Home Klik Di Bawah

Selasa, 4 Februari 2014

Kami tidak berzina!


Kami tidak berzina!
Maaf, kami tidak menuduh awak berzina tetapi awak menghampiri zina!
 
Kami hanya berbual-bual, berbincang, bertanya khabar, minum-minum…..adakah itu menghampiri zina?
Ya, perbuatan itu boleh menjerumus pelakunya ke lembah perzinaan.
 
 
  
Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat kearah itu….
Hari ini,ya. Besok mungkin kamu kecundang. Kamu dalam bahaya. Jangan bermain dengan bahaya. Iblis dan syaitan akan memerangkap kamu. Sudah banyak tipu daya iblis yang mengena sasaran. Iblis amat berpengalamandan tipu dayanya amat halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama, Adam dan Hawa. Jangan pula terlupa. Siapalah kita jika dibandingkan dengan Adam dan hawa? Iblis amat licik. Pengalamannya banyak. Ia ada 1001 cara. Ingat, pesanan Rasulullah : Janganlah kau bersendirian dengan seorang wanita kecuali ketiganya adalah syaitan(Tabrani). Syaitan akan menghembus perasaan berahi. Kita lemah untuk menghadapi tipu daya Iblis.
 
Tidak semestinya semua orang bercinta menjurus kepada penzinaan. Ada yang hanya bercinta dalam telefonn dan SMS sahaja. Tak pernah bersua muka pun!
Betul. Itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada awalnya tak bersua muka, tapi perasaan pasti bergelora. Lambat launnya desakan nafsu dan perasaan serta hasutan Iblis, akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak berhenti di situ sahaja. Percalah, ia akan berlanjutan dan berterusan. Tidakkah itu boleh membawa kepada penzinaan akhirnya?
 
Takkan nak berbual –bual pun tak boleh? Itu pun zina juga ke?
Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya.  Ada zina betul, ada zina tangan iaitu berpegang-pegangan, ada zina mata iaitu melihat kekasih atau permpuan/lelaki dengan perasaan berahi.

Melihat auratnya juga zina mata. Zina hati iaitu khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah, "Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya ialah menyentuh. Kedua-dua kaki juga berzina dan zinanya ialah berjalan(menuju ke tempat maksiat/pertemuan). Mulut juga berzina dan zinanya ialah ciuman (Muslim dan Abu Daud). Sebenarnya jalan dan lorong menuju ke lembah penzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita berada atau melalui mana-mana jalan atau lorong yang boleh membawa kepada penzinaan.
 
Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran sahaja. 
Berdiskusi pelajaran, betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit di dalam hati hamba-hamba-Nya. Kita belajar nak keberkatan. Kalau cemerlang sekalipun, kalau tidak diberkati Allah, kejayaan tidak akan membawa kebahagiaan. Hidup tidak bahagia, akhirat lebih lagi lah. Jangan suka berselindung di sebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang yang berilmu. Jadi, belajar hendaklah ikut batas dan ketentuan Allah. Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi begini akan ditulis ibadat oleh Raqib dan Atid?

Sungguh! Bincang pelajaran sahaja. Ni study group. 
Study group…? nampak lain macam saja, manja, senyum memanjang, tak macam gaya berdiskusi. Takkan study group berdua sahaja? Kemana-mana pun berdua. Kalau ye pun, carilah group study yang ramai sikit. Kalau duduk berdua-duaan macam ni….betul ke bincang pelajaran? Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran, yang lain tu ……banyak masa dihabiskan dengan fantasi cinta!
 
Tidaklah . Sungguh berbincang pelajaran.
Baik sungguh awak berdua. Takkanlah awak berdua tak de perasaan apa-apa? Awak kurang sihat ke? Ingat, kita bukan malaikat, tak ada nafsu, Kita ada nafsu, ada keinginan. itulah manusia.

Kami sama-sama belajar, study group, saling memberi semangat dan motivasi.
Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar? Habis sudahkah kaum sejenis yang boleh memberikan motivasi? Jangan hina kaum sejenis kita. Ingat, banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan kaum sejenis. Lebih tenag perasaan, tidak terganggu, dapat berkat dan rahmat pula.
 
Takkanlah tak ada langsung ruang yang dibenarkan dalam Islam untuk bercinta? Adakah Islam membunuh naluri cinta?
Naluri adalah sebahagiaan kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah. Kalau naluri itu tidak wujud pada diri seseorang, tak normal namanya. Islam bukan datang membunuh naluri dan keinginan itu, tidak! Islam tidak suruh membunuh naluri seperti yang dilakukan oleh para paderi atau sami. Jangan nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Cuma, tundukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Jadilah manuysia yang sihat nalurinya. Jangan jadi ‘malaiakat’! Kerana Allah ciptakan kita sebagai manusia. Dunia dan isinya akan hambar tanpa naluri/nafsu.
 
Tentu ada cinta cara Islam.
Cinta secara Islam hanya satu, iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab qabul; cinta selepas kahwin. Itulah cinta sakral dan qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan agama kita, Islam. Apabila Islam melarang sesuatu perkara, tentu ia gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Kalau ia melarang cinta antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, ia membawa “sesuatu” sebagai ganti yang lebih baik iaiti perkahwinan. Sabda Rasulullah : Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling menyintai kecuali nikah.(Ibni Majah). Cinta adalah maruah manusia. Ia terlalu mulia.
 
Kalau begitu, cinta remaja semua menghampiri penzinaan?
Ya. Kalau lelaki dan perempuan bertemu, tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian diatur pertemuan. Kemudian duduk berdua-duaan. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian, berbual panjang hingga lewat malam. Hubungan makin akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalu tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru semalam…….
Bukankah mereka semakin hampir dan dekat dengan penzinaan? Penghujung jalan cinta adalah penzinaan dan kesengsaraan. Berapa ramai orang yang bercinta telah sampai di daerah penzinaan dan kesengsaraan. Kesihanilah diri dan ibubapa yang melahirkan kita dalam  keadaan putih bersih tanpa noda daripada seekor nyamuk sekalipun!
 
Masih ramai yang bercinta tapi tetap selamat, tidak sampai berzina. Kami tahan diuji.  
Allah yang menciptakan manusia, Dia tahu kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu, Allah memerintahkan supaya jauhi perkara yang ditegah, takut manusia akan kecundang.
 
Jadi, manusia itu tak tahan diuji?
Kita manusia, daripada keturunan Adam dan Hawa, sejak dari awal penciptaan manusia, Allah telah mengingatkan manusia bahawa mereka tidak tahan dengan ujian walaupun ianya kecil. Allah takdirkan suatu peristiwa untuk dijadikan iktibar bagi manusia. Allah tegah Adam dan Hawa supaya jangan mendekati atau makan buah Khuldi di dalam syurga. Buah yang lain boleh dimakan. Allah tahu kelemahan pada ciptaan-Nya (manusia). Tak tahan diuji. Oleh itu, Allah berpesan kepada Adam dan Hawa, jangan hampiri pokok Khuldi itu. Firman Allah : “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga, serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok(Khuldi) ini, (jika kamu hampirinya) maka akan menjadilah kamu daripada orang yang zalim”. (al-A’araf:19)
 
Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah Khuldi, tetapi Allah tahu sifat dan kelemahan Adam dan Hawa. Jika menghampiri perkara tegahan, takut nanti mereka akan memakannya. Kerana mereka tak dapat mengawal diri. Demikianlah dengan zina. Ditegah berzina. Maka jalan kearah penzinaan juga dilarang. Takut apabila berhadapan dengan godaan penzinaan, kedua-duanya akan kecundang. Cukuplah kita belajar daripada pengalaman nenek moyang kita Adam dan Hawa.
 
Tetapi cinta lepas kahwin banyak masalah. Kita tak kenal pasangan kita secara dekat. Bercinta adalah untuk mengenali hati budi pasangan sebelum buat keputusan berkahwin.
Bolehkah percaya dengan perwatakan seseorang masa sedang bercinta? Bercinta penuh dengan lakonan dan kepura-puraan. Masing-masing akan berlakon dengan watak yang terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah dan berbagai-bagai lagi. Masa bercinta adalah alam lakonan semata-mata. Masa bercinta, merajuk ada yang akan pujuk. Jangan harap lepas kahwin, bila merajuk akan nada yang memujuk. Banyak orang yang kecewa dan tertipu dengan keperibadian pasangan semasa bercinta. Perangai jauh berbeza. Macam langit dan bumi. Masa bercinta dia seorang yang amat penyayang, penyabar, sabar tunggu pasangan terlambat berjam-jam. 
Tapi bila dah kahwin, lewat lima minit, dah kena tengking. Jadi, perwatakan dalam masa bercinta tidak boleh dipercayai. Percintaan adalah auatu kepuraan atau hipokrit. 

Percayalah, kami bercinta demi merancang kebahagiaan hidup nanti.
Bagaimana diharap kebahagian jika tidak mendapat redha Allah? Kebahagiaan adalah anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih.Kebahagiaan bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan. Allah yang akan menganugerahinya. Bagaimana mendapat anugerah kebahagiaan itu, jika jalan  mencapai kebahagiaan itu tidak diredhai Allah. Kebahagiaan berumah tangga mestilah melalui proses yang betul. Sudah tentu prosesnya bukan bercinta begini. Allah tidak meredhai percintaan ini. Cinta yang diredhai Allah adalah cinta selepas kahwin. Bagaimana untuk mendapat keluarga yang bahagia, jika langkah mula sudah pun canggung, bagaimana kesudahannya?
 
Tanya sikit….adik angkat, kakak angkat, abang angkat boleh ke? Ganti bercinta….
Semua itu adalah perangkap Iblis dan Syaitan. Hakikatnya adalah sama. Cinta yang diberi nafas baru. Kulitnya nampak berlainan, tetapi isinya adalah sama. Adik angkat, kakak angkat, abang angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. Manusia yang terlibat dengan budaya “angkat” ini, sebenarnya telah masuk ke dalam perangkap syaitan. Cuma menunggu masa untuk dikorbankan. Namakan apa nama sekalipun, Abang angkat ke, motivator ke, semuanya adalah sama. Jalan akhirnya akan bertemu dengan zina. 
 
Jadi, seolah-olah orang yang bercinta telah hilang maruah diri?
Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh manusia, tetapi oleh Pencipta manusia. Sebab ukuran manusia sering berbeza-beza. Orang yang sedang mabuk bercinta, akan mengatakan orang yang bercinta tidak menjejaskan apa-apa maruah pada dirinya. Manakala, bagi orang yang menjaga diri, tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin, akan mengatakan orang yang bercinta sudah tidak bermaruah lagi. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang belum layak menerima cinta suci. Kalau begitu, ukuran bermaruah atau tidak bermaruah adalah ditentukan oleh Allah.
 
Adakah orang yang bercinta hilang maruah diri?
Antara kemuliaan manusia ialah maruah dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah cuba menggadai maruahnya kerana mereka menghampiri penzinaan. Manakala orang bercinta dan pernah berzina tidak layak berkahwin kecuali orang yang pernah berzina juga. Mereka tidak layak untuk berkahwin dengan orang yang beriman. Allah berfirman : “Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau musyrik: dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang bagi orang-orang yang beriman”. (Surah al-Nur:3) 
 
Jadi, orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai untuk berkahwin dengan orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah itu suatu penghinaan dari Tuhan!
 
Jadi orang pernah bercinta hanya layak berkahwin dengan orang yang pernah bercinta juga?
Itulah pasangan yang layak untuk dirinya. Kerana wanita yang baik hanyalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik hanyalah untuk perempuan yang baik.
 
Kami telah berjanji sehidup semati.
Apa yang ada pada janji cinta? Berapa banyak sudak janji cinta yang musnah? Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang keemasan sahaja. Habis madu sepah dibuang…Pepatah itu diungkap kerana ia sering berualang sehingga menjadi pepatah.

Si dia ni lain dari yang lain. Dia lelaki yang penyayang dan bertanggungjawab.
Tahukah hati budi lelaki? Sejahat mana lelaki, apabila ingin mengambil seorang wanita sebagai isteri dan seterusnya menjadi ibu untuk anak-anaknya, dia akan memilih wanita yang baik. Tetapi untuk berseronok suka dan berfoya-foya, lelaki biasanya akan memilih perempuan murahan kerana ia suatu pelaburan yang menguntungkan. Itulah rahsia lelaki.
 
Jadi, perempuan yang bercinta, jatuh maruahnya  pada pandangan lelaki?
Tentu. Mana ada orang lelaki yang normal suka pada barang yang second hand sedangkan barang yang baru masih ada. Sesetengah mereka menggambarkan perempuan seperti kereta yang diletakkan di show room sahaja: Display only. Tapi ada yang boleh test drive. Ada pula yang kata: sekadar sepingan mee goring dan segelas sirap bandung, bawalah ke hulu, ke hilir. Sedihkan? Itulah hakikatnya…….
 
Masih adakah orang yang tidak bercinta di zaman ini?
Ya, masih ada orang yang suci dalam debu. Golongan ini akan sentiasa ada walaupun jumlah mereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti. Mereka ada pasangannya. Firman Allah : “Dan orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang perempuan yang memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya daripada melakukan zina)….Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar”. (al-Ahzab:35)
 
Bagaimana kami?
Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Berdoalah serta mohon keampunan dari-Nya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redha-Nya.
 
Kami ingin mendapat reda Allah. Tunjukkanlah bagaimana taubat nasuha?
Taubat yang murni. Taubat yang sebenar-benarnya. Taubat yang memenuhi tiga syarat :
 
1-Tinggallah perbuatan maksiat. Putuskan hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini.
2-Menyesal. Menginsafi diri di atas tindak tanduk hidup yang menjurus diri dalam percintaan (ini).
3-Berazam. Bertekad didalam hati tidak akan bercinta lagi dengan sesiapa kecuali dengan seorang yang bernama isteri atau suami. Saatnya adalah selepas ijab Kabul.

Ya Allah. Hambamu telah tersesat jalan. Ampunilah dosa-dosa hambamu ini. Sesungguhnya engkau maha penganpum dan penerima taubat. Berilah kekuatan kepadaku untuk menghadapi godaan keremajaan ini. Anugerahkan kepadaku benci kepada maksiat. Hiasilah diriku dengan akhlak yang mulia.   Ibu dan ayah, anakmu berdosa. Engkau jaga diriku sedari kecil dengan kasih sayang. Mengapa ku curahkan kasih itu kepada orang lain. Oh tuhanku, hambamu berdosa…….
 
Amin, Ya Rabb. Semoga Allah menerima taubatmu.
 
Kita berpisah kerana Allah. Kalau ada jodoh, tidak kemana!
Ya Allah bantulah mereka. Kini mereka datang kepintu-Mu mencari reda-Mu. Terimalah taubat mereka, amien.
Disusun semula oleh al-Quraisy

*Sumber dari halaqah.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan