Home Klik Di Bawah

Ahad, 8 Disember 2013

Kerana Manisnya Epal

"Indah sungguh suasana di tepi sungai ini. Airnya mengalir tenang dan anginnya bertiup lembut. Biarlah saya duduk di sini untuk berzikir kepada Allah," kata Abu Salleh sendirian lalu duduk di tepi sungai.

Sungai itu terletak di sebuah pekan kecil bernama Jilan. Di situlah tempat tinggal Abu Salleh. Dia berasal dari keturunan Imam Hassan, salah seorang cucu Nabi Muhammad.

Ketika dia sedang berzikir, terpandang olehnya sebiji epal hanyut di tebing sungai. Perutnya yang memang belum diisi sejak awal pagi berbunyi beberapa kali. "Mungin ini rezeki untuk saya," katanya lalu mengambilnya.


Abu Salleh memakan sebiji epal itu sehingga habis. Tiba-tiba dia berdiri dengan wajah yang terkejut, "Saya memakan epal ini tanpa izin tuannya. Tentu pemilik epal ini berada di hulu sungai."

Abu Salleh berjalan menyusur tebing sungai menghala ke hulu sambil memerhati kesekeliling kalau-kalau ada pokok epal di situ. Jauh dia berjalan meninggalkan pekan Jilan. Dia terus berjalan sehingga akhirnya dia menemui sebuah ladang epal

"Syukurlah akhirnya saya menemui ladang epal. Saya yakin epal yang saya makan tadi datang dari ladang ini. Lebih baik saya segera menemuinya."

Abu Salleh terus memasukki ladang epal itu dan menemui pemiliknya. Pemilik itu bernama Sheikh Abdullah, berasal dari keturunan Imam Hussin, salah seorang cucu Nabi Muhammad juga. Beliau ialah seorang yang kuat beribadat dan disegani oleh penduduk di kawasan itu.

"Saya memohon maaf dan mohon dihalalkan sebiji epal yang saya memakannya," pinta Abu Salleh kepada Sheikh Abdullah.

Sheikh Abdullah memerhatikan Abu Salleh untuk beberapa ketika lalu tersenyum. Dia menarik nafas panjang dan berkata, "Saya boleh memaafkan saudara dengan satu syarat."

"Katakanlah apakah syarat itu? Saya akan memenuhinya."

"Saya mahu saudara bekerja di ladang epal ini selama dua belas tahun!"

Tanpa banyak soal, Abu Salleh mengangguk dan menyatakan persetujuannya. Bekerjalah Abu Salleh di ladang epal milik Sheikh Abdullah itu selama dua belas tahun dengan penuh amanah dan tanggong jawab. Sheikh Abdullah memerhatikan tingkah laku Abu Salleh sepanjang tempoh itu dan mula tertarik hati. Dia bercadang untuk mengahwinkan puterinya dengan Abu Salleh.

Akhirnya tamatlah tempoh dua belas tahun lalu Abu Salleh menemui Sheikh Abdullah. "Saya sudah menunaikan syarat tuan. Halalkanlah epal yang saya makan itu."

Sheikh Abdullah terpegun dengan kata-kata Abu Salleh yang jelas menggambarkan dia adalah seorang anak muda yang jujur lalu dia berkata, "Saya akan mengenakan satu lagi syarat ke atas saudara."

"Katakanlah syarat itu, saya akan tunaikan."

"Syaratnya ialah, saudara mesti mengahwini puteri saya. Tetapi biarlah saya berterus terang tentang keadaan puteri saya itu."

"Katakanlah! Saya akan mematuhinya."

"Puteri saya bernama Ummu Khair Fatimah. Dia seorang yang lumpuh, pekak, buta dan bisu. Mahukah saudara mengahwini puteri saya itu sebagai syarat kedua untuk saya memaafkan saudara?"

Sejenak Abu Salleh termenung membuatkan dada Sheikh Abdullah berdebar-debar. Akhirnya Abu Salleh memandang ke arah Sheikh Abdullah dan tersenyum, "Saya akan mengahwini puteri tuan sekiranya tuan menghalalkan sebiji epal yang saya makan tanpa izin dua belas tahun yang lalu."

"Baiklah. Saya akan menghalalkan sebiji epal yang saudara makan itu sekiranya saudara mengahwini puteri saya."

Maka berlangsunglah satu majlis perkahwinan di antara Abu Salleh dan Ummu Khair Fatimah. Pada malamperkahwinan itu, Abu Salleh masuk ke bilik pengantin dan memberi salam.kepada isterinya. Sebaik sahaja isterinya menoleh ke arahnya. Wajah Abu Salleh berubah kerana dia amat terkejut lalu berlari ke ruang tamu menemui bapa mertuanya, Sheikh Abdullah.

"Adakah seorang perempuan lain di dalam bilik pengantin? Di manakah isteri saya yang lumpuh, buta, pekak dan bisu itu?"

Sheikh Abdullah tersenyum mendengar pertanyaan Abu Salleh lalu menjawab, "Perempuan yang berada di dalam bilik pengantin itu ialah puteri saya, Ummu Khair Fatimah. Saya mengatakan dia lumpuh kerana kakinya tidak pernah menjejak ke tempat maksiat. Saya mengatakan dia pekak kerana dia tidak pernah mendengar perkara yang terlarang. Saya katakan dia buta kerana dia tidak pernah melihat perkara yang haram dan saya mengatakan dia bisu kerana dia tidak pernah menuturkan sesuatu yang sia-sia."

Tersenyumlah Abu Salleh sebaik sahaja Sheikh Abdullah menghabiskan kata-katanya lalu dia menadah tangan, "Ya Allah! Hambamu mengucapkan syukur yang tidak terhingga!"

Hasil perkawinan Abu Salleh dan Ummu Khair Fatimah ini lahirlah seorang ahli agama yang terkenal diberi nama Sheikh Abdul Kadir Jailani. Beliau digelar Mahyuddin yang bermaksud, Yang menghidupkan Agama!
bicara santai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan