Home Klik Di Bawah

Khamis, 22 Mei 2014

Petua Kurangkan Gula Dalam Darah

Petua Kurangkan Gula Dalam Darah  

Petua Kurangkan Gula Dalam Darah | Realitinya tidak ramai mampu melakukannya lantaran teruja dengan makanan menyelerakan serta nafsu makan yang sukar dikekang. Apatah lagi apabila melihat ahli keluarga makan dengan enaknya tanpa menghiraukan pesakit yang berpantang.

Apabila kita menjaga pesakit kencing manis atau ada dalam keluarga menghidap penyakit ini, zalim sekiranya kita mengharapkan hanya dia seorang berpantang sedang­kan kita enaknya menjamah makanan di hadapan mereka. Ini kerana berpantang bagi pesakit diabetes paling sukar diamalkan berbanding pantang yang lain.
 
 


Bagi pesakit diabetes, pengambilan makanan faktor penting bagi mengawal tahap gula dalam darah. Ini kerana kencing manis terjadi akibat daripada kelemahan tubuh mencerna karbohidrat. Dalam proses metabolisme, karbohidrat diproses menjadi gula (glukos) dan ditukarkan kepada tenaga.

Bagaimanapun, tidak semua glukos menjadi tenaga. Bagi penyakit kencing manis, insulin berfungsi mengawal kadar lebihan gula dalam darah ini tidak berfungsi dengan baik. Ini menyebabkan berlakunya pengumpulan gula yang menghasilkan keadaan hyperglycaemia dan menyebabkan terdapatnya gula dalam air kencing.

Oleh sebab itu, pesakit diabetes dinasihatkan pakar pemakanan mengurangkan gula dan lemak atau berpantang manis, mengurangkan karbohidrat dan melebihkan lemak sehingga ada antara pesakit tidak mampu berpantang disebabkan semua makanan mereka makan tiada ‘rasa’.

Menurut pakar pemakanan, Tan Sue Yee, makanan berkhasiat yang rendah kandungan gula juga sedap rasanya. Malah dengan kreativiti dan pengetahuan mengenai bahan digunakan serta mengubahsuainya, pesakit mampu menikmati hidangan enak sama seperti mereka yang lain.

Bercakap ketika majlis pelancaran Raikan - Buku Masakan Gaya Hidup dengan kerjasama MSD dan Persatuan Diabetes Malaysia (PDM), Tan memberitahu selama ini pesakit banyak diberikan makanan yang kurang menyelerakan pada hal banyak makanan yang boleh dimakan dengan cara menukar bahan digunakan mengikut piramid makanan seimbang.

“Pengawalan pengambilan diet salah satu faktor penting di dalam pengawalan tahap gula dalam darah. Ini bermakna diet hendaklah seimbang sepanjang hari dan hendaklah konsisten hari demi hari.

“Diet diabetes adalah diet yang sihat dan sesuai diikuti semua orang. Bagi pesakit diabetes, mereka perlu berhati-hati dalam pemilihan makanan kerana jenis makanan dimakan sangat mempengaruhi paras gula dalam darah,” katanya.

Tambahnya, ramai tidak tahu dan mengambil mudah rawatan diet sedangkan diet diabetes sangat penting untuk mengawal paras glukos serta mencegah kehilangan glukos di dalam air kencing. Selain itu, pengambilan makanan seimbang mampu mengekalkan berat badan bersesuaian dengan ketinggian dan umur, mengekalkan kalori mencukupi bagi melakukan aktiviti harian dan paling penting, melambatkan atau mengelakkan komplikasi diabetes seperti dipotong kaki.

Dalam hal ini, pesakit perlu memahami tiga perkara penting iaitu apa yang hendak dimakan, waktu makan serta jumlah makanan bagi memberikan kesan positif dan berpanjangan. Terdapat tiga kumpulan makanan untuk pesakit diabetes iaitu makanan perlu dielakkan, makanan perlu dihadkan serta makanan yang bebas dimakan.


Makanan yang perlu ­dielakkan
Ini bukan saja terhad kepada gula tebu, gula kastor, gula melaka dan madu tetapi termasuk sebarang gula tersembunyi yang terdapat dalam produk makanan dibungkus. Pesakit harus membaca kandungan bahan disenaraikan pada label produk dan awasi sebarang bahan berasaskan gula seperti maltosa, sukrosa dan fruktosa selain gula yang terdapat dalam sos dan kicap.

Ini kerana, makanan atau minuman mengandungi gula ­ringkas akan meningkatkan tahap gula di dalam darah ­dengan kadar cepat. Ini termasuk gula pasir, gula merah, gula melaka, gula batu, gula-gula, sirap, jeruk, halwa, kuih-muih manis, susu pekat manis, buah-buahan dalam tin, minuman ringan, coklat, jem (kecuali jem untuk diabetes) dan semua makanan bersalut gula.


Makanan yang perlu ­dihadkan
Makanan mengandungi karbohidrat kompleks boleh diambil dalam jumlah sederhana.
Ini kerana makanan ini akan dicerna dan diserap perlahan-lahan dan dengan ini tidak menyebabkan peningkatan paras gula dalam darah secara mendadak. Oleh itu, pengambilan makanan dalam kumpulan ini harus diagihkan sepanjang hari, bukannya dimakan sekali gus dengan banyak.

Antaranya nasi, bijirin, biskut, kekacang, susu, pasta, semua jenis mi, semua jenis tepung, semua jenis ubi, buah-buahan dan jus serta sayuran berkanji seperti labu, jagung dan serbuk coklat.


Makanan bebas dimakan
Ini termasuk air kosong, air mineral, kopi dan teh, air barli, jus limau nipis, sayur-sayuran, ulam-ulaman, cuka, sup, serbuk rempah, serbuk cili, herba, kicap, sos dan garam.

Serat pula boleh didapati dalam bentuk larut (yang larut dalam air - membantu penyerapan nutrien) dan serat tidak larut (tidak dapat dihadam sistem pencernaan namun membantu mengelakkan sembelit).

Serat tidak larut boleh diambil dalam usaha mengurangkan berat badan kerana ia memberikan kekenyangan. Pengambilan serat larut membantu melambatkan penyerapan gula dan kolesterol ke dalam aliran darah.

Contoh makanan mengandungi serat termasuk sayur-sayuran, ulam-ulaman, buah-buahan, kekacang, bijirin, bijirin sarapan pagi, jagung dan pasta. Protein pula boleh didapati daripada sumber bijirin (roti, beras, pasta, tepung dan soya) atau daripada sumber haiwan (daging, ikan, telur, ayam dan produk tenusu). Ini perlu diberi perhatian dalam merancang pengambilan diet harian anda.

Selain menjaga pemakanan, penghidap diabetes juga digalakkan melakukan senaman ringan setiap hari seperti berjoging, berjalan kaki, turun naik tangga atau berkebun yang membantu mengurangkan kandungan gula dalam darah. Selain itu, mereka perlu sentiasa mengawal kandungan gula sama ada memeriksa sendiri atau mendapatkan nasihat di hospital berhampiran.

Bagi Setiausaha Agung PDM, Datuk Rahimah Ahmad, menjaga pemakanan serta melakukan senaman ringan setiap hari adalah kunci kesihatan serta kejayaan bagaimana dia boleh menguruskan diabetes dengan baik. Sebagai penghidap diabetes sejak berusia 37 tahun, dia sentiasa berdisiplin bagi memastikan hanya mengambil makanan dibenarkan saja.

“Makanan adalah kelemahan bagi pesakit diabetes namun untuk kekal sihat, saya terpaksa berpantang daripada mengambil makanan manis dan tinggi karbohidrat dengan cara berbeza,” katanya berusia 62 tahun.

Menurut Rahimah, setiap pesakit harus memeriksa tahap gula dalam darah bagi memastikan mereka dapat menyeimbangkan makanan yang diambil setiap hari.

Apa yang penting teknik ­menguruskan diabetes ­sehingga tidak menjadi lebih kronik.

Pelancaran buku Raikan-Buku Masakan Gaya Hidup adalah khusus untuk pesakit diabetes jenis 2 di bawah kempen Hidup Sihat Dengan Diabetes. Buku resipi ini mengandungi 12 resipi lazat dan berkhasiat berdasarkan pelbagai perayaan di Malaysia seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas sama ada nasi, ­lauk-pauk serta pencuci mulut yang direka khas oleh Chef Amy Beh dengan kandungan pemakanan dikawal oleh Tan Sue Yee.

Majlis pelancaran turut diserikan dengan acara masakan daripada Chef Amy yang menunjukkan teknik memasak kari sayur dan salad sayur segar yang pastinya menggamit selera ramai.

Menurut Amy, cara memasak yang pelbagai sangat penting supaya hidangan yang ­dihasilkan bukan saja berkhasiat bagi pesakit diabetes tetapi juga bagi mereka yang sihat.

“Rakyat Malaysia sinonim dengan makanan bergoreng. Walaupun makanan bergoreng boleh dimakan sekali sekala, mentega dan minyak diguna­kan untuk menggoreng tidak berkhasiat.

“Justeru, gunakan kaedah mengukus atau memanggang tidak menggunakan minyak selain mengekalkan aroma dan perisa semula jadi ikan,” jelasnya.

Bagi penggemar nasi lemak, mereka boleh menukar santan kepada susu soya untuk lebih berkhasiat, mungkin rasanya sedikit berbeza namun pesakit masih mampu menikmati hidangan dengan cara berbeza.

Pengarah Urusan MSD, Ewe Kheng Huat, menjelaskan 1,000 naskhah buku masakan ini akan disediakan secara percuma di beberapa pusat diabetes dan hospital seluruh negara.

“Kami berharap rakyat Malaysia akan menggunakan peluang ini dengan mengambil naskhah daripada pusat kesihatan terdekat. Senarai lengkap pusat yang turut serta boleh didapati menerusi laman sesawang Persatuan Diabetes Malaysia iaitu www.diabetes.org.my,” katanya - myMetro
: http://rossacalla.blogspot

Tiada ulasan:

Catat Ulasan