Home Klik Di Bawah

Khamis, 17 Julai 2014

Sifat Pelik Pada Manusia

Sedang saya beratur untuk membayar sarapan di sebuah restoran, saya terlihat sebuah papan promosi sebuah produk yang dihias dengan sangat elegan sekali.

Sekali imbas kelihatan ia seakan suatu produk yang hanya mampu dibeli oleh orang yang mempunyai citarasa tinggi sahaja.  Diletakkan papan iklan produk tersebut di tengah-tengah supaya setiap yang beratur untuk membayar di kaunter akan dapat melihatnya.  Misinya adalah untuk menarik perhatian supaya manusia membeli.

Apabila ditenung-tenung pada produk tersebut, kelihatan grafik yang mengerikan terhias pada kotaknya.

Saya lalu mengalih pandangan melihat pula pada kotak-kotak yang lain tetapi dengan jenama yang berbeza.  Bermacam-macam jenama tersusun di atas rak berdekatan kaunter.  Pun sama juga.  Berderet dengan grafik-grafik yang mengerikan.  Kali ini lebih bervariasi gambarnya.

Mesejnya sama iaitu untuk memberi amaran kepada si pembeli bahawa menggunakan produk tersebut bakal mendatangkan bahaya kepada si pengguna.



Ya, itulah penangan rokok!

Walaupun ditampal grafik yang menggerunkan dengan tujuan memberi peringatan dan amaran, namun tetap ada pembeli setia terhadap produk membunuh ini.  Tetap ada yang sanggup mengambil risiko.  Walaupun jelas amaran telah diberikan!

Sifat Pelik

Ya, itulah sifat pelik pada manusia.

Walaupun telah maklum akan bahaya dan risiko yang bakal terkena pada diri, namun manusia tetap melakukannya juga.  Itulah sifat yang ada pada saya dan kita semua.  Pelik tapi benar.  Pelik tapi susah mahu dihindar.

Azab Api Neraka yang disediakan oleh ALLAH juga begitu.

Walaupun sudah jelas disampaikan melalui Al-Quran bahawa ALLAH akan membalas dengan seksaan berat buat sesiapa yang engkar.  Walaupun sudah dinyatakan melalui hadith-hadith Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam akan dahsyatnya seksaan ALLAH.  Dan walaupun selalu diperingatkan oleh para ulama, guru, ibubapa dan para pendakwah akan peri seksanya balasan yang bakal menimpa kepada manusia-manusia yang melanggar perintah ALLAH.  Namun malang, kita tetap juga setia melakukan kejahatan dan kemaksiatan.  Sungguh bahaya tindakan kita ini!

Saban waktu kita diingatkan dan diberi amaran tentang bahaya melanggar perintah ALLAH.  Namun sifat degil, tidak percaya dan tidak mengambil berat akan amaran-amaran itu telah menjadikan kita manusia yang terabai.  Terabai dari melaksanakan apa yang ALLAH suruh, dan menjauhi apa yang ALLAH larang.  Perbuatan ini akhirnya nanti pasti akan membinasakan kita.  Kitalah yang rugi.  Kitalah yang menyesal.

Sudah tahu bahaya, tapi masih buat lagi.  Celakalah kita nanti!

Justeru, amaran dan peringatan yang sampai kepada kita mestilah kita ambil perhatian terhadapnya.  Bukan setakat ambil perhatian, bahkan yang lebih berhasil ialah kita mesti ambil tindakan menjauhi bahaya yang telah diingatkan itu.  Ambil tindakan untuk menjauhinya sejauh-jauhnya.  Supaya kita selamat dan beruntung.

Kepada ALLAH lah kita pinta akan hidayah dan taufiqNYA agar masyarakat kita dapat mencabut tabiat merokok yang telah disentuh di awal tulisan ini.  Dan yang lebih utama dari itu ialah supaya tercabut tabiat pelik kita yang masih berani buat maksiat, dosa dan kejahatan walaupun amaran demi amaran telah sampai kepada kita, amin…
- muzir.wordpress.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan