Home Klik Di Bawah

Khamis, 10 April 2014

Tips- Memiliki 6 Ciri-ciri Seorang Jutawan

Menurut Dr Thomas Stanley melalui penyelidikannya di dalam buku 'The Millionaire’s Mind', untuk menjadi seorang jutawan, bukan saja memerlukan ciri-ciri seperti hebat berniaga, mengetahui segala teknik dan strategi berunding atau sempurna dalam membuat keputusan, tetapi juga ada ciri-ciri peribadi yang perlu dimiliki.

Adakah Anda Memiliki 6 Ciri-ciri Seorang Jutawan

Melalui penelitiannya terhadap beribuan jutawan, terdapat 6 ciri yang dimiliki golongan jutawan:


1. Bersikap jujur

Mereka yang bergelar jutawan lazimnya golongan yang terbabit dalam perniagaan atau mereka yang berpangkat tinggi dalam sesebuah syarikat. Tidak kira apapun jalan karier yang dipilih, ia pasti memerlukan sikap jujur dalam memenangi hati pelanggan dan orang sekeliling untuk mendapat sokongan.

Kepercayaan dan kredibiliti memainkan peranan yang amat penting dalam perjalanan menjadi seorang yang bebas masalah kewangan. Memang benar ada juga kes jutawan yang tidak jujur kita dengar di akhbar, televisyen atau online, tetapi itu bukanlah apa yang kita inginkan. Biar kaya harta dan tenang di jiwa.

2. Berdisiplin

Tidak dapat dinafikan amat penting mempunyai disiplin yang tinggi. Sikap menentukan kejayaan seseorang itu. Ia dikatakan seorang yang berjaya mendedikasikan 60 hingga 70 jam setiap minggu pada karier mereka.

Justeru kebiasaannya, golongan jutawan tiba paling awal di tempat kerja dan balik paling lewat.

3. Menyesuaikan diri dengan orang sekeliling

Untuk berjaya dalam kewangan, ia bukanlah atas usaha seorang diri. Sokongan orang sekeliling amat diperlukan sama ada bekerja atau berniaga. Seseorang yang berjaya dalam kewangan perlu mudah menyesuaikan diri dengan orang sekeliling untuk mendapat sokongan semua pihak.

Mereka perlu mudah didampingi dan sering membuat orang sekeliling selesa. Skil komunikasi amat penting dimiliki untuk berjaya.

4. Mempunyai pasangan hidup atau keluarga menyokong

Mempunyai pasangan hidup atau keluarga yang memberi sokongan padu pasti memberi semangat yang lebih tinggi kepada sesiapa saja. Sememangnya jalan mencapai bebas kewangan ada pelbagai rintangan, tidak kira dalam apa saja industri. Tidak kira betapa kuat semangat yang ada dalam diri sendiri, sokongan keluarga membuatkan semangat tidak luntur.

5. Skil pengurusan yang cekap

Bukan saja mengurus perniagaan, kerja dan pekerja, tetapi juga menguruskan diri sendiri dalam pelbagai aspek.

Pengurusan masa amat penting untuk mencapai segala matlamat dengan lebih efisien. Begitu juga mengurus dan membahagikan kerja kerana pastinya tidak semua kerja dapat diselesaikan seorang diri. Pengurusan juga membabitkan pengurusan keluarga untuk memberi persekitaran rumah yang lebih harmoni.

6. Menjaga kesihatan

Dengan mempunyai tubuh badan sihat, pasti diri lebih bersemangat dan bermotivasi. Sekiranya anda rasa kurang bermotivasi, rasa lemah badan, rasa cepat mengantuk atau hilang semangat, kadangkala ia bukan masalah kurang semangat dari segi motivasi diri. Tetapi kita kurang bersenam! Badan yang segar dan sihat akan meningkatkan motivasi kita. Oleh itu, untuk berjaya kewangan, perlu juga menjaga kesihatan.

Menjadi seorang yang bergelar jutawan bukanlah perkara mudah dan membabitkan pelbagai aspek perniagaan dan kehidupan. Jadikan 6 ciri ini sebagai langkah pertama anda untuk mencapai bebas masalah kewangan!

Pasangan tidak memberikan sokongan, apa yang harus anda lakukan?

Adakalanya terdapat juga keadaan apabila kita tidak mendapat sokongan keluarga atau orang tersayang. Pastinya ini menyukarkan lagi perjalanan, namun ia tidak mustahil sekiranya menjadikan keadaan sekeliling itu sebagai cabaran untuk diri sendiri terus berjaya.

Beberapa perkara perlu dilakukan, antaranya berkomunikasi dengan pasangan hidup sebaiknya. Jelaskan mengenai usaha dan impian anda serta cara untuk membantu keluarga.

Adakalanya, perlu membabitkan pasangan hidup dalam mengejar cita-cita supaya pasangan juga dapat merasakan mereka sebahagian daripada impian anda yang besar.

Berkomunikasi seharusnya dua hala, bukan saja berkongsi impian anda, tetapi juga perlu mengetahui matlamat dan impian pasangan. Mungkin matlamatnya berbeza dengan anda yang menyebabkan anda tiada sokongan.

Justeru, berkomunikasi supaya kedua-dua matlamat dan impian boleh dicapai bersama. Perlu diingat matlamat pasangan anda juga sama penting dengan matlamat anda.

Bertolak ansur melalui komunikasi supaya kedua-duanya saling menyokong usaha masing-masing.

Ada juga keadaan apabila seseorang itu tidak mendapat sokongan keluarga walaupun sudah berikhtiar untuk berkomunikasi dan bertolak ansur.

Sekiranya usaha yang ingin dilakukan diteruskan juga tanpa mendapat sokongan, apa kata jadikan itu sebagai cabaran untuk lebih berjaya dan menguatkan semangat diri.

Sering kali dalam keadaan tertekan, kita jadi lebih bersemangat dan berusaha untuk membuktikan kebolehan diri sendiri di mata keluarga.

Mana tahu apabila mendapat hasilnya, ia akan mengubahkan persepsi pasangan dan keluarga, dan ketika itu, anda akan juga mendapat sokongan mereka untuk pergi lebih jauh.
mymetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan