Home Klik Di Bawah

Ahad, 16 Mac 2014

Musibah itu Sebenarnya Allah Turunkan Untuk Mendidik Hati Kita

musibah
Musibah yang mendidik hati | bokeh bubbles by JeanFan
Ramai orang tidak terkesan di hatinya dengan mujahadah. Tetapi terkesan dengan musibah.
Kata-kata itu adalah daripada Ustaz Pahrol Mohd Juoi.

Salah seorang ustaz yang kata-katanya acap kali menikam pedih hati saya. Suka mendengar bicara tazkirahnya yang sedikit sebanyak mengalir di hati dan jiwa saya.

Bagaikan dinginnya air sungai di pagi hari, menyirami hati yang kelam dan usang. Membawa saya bermujahadah dan muhasabah diri.



Alhamdulillah. Semoga Allah redha dan memudahkan laluan kita semua pada jalan kebaikan.

Ya. Kadang-kadang bila pergi usrah, hadiri ceramah agama dan pelbagai majlis ilmu, kesannya tidak begitu kuat mengetuk pintu keinsafan dalam diri.

Umpama tangan mengetuk pintu, terlalu perlahan.

Maka rasa kesedaran itu tidak dalam jangka panjang. Menganggap majlis-majlis usrah hanya sebagai aktiviti keagaaman.

Apabila ditimpa musibah, kesannya lebih mendalam. 

Menikam sehingga ke ulu hati. Tusukan yang lebih dalam dan luka yang berganda sakitnya.

Musibah itu selalunya membawa kita kepada dua jalan. Sememangnya kehidupan ini hanya ada dua jalan sahaja. Jalan kebaikan dan jalan yang serong.

Musibah yang kita anggap ketidakdilkan, tentu akan membawa kita pada jalan yang serong.

Berpaling daripada jalan agama. Maka teruslah tersesat tanpa memikirkan bahawa ujian adalah lambang kasih sayang Pencipta kepada hamba.

Musibah itu seolah pintu yang ditendang dengan kuatnya.

Bukan sahaja terbuka pintu, tetapi terus tercabut dan terbalik. Musibah yang membuatkan diri tersungkur. Berasa hilang dan kosong semuanya.

Tiada dahan untuk berpaut saat kita benar-benar memerlukan pergantungan.

Lalu siapa yang boleh membantu kita pada tika itu? 

Mengadulah pada emak dan ayah.

Luahkan kepada sahabat.

Tetapi rasa terluka itu hanya sembuh dalam masa yang sekejap. Bila sendirian, kesakitan itu kembali melilit diri. Air mata berderai dengan lajunya.

          “Ya Allah, kasihanilah aku. Bantulah aku. Beri aku kekuatan, Tuhan.”

Itulah yang benar-benar luahan pertolongan kita.

Penuh ikhlas. Luhur. Benar-benar sepenuh pengharapan. Keyakinan kita hanya kepada DIA.

Lalu berzikirlah kita. Menyebut semua ayat-ayatNYA. Dengan satu harapan, hati yang terluka pedihnya dapat dipulihkan. Perasaan yang serabut akan tenang.

Semoga kesakitan yang dihadapi ini berlalu pergi. Demi sebuah tenang dan damai, kita sanggup bangun pada hening awal pagi. Berwuduk dan tunaikan solat sunat.

Demi membeli tenang dan damai daripada Pencipta. Hanya DIA yang boleh membantu kita.

Hanya DIA.

Bermula dari musibah, kita mula bermuhasabah.

Kita tahu jalan yang kita lalui selama ini salah.

Selama ini kita hanyut. Mula berazam tidak mahu ulangi lagi kebodohan yang sama. Memilih meninggalkan jalan hitam, bermakna kita mendekat jalan yang putih.

Mahu merubah diri menjadi lebih baik. Mahu berhijrah. Kita mula merubah diri.

Bermulanya dengan penampilan yang baru. Tampil dengan imej muslimah yang benar-benar menepati tuntutan agama.

Sebelum ini kita rasai pakaian kita sudah elok. Kita bertudung walaupun agak jarang dan tidak terlalu labuh. Dengan pelbagai gaya. Kita selesa dengan jeans dan baju yang fesyennya pelbagai.

Tetapi bila hati diketuk kesedaran, kita jadi sangat malu dengan pakaian yang  disarungkan selama ini. Pakaian yang belum menepati piawaian wanita muslimah.

Lebih malu lagi dengan wajah yang diconteng-conteng. Sudah serupa burung rajawali rupanya. 

Wajah yang dirias sederhana itu lebih cantik sebenarnya.

Kerana wajah kurniaan Allah itu ada kecantikan yang tersendiri.

Juga amat memalukan, mengenangkan kita keluar berduaan dengan bukan muhrim. 

Tidak bersentuh mahupun pegang-pegang, tetapi Allah mengharamkan ikhtilat.

Allahurabbi. Menggunungnya dosa kita selama ini.

Jika dosa boleh berbau, barangkali diri kita lebih busuk daripada tong sampah yang bertahun terperap. Penuh hanyir dan memualkan.

Betapa selama ini, sebelah kaki kita sudah melangkah ke rahang neraka. Nauzubillahiminzalik.

Musibah itu didikan hati.

Lalu kita tanamkan dalam diri, mahu jadi hambaNya yang lebih baik. Mohon agar hati ini tidak ditawan jika hanya sekadar suka-suka.

Mula rasakan ikhtilat itu bagaikan bara. Boleh melecur leburkan diri kita walau apapun alasannya.
Bila hati dilimpahi nur Ilahi, kita suka pada kebaikan.

Pada majlis ilmu. Mahu berbicara hal-hal kebaikan. Tentang agama Islam yang sarat dengan kemanisan, apabila kita hayatinya dengan keimanan dan rasa kehambaan.

Quran yang selama ini kita abaikan, mula menjadi teman yang paling akrab. Kita rasa lapang dada apabila mengalunkan ayat-ayat Allah.

Diri juga ringan mahu bangun bertahajud dan beribadah pada hening pagi. Ibadah pada awal pagi yang buatkan kita rasa cukup tenang. Rasa dekat dengan Allah saat kita berdoa dan memohon keampunan daripadaNya.

Lapang yang dirasai akhirnya membawa kita berfikir, bahawa musibah itu satu rahmat. Teguran yang membawa kita jadi lebih baik.

Maha suci Allah. Dihilangkan mentari, digantikan pelangi yang indah. Subhanallah.

Semoga kita istiqamah dengan perubahan ini. Bukan sekerat jalan. Biarlah sehingga kita dijemputNya, rasa kehambaan ini yang kita bawa..

Insya Allah.
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menjaga pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menjaga pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. (An-Nur:30-31)
******
Artikel adalah perkongsian daripada sahabat kita Fatin Nabila ke inbox kami. Semoga memberi manfaat kepada kita semua, InsyaaAllah =)
 http://akuislam.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan