun itu sebenarnya salah dia sendiri. Sepanjang
kelas dia jugalah, aku tak habis-habis dijadikan mangsanya pasti ada
saja yang kena aku lakukan. Kerana marah, aku pun berdendam dengan
memancitkan tayar kereta Sir Farizal. Kali pertama terlepas, kali kedua
hampir kantoi tapi kali ketiga terus kena tangkap. Sepanjang satu
semester aku kena buat tugasan tambahan, kena sentiasa datang ke kelas
yang diajarnya. Namun benda yang sangat aku benci,setiap kali nak habis
semester macam mana sekali pun prestasi aku dalam kelasnya pasti akan
dapat surat cinta.
*****
“Aulia, dah siap belum?” Pintu bilik aku diketuk-ketuk oleh Nek Jah.
“Dah!”
Dengan rasa malas yang menguasai diri aku buka juga pintu bilik yang
terkunci. Lemah rasanya kaki ni nak melangkah pergi ke rumah Sir
Farizal. Walau hati kata tak rela tapi bila arahan sudah keluar dari
mulut Nek Jah automatik tak rela akan menjadi terpaksa dan aku adalah
mangsa yang terpaksa.
“Nek kalau Aulia jaga rumah ni tak boleh ke?” Aku menanya lagi soalan yang sama.
“Kita
ni hidup kena saling tolong-menolong. Itu lah masalah anak muda zaman
sekarang sampaikan amalan tradisi seperti rewang ni pun dah makin luput
ditelan zaman. Tak boleh! Aulia kena ikut juga pergi rumah Si Rizal tu.
Nanti orang kampung kata aku mengurung cucu pula.” Bebel Nek Jah lagi
tanpa jemu. Selepas mengunci pintu dia menarik tangan aku menuju ke
rumah Makcik Halimah, iaitu rumah Mak Sir Farizal.
“Assalamualaikum,
maaf lambat. Menunggu anak dara ni siap kemain lama.” Nek Jah menegur
orang kampung yang sedang sibuk membuat kerja masing-masing ada yang
mengupas kulit bawang, memotong kentang, cili dan banyak lagi.
“Ni
ke cucu kau Najah? Adik Si Nazrin? Cantik!” Puji seorang wanita tua
yang aku agak lebih kurang sama dengan umur Nek Jah. Aku hanya mampu
tersenyum dan menyalam semua kawan-kawan Nek Jah.
“Dah
lah sopan, cantik pula. Kalau saya ada anak bujang hari ni juga saya
masuk meminang.” Giliran seorang makcik pula yang memuji aku.
Terdengar
saja orang memuji aku ni sopan, lemah lembut nak ketawa pun ada, siap
ada hajat lagi nak dijadikan aku menantu. Tahukah orang kampung siapa
aku yang sebenarnya?
“Makcik
Leha mana boleh, Nazirah Aulia ni saya dah chop sebagai calon isteri.”
Hampir tersedak aku mendengar gurauan daripada Sir Farizal. Sejak bila
pula mamat ni munculkan diri? Nak bergurau pun agak-agaklah abang oi...
Tengok dulu kiri kanan.
“Rizal,
naik merah muka Aulia tu menahan malu. Kalau dah jodoh tunggu apa lagi
kamu pun dah ada kerjaya yang bagus, masuk aje lah meminang.” Seorang
lagi makcik yang aku tak kenal siapa boleh pergi layan kepala gila Sir
Farizal. Makin bengkak hati aku menahan geram.
Aku
menjinjit kaki agar ketinggian aku boleh melepasi Sir Farizal. “Sir,
tak payahlah bab kahwin pun nak dijadikan barang gurauan. Saya tak
suka!” Aku berbisik perlahan ke telinga Sir Farizal.
“Siapa pula yang bergurau? Saya serius.” Jawab Sir Farizal dalam nada berbisik sebelum meninggalkan aku.
“Aulia, tolong makcik cabutkan bulu-bulu ayam ni.” Dari jauh Makcik Halimah memanggil aku untuk menolongnya.
Cabut
bulu ayam? Ini payah! Tadi baru kena puji sopan, lemah lembut tapi
kalau kerja macam ni pun aku tak reti buat macam mana? Adui, siapa yang
aku nak minta tolong ni? Aku memusingkan kepala aku ke kiri dan ke kanan
untuk mencari mangsa tapi masing-masing sibuk dengan kerja mereka
sendiri.
“Nak cabut bulu ayam pun tak reti ke cik adik?” Teguran daripada Sir Farizal aku tidak endahkan.
“Tengok
saya cabut macam mana. Kalau dah tak boleh cabut rendam lagi dengan air
panas.” Sir Farizal yang berada di depan aku membuat demo cara mencabut
bulu ayam dengan teknik tradisional.
“Ala orang tahulah. Sibuk!” Aku mencerbikkan bibir.
“Baguslah kalau macam tu. Nah! Buat semua ni.” Putus Sir Farizal sambil menolak besen yang penuh dengan ayam ke arahku.
“Lah! Sir nak ke mana pula?” Soal aku yang pelik dengan tingkah Sir Farizal ingin meninggalkan aku.
“Tadi awak baru kata saya ni menyibuk. Jadi saya tak naklah menganggu orang tu buat kerja dia.”
Walawey,
itu pun nak merajuk juga ke? “Sir tolonglah saya, banyak sangat ni.
Mana cukup tangan nak buat semua ni.” Hari ini dalam sejarah apabila aku
terpaksa juga meminta bantuan daripada musuhku sendiri.
“Apa tak dengar?” Soal Sir Farizal lagi ala-ala orang yang tak dengar jelas. Pekak betul baru tahu!
“Aulia
nak minta tolong Sir. Duduklah sini, tolong sekali cabut bulu-bulu ayam
ni. Aulia tak mampu buat sendiri.” Aku bersuara dengan lemah lembut
lagi supaya bekas Sir aku ni cair dengan permintaan aku.
Sir
Farizal tersenyum mendengar permintaan aku. Dia kembali mengambil
tempat di depanku sambil mengambil ayam yang masih berbulu di dalam
besen. “Itu lah, bila orang nak tolong jangan sombong.” Aku yang terasa
dengan sindirannya cuma mendiamkan diri.
Buat
seketika ruang antara aku dan Sir Farizal menjadi sepi. Aku yang mula
dihimpit bosan menegur Sir Farizal yang sibuk mencabut bulu ayam.
“Sekarang ni Sir jadi pensyarah lagi ke?” Soalku tanpa melihat wajahnya.
“Tak! Sekarang saya bekerja sepenuh masa sebagai peguam. Kenapa?”
“Tak
ada apalah, cuma pelik tengok muka Sir asyik ada saja dekat kampung ni.
Sir bekerja dekat mana?” Soal aku lagi yang tiba-tiba datang mood syok
pula nak berbual.
“Sekarang
saya tengah cuti untuk kenduri ni. Tiga hari lagi saya akan balik Kuala
Lumpur. Kenapa Aulia dah mula jatuh suka dekat saya ke?” Soalan
daripada Sir Farizal membuatkan ayam yang berada di tangan aku terlepas
jatuh ke atas dulang.
Hai
hati, kenapa pula kau nak berdengup kencang macam ni? Tak kan apa yang
Sir cakap tu betul? Tapi... Tak! Tak mungkin, Nazirah Aulia itu Sir kau
merangkap musuh kau. Dah lupa ke apa yang dia pernah buat dekat kau?
“Jangan
nak perasanlah Sir. Ni Sir habiskanlah cabut bulu-bulunya. Jari jemari
saya dah naik kembang cabut bulu ayam ni. Susah sangat nak dicabut.
Nah!” Ayam yang berada di atas dulang aku hulurkan kepada Sir Farizal.
Tak sanggup nak berlama di depan Sir Farizal, aku menuju pula ke arah
Nek Jah yang sibuk membuat kerjanya.
*****
“Siap!
Ikan siakap masak tiga rasa, tom yam campur, sup cendawan, sayur kailan
dan sajian terakhir adalah sotong goreng. Tengok umi, walid, abang,
Aulia masak semua lauk-pauk ni sendiri tau. Nek Jah tak tolong pun.” Aku
memperkenalkan satu per satu lauk yang aku sendiri masak kepada seluruh
ahli keluargaku.
“Betul
ke kau masak ni? Was-was pula aku nak makan.” Teguran daripada abang
aku yang bernama Nazrin, langsung tak berhati perut! Ada ke patut dia
berprasangka buruk dengan masakan aku.
“Iya
lah. Apa ingat Aulia ni tak pandai masak ke? Tak apalah abang Nazrin,
kalau tak nak makan pergi masak sendiri. Tak paksa pun.”
“Alahai, cucu Nek Jah ni cepat sangat nak terasa.” Dengan sesuka hati saja kedua-dua pipi aku ditarik kasar oleh Abang Nazrin.
“Sakitlah!” Aku yang geram kerana di perlakukan seperti itu, memijak kakinya dengan sekuat hati. “Ni makannya...”
“Hei,
sudah! Benda kecil macam ni pun nak bergaduh? Awak berdua ni dah besar
masing-masing tunggu hari nak ada keluarga sendiri tapi perangai tak
ubah macam budak-budak.” Umi yang pening melihat gelagat aku dan Abang
Nazrin mula membebel. Tu lah pepatah Melayu ada mengatakan ‘ke mana
tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’ buktinya umi dengan Nek Jah sendiri
yang kuat membebel.
“Aulia,
sepatutnya Aulia kena berterima kasih dekat walid dengan umi sebab
cadangan walid lah hari ni merasa juga walid nak makan masakan anak
sendiri. Lepas tu kena berterima kasih pada nenek Aulia tu. Tanpa jasa
nenek, tak adanya Aulia dapat bezakan halia, kunyit dengan lengkuas.”
Giliran walid pula bersuara. Aku yang faham maksud walid tersenyum
sebelum mengucapkan terima kasih kepada keluargaku yang banyak berjasa.
“Walid, umi dengan Nek Jah je? Abang?” Aku hanya mampu tersenyum mendengar soalan daripada Abang Nazrin.
“Abang tu nak buat apa? Buat habiskan beras!” Jawabku dengan selamba.
“Macam-macamlah
kau orang berdua ni. Pergi siap cepat kita solat maghrib dulu baru
hidangkan makanan.” Nek Jah yang dari tadi jadi pemerhati mula
mencelah. Aku dan Abang Nazrin hanya ikutkan saja arahan Nek Jah.
Usai
saja menunaikan solat mahgrib berjemaah aku berteleku di atas tikar
sejadah. Pejam celik, pejam celik dah hampir dua bulan setengah aku di
kampung menemani Nek Jah. Walaupun mulutnya pot pet pot pet namun itulah
sebenarnya menjadi berkat untuk aku berubah ke arah yang lebih baik.
Dari aku ni jenis yang suka berhuha, tergedik sana sini dengan lelaki,
berpakaian macam sarung nangka, pemalas nak buat kerja, sampaikan pada
satu tahap tu nasi pun aku tak reti nak masak, dan sembahyang? Lagilah
jauh dari kehidupan aku.
Tapi
selepas walid dan umi membuat keputusan untuk menghantar aku ke kampung
barulah hati aku begitu tenang untuk menyusuri ranjau kehidupan yang
beronar dengan duri-duri pidana. Betullah cakap walid kalau bukan jasa
nenek mendorong aku untuk berubah bukan setakat kunyit, halia dan
lengkuas saja aku tak kenal tapi semua perkara yang perlu menjadi etika
dalam kehidupan kita pun aku tak akan pernah kenal. Dan apa yang boleh
aku katakan hari ni, aku bangga sebenarnya ada orang yang kuat membebel
disisi aku sebabnya itu membuktikan yang mereka nak mendidik dan
menunjukkan rasa sayangnya.
“Assalamualaikum.”
Ketukan pintu mengembalikan fikiran aku ke alam nyata. Baru aku perasan
dari tadi hanya tinggal aku seorang yang berada di atas sejadah.
Masing-masing dah menghilangkan diri. Tanpa membuang masa, aku membuka
telekung dan meletakkannya di tempat yang telah disediakan.
Aku
yang baru saja buka pintu untuk keluar dari bilik solat menjerit kerana
terperanjat dengan kelibat Makcik Halimah yang ingin menuju ke dapur.
“Fuhh! Gugur jantung.” Aku menarik pintu bilik sebelum membontoti
langkah Makcik Halimah.
“Makcik datang seorang je ke?” Soal aku berbasa-basi.
“Tak
lah, tu Pakcik Farid tengah berbual dengan ayah kamu kat depan.” Aku
yang mendengar hanya menganggukkan kepala tanda mengerti.
Hmm... Sir Farizal tak ada ikut ekali ke? Soalan yang hanya mampu ditanya dalam hati, tak sanggup nak diluahkan.
“Aulia termenung apa pula dekat tangga tu? Cepat tolong umi hidangkan makanan.”
“Aulia
teringatkan Sir Farizal, um...” Aku yang baru tersedar menerkup mulut.
Kantoi! Kenapa hari ni tiba-tiba fikiran aku menerawang pula teringatkan
dia? Penyakit parah ni!
“Sir Farizal? Siapa pula tu?” Soal umi yang pelik dengan jawapanku. Adui, umi ni nak tanya pula. Janganlah umi, malu!
“Nampaknya
tak lama lagi anak aku berbesan dengan kau lah Limah.” Nek Jah yang
sibuk mengambil pinggan di kabinet sempat lagi memerli aku. Umi dan
Makcik Halimah pula saling berpandangan sebelum mengalihkan perhatiannya
kepada aku dengan senyuman yang meleret.
Ha! Kenapa pula tengok aku lain macam ni? “Nek, Aulia tersasullah.” Aku membetulkan kenyataan Nek Jah.
“Tak
payahlah nak malu-malu Aulia. Kalau betul Aulia sukakan Rizal, minggu
depan makcik hantar rombongan meminang.” Giliran Makcik Halimah pula
mencelah. Makin menebal muka aku kena menahan malu.
“Tak lah makcik, Aulia betul-betul tak maksudkannya. Maksud Aulia tu...”
“Tapi
kalau ibu bersetuju nak jadikan Aulia ni menantu, Rizal tak ada masalah
bu.” Membuntang mata aku terdengar suara Sir Farizal.
Sekarang
ni aku betul-betul terhimpit dengan situasi yang menjerat diri sendiri.
Tak pernah aku mengalami peristiwa malu macam ni sehinggalah malam ini
yang memecahkan rekodnya. Perlahan-lahan aku mengalihkan pandangan ke
arah belakang, wajah Sir Farizal, Abang Nazrin, Pakcik Farid dan walid
betul-betul di depan mata aku. “Ya Allah!” Aku yang berdiri di atas
tangga hampir-hampir nak terjatuh kerana terkejut.
“Farid,
Nizam, Nazrin kita makan dulu. Rizal dengan Aulia jangan nak berdrama
pula dekat tangga tu. Cepat turun!” Aku mengigit bawah bibir tanda geram
dengan teguran Nek Jah. Elok-elok hal ini terjadi kerana kesalahan
kecil terus bertukar jadi salah faham yang besar.
*****
“Sir
ni serius ke nak kahwin dengan saya?” Soal aku yang masih was-was
dengan pinangan daripada keluarga Sir Farizal dua hari yang lepas.
Ingatkan
kata-kata daripada Makcik Halimah masa makan malam hari tu cuma omongan
kosong. Rupa-rupanya keluarga Sir Farizal buat betul. Nasib aku pula
kurang baik kerana sewaktu rombongan tu sampai ke rumah, aku keluar
dengan kawan-kawan. Balik aje ke rumah, Nek Jah dah tolong aku terima
pinangan daripada Sir Farizal. Patutlah beriya Nek Jah nak ikut aku
balik ke Kuala Lumpur, rupanya ada muslihat disebalik perilaku.
“Yalah.
Kalau tak serius tak adanya saya pergi hantar rombongan meminang dekat
rumah awak Cik Nazirah Aulia.” Jawab Sir Farizal tidak serius. Makin
bertambahlah rasa was-was aku.
Orang
macam ni nak jadi suami aku? Soal kerja mungkinlah serius tapi soal
kehidupan dia, semuanya dianggap gurauan. Layak ke dia nak mengalas
tanggungjawab menjadi suami aku? Ya Allah, macam manalah aku boleh
bertemu cinta dengan Sir Farizal? Macamlah kumbang dekat dunia ni
tinggal seekor.
Ombak
yang memukul pantai membuatkan kainku menjadi basah, aku yang jauh
mengelamun kembali semula ke alam nyata. Baru aku perasan Sir Farizal
yang tadinya ada bersama dengan aku sudah menghilangkan diri, mataku
meliar mencari kelibatnya.
Ya
Allah, aku dekat sini sibuk cari dia. Dia dekat sana tengah minum
sampai lupakan aku? Baru saja aku ingin mengatur langkah mendapatkan Sir
Farizal yang sedang duduk di sebuah warung, seorang gadis entah datang
dari mana mengambil tempat dihadapan lelaki itu.
“Hai.” Tegurku ramah.
“Hai,
I kenal you ke?” Soal gadis itu pelik. Dengan lenggok badannya yang
menggeliat ke kiri dan ke kanan membuatkan aku teringat kembali akan
ikan keli yang pernah aku taburkan dengan garam. Reaksinya sangat sama,
sebiji, spesis!
“Rin kenalkan ini...”
Belum
sempat Sir Farizal mengenalkan aku kepada gadis tersebut. Aku mencelah
terlebih dulu. “You memang tak kenal I, tapi kawan you ni kenal I. I
bukan tegur you pun, I tegur kawan I ni.” Jawabku dengan sinis. Padan
muka!
“Sorry. I tak tahu. By the way, you dah lama ke kenal dengan Rizal, bakal tunang I?”
Aku
nak buat perempuan tu yang marah tapi aku pula yang nak marah. Sesuka
hati saja cakap bakal suami aku tunang kau? Aku yang geram dengan
senyuman plastik perempuan itu mengalihkan pandangan ke arah Sir Farizal
meminta kepastian. Ternyata lelaki itu hanya tersenyum mendengar
kenyataan daripada gadis tersebut.
“Ooo,
tunang you? Bila you nak berkahwin?” Mata aku masih lagi setia merenung
Sir Farizal. Sir Farizal yang perasan dengan reaksi aku, membuat riak
muka seperti tiada apa-apa.
“As soon as possible.” Jawab gadis itu penuh yakin.
“Tahniah.
Maaf menganggu kau orang berdua.” Ucapku sebelum berlalu pergi. Rasa
sakit yang menyelinap di ruang hati membuatkan air mata aku hampir gugur
membasahi pipi.
“Tunang? Nak berkahwin? As soon as possible?
Kau ingat aku ni apa? Manusia yang tak ada perasaan?” Bertubi-tubi
soalan yang aku lontarkan untuk diri sendiri. Air mata yang tidak mampu
dibendung semakin galak menitis ke pipi.
“Aulia!
Tunggu sekejap!” Dari jauh kedengaran suara Sir Farizal memanggil aku.
Kerana ikutkan rasa hati, aku hanya membiarkan suaranya lenyap dibawa
angin.
Tanpa
mempedulikan keadaan sekeliling, aku semakin mempercepatkan langkah.
Suara Sir Farizal yang semakin kuat memanggil namaku, aku tidak
mengendahkannya. Apa nak jadi, jadilah. Aku tak kisah!
“Nazirah
Aulia!” Suara Sir Farizal yang meninggi semakin jelas di pendengaran
sebelum aku merasakan ada suatu tangan yang sasa merangkul kemas
tubuhku. Mata yang berat aku gagahkan jua untuk membukanya. Pandanganku
semakin kabur, wajah Sir Farizal yang berlumuran darah menerpa ruang
retina sebelum mataku terpejam rapat.
*****
“Sir!”
Aku yang baru tersedar dari tidur berusaha membuka mata perlahan-lahan.
Lampu yang menyilaukan mata semakin membuatkan kepalaku sakit.
“Doktor,
pesakit sudah sedarkan diri.” Suara dari seorang gadis yang serba putih
membuatkan aku semakin keliru dengan apa yang berlaku.
“Saya dekat mana ni?” Soalku perlahan.
“Sekarang cik berada di hospital?”
“Hospital? Kenapa?” Soalku dengan suara serak, di kepala ligat aku berusaha mengingatkan apa yang sebenarnya sudah terjadi.
“Cik rehat dulu. Saya akan panggil keluarga cik.” Pesan gadis itu sebelum meninggalkan aku bersendirian.
Rasa sakit yang menyerang kepalaku, membuatkan mataku kembali terpejam dan sekali lagi aku terhanyut dalam mimpi.
“Abang, anak kita dah sedar.” Buka saja mata wajah umi yang dibasahi air mata bermain di ruang mata.
“Umi, walid.” Panggilku lemah. Umi yang mendengar panggilanku mengeratkan lagi pegangannya.
“Kenapa Aulia dekat sini?” Soalku lagi ingin mendapatkan kepastian.
“Aulia kemalangan.” Beritahu umi tanpa berselidung. Aku yang mendengar jawapan umi terdiam seketika.
Kemalangan?
Aku cuba mencernakan balik maksud umi. Darah? Sir Farizal? Fikiran aku
jauh menerawang teringat kembali wajah Sir Farizal yang penuh dengan
darah. “Umi, walid, Sir Farizal mana? Aulia nak jumpa dia?” Tanpa segan
silu sekali lagi air mataku merembes keluar.
“Aulia, sabar nak.” Giliran walid pula memujukku.
“Walid, tolong izinkan Aulia jumpa Farizal. Umi, mana Farizal?” Sekali lagi aku mendesak umi dan walid.
“Aulia, Farizal tak ada. Dia...”
“Apa
maksud umi? Dia kenapa umi, walid? Farizal tak ada apa-apa kan?” Aku
yang tidak sabar mendengar kenyataan daripada umi mendesak lagi.
“Buat mengucap Aulia. Jangan macam ni.” Umi yang duduk di kerusi bangun mendakap tubuhku yang berada di atas katil.
“Umi,
macam mana Aulia nak bersabar? Aulia nak jumpa Farizal! Aulia cintakan
Farizal! Aulia tak sanggup kehilangannya...” Tangisku lagi dalam pelukan
umi.
Pintu
bilik aku yang dibuka dari luar aku tidak hiraukan. Tak payah tengok
aku dah agak siapa gerangan si pelawat. Sekarang ni yang penting adalah
Sir Farizal, aku nak tengok muka dia dan kalau ada apa-apa yang terjadi
pada dia, orang yang perlu bertanggungjawab adalah aku!
“Dan Farizal cintakan Aulia.” Sambut satu suara yang sangat aku kenali.
Aku
mengalihkan pandangan ke arah pintu, satu keluhan lemah meniti bibir.
Aku yakin suara itu milik Sir Farizal, tetapi kenapa perlu Nek Jah, ibu
bapa Sir Farizal dan abang aku Nazrin saja yang munculkan diri? Adakah
telahan aku adalah benar? Sir Farizal telah meninggalkan hidup aku untuk
selama-lamanya.
“Ma, Aulia nak jumpa Rizal...” ucapku lemah sebelum aku rebah dalam dakapan umi.
*****
“Nazirah
Aulia, bangunlah! Jangan nak tidur aje. Cukup-cukuplah terlantar sakit,
cepat sikit sembuh boleh kita kahwin.” Suara milik Sir Farizal bergema
di pendengaranku. Aku tahu itu suara Sir Farizal, suara yang sangat aku
rindui tetapi aku sengaja membiarkan mataku terus tertutup. Andai aku
perlu menghadapi kenyataan yang menyeksakan hati, biarlah buat seketika
aku mendengar suaranya di dalam mimpi.
“Aulia
cepatlah sedar. Saya rindukan awak. Saya nak dengar sekali lagi yang
awak cintakan saya.” Ujar suara itu lagi tetapi kali ni lebih beremosi.
Ya
Allah berikan aku kekuataan untuk menerima takdirMu, sekiranya ini
peluang terakhir untuk aku mendengar suaranya, KAU izinkan aku lena
sementara dalam tidurku. Doaku dalam hati. Setiap kali lelaki itu
menuturkan bicara, aku terasa bagaikan dia berada disebelah, merenung
wajahku tajam, memujukku untuk sedar dari tidur yang panjang. Air mata
yang ingin aku tahan dari terus mengalir, tetap menitis satu demi satu
membasahi pipi.
“Rizal, Aulia belum sedar lagi ke?” ada satu suara yang menegur Sir Farizal dan aku yakin suara itu milik walid.
“Belum lagi pak cik. Aulia tak sedarkan diri cuma air mata dia saja yang mengalir.” Beritahu Sir Farizal jujur.
“Kalau air mata mengalir tu maknanya dia dah sedarlah tu.” Suara milik Abang Nazrin pula mencelah.
Aku
yang mula rasa lain dengan situasi yang berlaku, sudah tidak senang
duduk. Kenapa tiba-tiba terasa yang suasana sekarang bukan mimpi tetapi
realiti? Kelopak mata yang terasa berat, perlahan-lahan aku cuba
mengangkatnya, silauan lampu yang berada di siling sangat menyakitkan
mata.
“Kan
aku dah cakap dia dah sedar. Tu!” sekali lagi Abang Nazrin bersuara.
Kali ini wajah pertama yang aku lihat adalah Sir Farizal dengan keadaan
kepalanya berbalut.
Aku yang masih terasa di awang-awangan berusaha bangkit dari tempat pembaringan. “Agrr!” aku menyeringai kesakitan.
“Dah tahu badan tu lemah, tak payahlah nak bangun.” Masih terngiang-ngiang suara Abang Nazrin memerliku.
Apa
masalah Abang Nazrin sebenarnya? Aku yang merupakan adik perempuannya,
terlantar sakit tapi dia tak ada langsung rasa simpati. Aku mengetap
bibir menahan rasa sakit yang memang sah-sah aku kena tanggung ditambah
pula dengan mendengar suara Abang Nazrin yang tidak enak didengar.
“Nazrin,
kenapa cakap dekat Aulia macam tu? Dah jom keluar, bagi ruang untuk
mereka selesaikan masalah sendiri.” Tegur walid yang dari tadi
mendiamkan diri. Aku hanya mampu tersenyum dalam hati, akhirnya hilang
satu beban tapi beban yang lain datang menunggu.
Aku
menjeling Sir Farizal yang masih kaku duduk di kerusi sebelah katilku.
“Apa?” soalku lemah yang geram dengan tingkahnya. Tenung orang macam nak
telan!
Di
bibirnya terukir senyuman, makin sakitlah hati aku dibuatnya. “Apa?
Kenapa? Kalau datang sini nak tersenyum-senyum sebab tengok saya sakit,
lebih baik balik bilik sendiri!” marahku lagi walaupun nada suara yang
aku gunakan tak menunjukkan pun yang aku tengah marah.
“Saja
nak bayangkan muka awak meraung pagi tadi, nampak comel! Dan macam nak
dengar sekali lagi awak cakap ‘Aulia nak jumpa Farizal! Aulia cintakan
Farizal! Aulia tak sanggup kehilangannya’. Saya dengar tadi pun terasa
macam tengah bermimpi.” Jawabnya kali ini terlebih jujur.
Aku
terasa dah muka aku tengah berona merah. Maknanya suara yang sebelum
ini aku dengar memang betullah suara Farizal dan apa yang aku cakapkan
semua tu dia dengar? Ya Allah, malunya...
“Dah!
Jangan nak cakap lagi. Awak kan dah ada pengganti saya.” Akhirnya aku
terpaksa juga luahkan apa yang bersarang di dalam hati.
“Tapi
itu bukan salah awak ke? Sampai dua kali perkara sama berulang.”
Jawapan yang keluar dari mulutnya sengaja membuatkan aku naik angin.
“Salah
saya? Mungkinlah salah saya, sebab saya dah tahu awak rapat dengan saya
sebab nak balas dendam tapi saya masih lagi bagi awak peluang tu.”
Balasku agak beremosi.
“Bukan itu maksud saya, wahai bakal Puan Nazirah Aulia. Masuk kali ni, tiga kesalahan dah awak buat. Biar saya jelaskan dulu.”
“Awak nak jelaskan apa Rizal? Saya akui itu semua kesalahan saya.”
“Dah
empat kesalahan dan tolong jangan buat kesalahan kelima. Cuba awak
tenangkan dulu hati tu, bagi rehat mulut awak dan biarkan saya pula yang
bercakap .” Ujar lelaki itu, dan aku terpaksa beralah dengan memberinya
peluang.
“Kesalahan
pertama- saya nak kenalkan status sebenar awak, awak mencelah dulu.
Lepas tu tak bercakap jujur, cakap yang awak tu kawan saya. Nasiblah
kalau dia buat cerita tipu mengaku saya ni tunang dia.”
Baiklah, alasan yang boleh terima. “Kesalahan kedua?”
“Kesalahan
kedua- suka sangat buat keputusan meluru, ikut kepala sendiri.
Memanglah tak salah kalau nak cemburu sebab saya sendiri suka tengok
awak cemburu, itu tandanya awak sayangkan saya. Tapi jangan sampai nak
cederakan diri sendiri dan akibatnya hari ni kita berdua yang kena
tanggung. Kalau saya seorang tak kisah, tapi awak?” soalannya membuatkan
aku rasa terharu. Tidak sangka sampai begitu sekali Sir Farizal
mencintai aku.
“Lagi?”
“Kesalahan
ketiga- gemar sangat buat telahan yang salah lepas tu nak main
tuduh-tuduh orang. Saya nak sebuah perhubungan yang halal bukan nak buat
anak orang menderita. Lagipun hal yang dah lepas tu tak pernah saya
anggap sebagai kenangan buruk tetapi itu semua adalah kenangan terindah
dalam hidup saya. Tak sangka bekas pelajar saya boleh jadi bakal isteri.
Macam tajuk novel pula ‘bekas pelajarku, isteriku’.
Alasan
yang ketiga membuatkan aku meletuskan tawa. Nampak sangat Sir Farizal
ni kaki jiwang, sampai samakan kisah hidupnya macam novel. Tapi aku
tidak pernah berharap kisah hidup aku akan sama macam novel, memanglah
pengakhir cerita selalunya bahagia tetapi sepanjang nak mencapai tahap
bahagia tu punyalah banyak konflik kena lalui.
“Kenapa ketawa?” soal Sir Farizal pelik. Laju aku menggelengkan kepala.
“Tak ada apa-apa. Terakhir?” soalku tapi masih ada sisa tawa.
“Yang
terakhir? Lain kali kalau tak puas hati tolong berterus terang dengan
saya dan kalau nak tahu perkara sebenar berikan saya peluang untuk
bercakap jujur.” Aku terdiam mendengar penerangannya. Aku akui itu
memang sikap buruk aku dan aku sangat bersyukur atas nikmat Allah kerana
telah memberi peluang untuk menyedarkan kesalahan aku dengan
mengirimkan seseorang yang sabar dalam melayan setiap kerenahku.
*****
“Tahniah!”
“Tahniah
Aulia, Sir Farizal, semoga berkekalan sehingga jannah. Dulu saling
membenci, sekarang saling mencintai.” Perli salah seorang kawan baik aku
yang faham sangat dengan fiil aku tidak menyukai Sir Farizal.
Seorang
demi seorang tetamu yang datang mengucapkan kata tahniah. Termasuklah
kawan-kawan aku yang merangkap bekas pelajar suami aku juga. Kalau bab
terperanjat jangan cakaplah, bertubi-tubi soalan datang menyerang. Kalau
bab perli memerli dah boleh mengalahkan udang terbakar aku kena menahan
malu. Tapi Sir Farizal yang sudah sah bergelar suami aku pula, punyalah
gembira sampai ke telinga senyumannya dan nampak jugalah muka dia tu
berseri-seri.
“Sama
cantik, sama sepadan. Tahniah untuk kau orang berdua. Rizal lepas ni
kau jangan nak dera lagi Si Aulia ni. Dulu pelajar, sekarang isteri.”
Giliran bekas pensyarah aku pula yang menegur. Walaupun semua tu dah
lama berlalu tapi kenangan lama membuatkan aku betul-betul terasa malu.
“Itu
dulu sebelum Aulia ni jadi pelajar aku yang paling degil tapi sekarang
dah jadi isteri. Siapa tak sayang isteri? Orang pertama dan terakhir
yang akan kekal dalam hidup aku.” Aku disebelah Sir Farizal menarik
senyum gembira. Walaupun ada ciri-ciri yang dia sengaja nak kenakan aku
tapi ayatnya yang terakhir membuatkan aku mampu terbang ke awan.
“Kalau
Si Rizal ni aku tak kisah sangat. Tapi kalau adik aku Si Aulia ni aku
kisah sikit. Dia ni pramatang, perangai pun macam budak-budak. Tapi
paling tak sangka boleh pula kawan aku yang sekampung, sekuliah, jadi
adik ipar aku.” Sampuk seseorang yang mengacau aku untuk terbang bebas.
Kasut
aku dah terletak cantik dekat kaki. Tajam tumitnya jangan cakaplah
kalau dah nama steleto. Niat dalam hati ni macam nak pijak-pijak saja
kaki si abang tapi tak sampai hati pula. Memanglah aku dengan Nazrin
rapat tapi kerja dia yang kuat menyakat membuatkan aku rasa tertekan.
“Pramatang
aku pun tetap dah kahwin. Kau? Matang cap ayam! Minat dekat Kak Heliza
tapi sampai sekarang tak terluah. Sepatutnya majlis ni untuk kau dulu
bukan aku...” Puas hati aku kenakan balik sampai tak sedar yang aku
sudah terlepas cakap.
“Heliza?
Jadi kau betullah minat Heliza?” suami dan bekas pensyarah aku menyoal
Nazrin serentak. Masing-masing jelas di muka riak tidak percaya dengan
tembelang yang sudah pecah.
“Ishh, mana ada! Kau dengarlah budak ni cakap.” Abang Nazrin sudah membesarkan matanya ke arah aku. Ingat aku takutlah?
“Ha!
Budak memanglah budak tapi sekarang dia ni isteri aku. Kan sayang?”
panggilan sayang daripada Sir Farizal membuat aku tercengang seketika.
“Pengantin
baru kalau nak bermesra masuk dalam. Tetamu dekat sini masih ramai
lagi.” keluar lagi sindiran berbisa daripada Nazrin.
“Cemburulah
tu. Kak Heliza, sini sekejap! Abang Nazrin nak beritahu sesuatu ni.”
Aku yang ternampak kelibat Kak Heliza laju memanggilnya. Muka Abang
Nazrin yang menahan malu dan marah bertukar warna merah. Tu lah nak
kenakan aku sangat, ini habuannya.
“Sayang
jom kita tinggalkan mereka bertiga. Biarlah mereka uruskan hal
sendiri.” Bisik Sir Farizal di telingaku lembut. Aku mengangguk perlahan
sebelum mengatur langkah mengikut sang suami.
novel melayu kreatif
Bestlah.
BalasPadamBest๐๐
BalasPadamBest๐๐
BalasPadam