Sebagai seorang Muslim, seorang ayah wajib menjadikan al-Quran sebagai
panduan utama dalam mengemudi keluarganya. Dalam al-Quran, ada banyak
saranan yang ditujukan kepada golongan bapa.
Ayat-ayat dalam al-Quran bukan saja menyentuh perintah agar ayah
menjaga dan memelihara keluarga seperti ayat mengenai ‘Peliharalah
dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka.’ Ia juga merangkumi ayat
yang menganjurkan seorang ayah melengkapkan diri dengan kemahiran
tertentu dalam mendidik dan membangunkan anak-anak.
Nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya seperti yang dicatatkan dalam
ayat 13 hingga 19, surah Luqman adalah contoh jelas bagaimana seorang
ayah harus berkemahiran dalam menyusun strategi dalam mendidik
anak-anaknya. Antara kemahiran yang diperlukan oleh seorang ayah boleh
diringkaskan seperti berikut :
* Kemahiran menjadi suami yang disayangi, dihormati
dan disanjungi oleh pasangan masing-masing. Perkara ini merangkumi
kemahiran memahami perasaan isteri, menghormati perbezaan pandangan yang
mungkin berlaku dan seterusnya kebolehan menyusun strategi bersama
pasangan dalam mendidik dan membangunkan keluarga. Pepatah ada
mengatakan bahawa ‘hadiah terbaik daripada seorang ayah kepada
anak-anaknya adalah menyayangi ibu mereka’.
* Kemahiran menjadi ayah yang disayangi, dihormati dan
diteladani oleh anak-anak. Antaranya, meliputi aspek kemahiran
berkomunikasi, kemahiran memahami perbezaan tingkah laku anak lelaki dan
perempuan; keseimbangan penggunaan teknik pemberian hadiah dan hukuman
serta terbabit secara langsung dalam urusan harian anak-anak.
* Kemahiran mempelbagaikan strategi lain yang harus digunakan dalam membesarkan anak-anak
dalam dunia yang mencabar. Anak-anak akan membesar dengan cepat dan
terdedah dengan pelbagai rangsangan positif dan negatif melalui
persekitaran mereka.
Semoga dengan memberikan kasih sayang yang sempurna dan mendidiknya
mengikut ajaran Islam, ia mampu mengukuhkan hubungan antara ayah dan
anak.
Hubungan ayah dan anak ibarat tali bersimpul mati. Hubungan ayah dengan
anak tidak mungkin boleh dirungkai walaupun ayah sudah bercerai dengan
ibu. Hubungan ini tetap akan dituntut di akhirat kelak iaitu sejauh mana
tanggungjawab yang ditunaikan dan hak yang diberikan.
Sesungguhnya, anak-anak kita mungkin mempunyai ramai teman dan rakan
serta boleh bertukar-tukar pasangan hidup, tetapi mereka hanya mempunyai
seorang ayah sahaja di dunia ini.
http://pama.karangkraf.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan