Sebagai seorang Muslim, seorang ayah wajib menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam mengemudi keluarganya. Dalam al-Quran, ada banyak saranan yang ditujukan kepada golongan bapa.
 
Ayat-ayat dalam al-Quran bukan saja menyentuh perintah agar ayah menjaga dan memelihara keluarga seperti ayat mengenai ‘Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka.’ Ia juga merangkumi ayat yang menganjurkan seorang ayah  melengkapkan diri dengan kemahiran tertentu dalam mendidik dan membangunkan anak-anak.
 

 
Nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya seperti yang dicatatkan dalam ayat 13 hingga 19, surah Luqman adalah contoh jelas bagaimana seorang ayah harus berkemahiran dalam menyusun strategi dalam mendidik anak-anaknya. Antara kemahiran yang diperlukan oleh seorang ayah boleh diringkaskan seperti berikut :
 
* Kemahiran menjadi suami yang disayangi, dihormati dan disanjungi oleh pasangan masing-masing. Perkara ini merangkumi kemahiran memahami perasaan isteri, menghormati perbezaan pandangan yang mungkin berlaku dan seterusnya kebolehan menyusun strategi bersama pasangan dalam mendidik dan membangunkan keluarga. Pepatah ada mengatakan bahawa ‘hadiah terbaik daripada seorang ayah kepada anak-anaknya adalah menyayangi ibu mereka’.
 
* Kemahiran menjadi ayah yang disayangi, dihormati dan diteladani oleh anak-anak. Antaranya, meliputi aspek kemahiran berkomunikasi, kemahiran memahami perbezaan tingkah laku anak lelaki dan perempuan; keseimbangan penggunaan teknik pemberian hadiah dan hukuman serta terbabit secara langsung dalam urusan harian anak-anak.
 
* Kemahiran mempelbagaikan strategi lain yang harus digunakan dalam membesarkan anak-anak dalam dunia yang mencabar. Anak-anak akan membesar dengan cepat dan terdedah dengan pelbagai rangsangan positif dan negatif melalui persekitaran mereka.
 
Semoga dengan memberikan kasih sayang yang sempurna dan mendidiknya mengikut ajaran Islam, ia mampu mengukuhkan hubungan antara ayah dan anak.
Hubungan ayah dan anak ibarat tali bersimpul mati. Hubungan ayah dengan anak tidak mungkin boleh dirungkai walaupun ayah sudah bercerai dengan ibu. Hubungan ini tetap akan dituntut di akhirat kelak iaitu sejauh mana tanggungjawab yang ditunaikan dan hak yang diberikan.
 
Sesungguhnya, anak-anak kita mungkin mempunyai ramai teman dan rakan serta boleh bertukar-tukar pasangan hidup, tetapi mereka hanya mempunyai seorang ayah sahaja di dunia ini.
 http://pama.karangkraf.com