Home Klik Di Bawah

Khamis, 15 Mei 2014

Suburkan budaya bertanya

 
DALAM banyak-banyak sahabat Nabi Muhammad SAW, nama Abdullah bin Abbas selalu muncul dalam sebutan baginda. Beliau memang tokoh sahabat yang sangat cerdas dan luas ilmunya. Majlis ilmu beliau selalu dipenuhi ramai penuntut. 

Berkata Ata bin Abi Rabah: “Aku tidak pernah melihat majlis ilmu yang lebih mulia, penuh ilmu dan berwibawa seperti majlis Ibnu Abbas. Ahli Quran, ahli bahasa dan ahli sastera datang untuk bertanya kepadanya. Setiap soalan mereka, selalu dijawab dengan memuaskan."

Oleh kerana kebijakan Ibnu Abbas, Khalifah Umar bin Al-Khattab menjadikan beliau salah seorang penasihatnya. Setiap kali menghadapi masalah berat, Umar selalu meminta nasihat daripada Ibnu Abbas. 


Demikian keluasan ilmu Ibnu Abbas. Keistimewaan ini lahir kerana pelbagai sifat mulia yang terdapat dalam jiwanya. Salah satunya ialah sifat suka bertanya. 

Umar bin Al-Khattab pernah pernah berkata: “Ibnu Abbas seorang pemuda yang matang. Ia memiliki lisan yang rajin bertanya dan hati yang cerdas." 

Sebuah ubat

Kejahilan ialah satu penyakit dan ubatnya ialah ilmu. Ilmu tidak dapat diperoleh melainkan rajin bertanya kepada yang ahli. Seseorang yang tidak tahu, namun enggan bertanya ibarat seorang pesakit yang malu meminta ubat. Orang seperti ini, ia akan terus sakit dan tidak pernah sembuh.

Hasan Al-Basri berkata: “Pertanyaan adalah setengah ilmu." Berkata Abu Sulaiman Al-Ghanawi: “Tanyalah kepada orang pandai, maka engkau akan menjadi pandai sepertinya."

Kaedah tersebut telah diamalkan Ibnu Abbas sejak kecil. Beliau sangat rajin bertanya kepada Nabi SAW tentang pelbagai persoalan. Selepas baginda wafat, beliau seringkali mendatangi para sahabat yang lebih tua daripadanya untuk bertanyakan perkara yang beliau tidak ketahui. 

Ibnu Abbas bercerita: “Seringkali aku bertanya kepada 30 orang sahabat Nabi tentang satu perkara yang sama."

Pertanyaan mencerminkan sikap proaktif. Sifat ini sangat baik untuk melatih sifat kritis dalam diri. Pelajar yang rajin bertanya biasanya lebih cerdas berbanding pelajar yang pasif dan suka berdiam diri.

Ibu bapa dan guru

Pada masa yang sama, realiti ini mesti selalu berada dalam kefahaman ibu bapa dan guru. 

Kanak-kanak secara semula jadi memiliki sifat ingin tahu yang tinggi. Sifat ini sangat penting untuk perkembangan kognitif dan intelektual mereka. 

Justeru, ibu bapa dan guru mesti mesti sabar melayan sikap kanak-kanak yang sangat suka bertanya.
Seorang ibu, bapa dan pendidik yang baik tidak akan memarahi anak dan murid yang tidak faham. Mereka juga tidak menghindar atau menutup diri daripada soalan. 

Sebaliknya, mereka sepatutnya bergembira menerima soalan. Sebab perkara itu menunjukkan minat anak tersebut kepada ilmu. Tugasan guru ialah memupuk minat tersebut agar terus berkembang, bukan membunuhnya. 

Umat Islam memerlukan pemimpin masa depan yang kritis dan kreatif. Dan itu bermula dengan menyuburkan sifat suka bertanya dalam kalangan kanak-kanak Muslim.
bicara agama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan