Home Klik Di Bawah

Ahad, 18 Mei 2014

Info - Jangkitan kulit impetigo

Sesiapa yang ada tabiat buruk tidak mencuci tangan selepas menyentuh, me­ngorek atau menggosok hidung, eloklah mengubah perlakuan itu.

Ini kerana kita mungkin pembawa bakteria staphylococcus aureus dan streptococcus pneumoniae yang boleh menyebab­kan jangkitan kulit dikenali sebagai impetigo.

Kedua-dua bakteria itu menghuni dalam hidung kita tanpa disedari. Bakteria itu ha­nya bertindak apabila ia keluar dari hidung melalui lelehan air hidung seperti hingus ketika sele­sema dan memasuki kulit yang terluka atau ada rekahan.

Lebih buruk, jangkitan kulit impetigo juga boleh menular dan menjangkiti orang lain menerusi sentuhan atau berkongsi bara­ngan, pakaian dan tempat tidur dengan pesakit.

Foto 

 
 

Perunding Dermatologi Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL), Dr Nazirin Ariffin berkata, impetigo adalah jangkitan bakteria pada permukaan kulit (epidermis) dan gejalanya dapat dilihat apabila bahagian kulit yang dijangkiti ditumbuhi lepuhan atau gelembung kecil berisi nanah.

Bahagian kulit dijangkiti akan kemerahan, berkerak dan gatal-gatal. Apabila lepuhan pecah, ia akan kering dan membentuk keruping berwarna kuning keperangan.

“Impetigo boleh dijangkiti oleh sesiapa saja, tetapi lebih kerap di­alami bayi dan kanak-kanak kerana pada usia berkenaan sistem imun mereka belum matang.

“Biasanya, impetigo akan terbit di kawasan hidung dan mulut tetapi boleh berjangkit ke bahagian tubuh lain selepas menyentuh atau menggaru kawasan dijangkiti.

“Orang lain mendapat jangkitan apabila mereka bersentuhan dengan individu dijangkiti seperti bersukan yang memerlukan sentuhan secara langsung atau menggunakan barangan digunakan individu yang dijangkiti seperti baju, cadar, tuala dan alat permainan,” katanya.

Selain bakteria masuk melalui luka, seseorang mudah dijangkiti impetigo jika kulitnya mengalami masalah kulit lain seperti ekzema dan gigitan serangga.

Bayi dan kanak-kanak mendapat jangkitan kulit impetigo ketika berada di pusat jagaan harian akibat berkongsi alat permainan.

Jangkitan kulit impetigo tumbuh dalam bentuk sama ada lepuhan bernanah (bullous impetigo) atau keruping saja (non-bullous impetigo). Lepuhan bernanah melepaskan toksin yang mencetuskan lebih banyak lepuhan lain.

Dr Nazirin berkata, jangkitan penyakit ini biasanya ringan dan tidak serius serta boleh dirawat hanya dengan menyapu atau makan ubat antibiotik dengan arahan doktor. Jangkitan yang dirawat awal juga boleh sembuh dalam tempoh seminggu.

“Bagaimanapun, impetigo yang tidak dirawat menyebab­kan jangkitan lebih serius apabila bakteria mula memasuki lapisan kedua kulit (dermis).

“Pada peringkat ini, jangkitan dikenali sebagai ecthyma dan penghidap akan berasa sakit dan sangat gatal di bahagian yang dijangkiti.

“Kulit membengkak dan tumbuh benjolan, malah keruping juga semakin tebal. Nodus limfa yang berdekatan juga akan membengkak. Kawasan yang dijangkiti boleh meninggalkan parut hodoh.

“Jika ecthyma tidak dirawat, bakteria seterusnya boleh me­nembusi lapisan kulit ketiga iaitu tisu subcutaneous atau tisu yang berlemak dan menyebabkan radang dikenali sebagai cellulitis,” katanya.

Permukaan bawah kulit yang dijangkiti cellulitis akan membengkak dan kemerah-merahan, malah pesakit juga akan menderita kesakitan yang berdenyut-denyut. Jika tidak dirawat, jang­kitan akan bertambah serius dan pesakit akan demam.

“Jangkitan yang merebak boleh mengancam nyawa apabila bakteria memasuki darah (septisemia) dan pesakit perlu dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

“Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal untuk diagnosis jangkitan kulit ini walaupun kadangkala ujian mengoles me­ngambil sampel dilakukan sebelum memberi antibiotik,” katanya.
mymetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan