Home Klik Di Bawah

Rabu, 16 April 2014

Siapa Yang Akan Kita Tipu ?



Orang yang berdosa ialah orang yang bersalah. Orang bersalah perlu di adili di mahkamah. Mahkamah pengadilan itu ada tiga:
 
 


Pertama:

Mahkamah dunia yang mana saksi, pendakwa dan hakimnya ialah manusia. Acap kali dengan kebijaksanaan dan kelicikan, mahkamah dunia di perdaya. Justeru sering kali yang bersalah terlepas, sebaiknya yang benar pula terhukum. Lalu, masyhurlah kata orang yang bijaksana bahawa tidak ada keadilan yang mutlak didunia ini.


Kedua:

Mahkamah Akhirat yang hakimnya ialah Allah Yang Maha Adil. Di sana nanti, yang benar pasti menang, yang salah pasti kalah. Akan ketara segalanya walau sepandai mana sekalaipun bersilat kata. Saksi dan bukti sangat autentik dan tidak dapat dipertikaikan lagi. apa yang ada pada diri akan ‘hidup’ untuk menjadi saksi dan pendakwa. Kulit, tangan, kaki dan segala anggota akan menjadi saksi.


Ketiga:

Mahkamah Hati. Saksi, pendakwa dan hakimnya ialah hati sendiri. Hati kecil yang sentiasa berkata benar walau cuba dinafikan dan dipendamkan oleh tuannya sendiri. Protes hati kecil ini terhadap perlakuan dosa sentiasa bergema dalam rahsia. Fitrahnya akan menjerit. Itulah jeritan batin yang mampu menghantar pemiliknya kelembah sakit jiwa yang menyesakkan.

Ya, dosa boleh disembunyikan dan dinafikan dihadapan manusia, tetapi mana mungkin disembunyikan daripada Allah s.w.t. dan diri sendiri. Jadi, bagaimana kita boleh menafikan kesalahan dan dosa apabila di adili oleh mahkamah hati sendiri? Setiap masa, setiap ketika dan pada setiap suasana, hati kecil akan bersuara, ia tidak tega dengan kesalahan, ia tidak rela dengan kemungkaran.

Dosa itu sangat memberi kesan kepada hati. Apabila kita berdosa hakikatnya kita melakukan dua ‘perlanggaran’. Pertama, perlanggaran atas fitrah hati yang secara tabiinya bersifat baik. Kedua, perlanggaran terhadap hak Allah, Zat Yang Maha Tinggi. Dua perlanggaran ini sudah cukup meragut ketenangan.

Jangan dilawan fitrah hati yang menyukai kebaikan dan membenci kejahatan. Fitrah ini kurniaan Allah, yang dengannya manusia boleh menerima pengajaran dan didikan. Jika fitrah yang suka akan kebaikan itu subur, dididik dan dipimpin, maka jalan hidup akan harmoni dan bahagia. Sebaliknya, jika fitrah yang baik itu di abaikan apatah lagi dinafikan, tunggulah penderitaan dan kesempitan!

Rasulullah s.a.w. sangat arif tentang hakikat ini. Justeru , apabila beliau ditanya,apakah itu dosa? Baginda s.a.w. menjawab: “Dosa ialah sesuatu yang menyebabkan hati kamu resah dan kamu tidak suka orang lain melihat kamu melakukannya.”

Oleh sebab itu, awaslah wahai setiap diri kerana dosa itu umpama racun. Bahananya akan merosakkan diri secara perlahan lahan atau mendadak. Nikmatnya hanya seketika sedangkan dosanya berkekalan dan akibat buruknya panjang.

Justeru, sering-seringlah bersidang di mahkamah hati. Selalulah bertanyakan hati kecil sendiri, apakah hidup kita diredhai? Berapa banyak dosa yang telah kita lakukan? Insya –Allah, hati itu tidak akan berdusta. Disamping Allah s.w.t. tahu siapa kita, kita sendiri juga tahu siapakah diri kita yang sebenarnya. Jadi, janganlah berpura pura. Siapa yang cuba kita tipu? Manusia? Allah? Atau diri kita sendiri?

kredit: rakangroup
blog tok wan


Tiada ulasan:

Catat Ulasan