Pengenalan
Respon
di atas kadang kala kedengaran di hospital tempatan apabila doktor yang
merawat seorang kanak – kanak mengemukakan cadangan kepada ibubapa atau
penjaga mengenai keperluan untuk mendapatkan sampel air tulang
belakang. Walaupun kemodenan telah meresapi segenap aspek kehidupan
masyarakat kita, namun sesetengah persepsi agak sukar diubah mengenai
sesuatu perkara. Antaranya adalah prosedur mengambil air tulang belakang
atau ‘lumbar puncture’ (LP). Adalah diharap dengan artikel ini,
persoalan dan kekeliruan tentang prosedur tersebut dapat terlerai.
Apakah air tulang belakang?
Sebelum kita mengupas subjek ini, mari kita mengenali dahulu anatomi badan yang terbabit.
Otak dan
saraf tunjang merupakan organ yang ‘tersimpan’ dalam susunan yang
sangat rapi. Kedua duanya diselaputi sejenis tisu yang dipanggil
‘meninges’. Otak terletak di dalam struktur tengkorak yag utuh. Saraf
tunjang pula, rangkaian tisu yang bermula daripada bahagian bawah otak,
mengunjur kearah bawah badan di dalam perlindungan tulang belakang yang
dekenali sebagai tulang vertebra (vertebrae).Tulang belakang atau tulang
vertebra ini agak unik kerana ia tidak bersambung seperti sebatang
tiang contohnya, namun ia berupa ‘bongkah – bongkah’ kecil yang tersusun
rapi di atas satu sama lain. Tulang tulang vertebra ini bersambung
antara satu sama lain dengan struktur yang dikenali sebagai ‘spinal
disc’ yang memainkan peranan menyerap sebarang impak dalam manusia
menjalani aktiviti kehidupan seharian.
Otak dan
saraf tunjang ini sentiasa dibasahi cecair yang dikenali sebagai air
tulang belakang atau ‘Cerebrospinal Fluid ‘ (CSF). Air tulang belakang
atau CSF dihasilkan di dalam otak sepanjang masa. CSF yang dihasilkan
melalui sistem saluran khas di dalam otak turun membasahi rangkaian
saraf tunjang. Air yang terkumpul di bahagian bawah di sekitar saraf
tunjang tersebut akan diresap kembali untuk dikembalikan kepada otak di
mana proses penghasilan CSF ini bermula lagi. Antara fungsi CSF adalah
melindungi otak dan saraf tunjang daripada hentakan kepada dinding
tengkorak dan juga tulang vertebra yang keras.
Apakah prosedur ini sebenarnya?
Prosedur
‘lumbar puncture’ merupakan proses untuk mendapat akses kepada CSF atau
ruang dimana tersimpannya cecair tersebut. Setelah akses ini
diperolehi, pelbagai tujuan dapat dicapai bergantung kepada situasi
klinikal yang dihadapi. Seperti yang diterangkan di atas, bahagian otak
dan saraf tunjang tersimpan dalam keadaan yang sangat rapi. Ia adalah
sangat sukar bagi doktor yang merawat untuk melakukan evaluasi terhadap
sistem saraf tersebut apabila seseorang pesakit disyaki menghadapi
sebarang masalah berkaitan. Kelebihan memperolehi akses kepada CSF atau
‘ruang’ itu tadi , doktor dapat menjalankan evaluasi dan siasatan yang
lebih terperinci agar diagnosis yang tepat dan rawatan yang paling
sesuai dapat diberikan.
Source: www.cancerresearchuk.org
Mengapakah prosedur in dilakukan?
Dalam
pesakit kanak kanak, antara indikasi utama utntuk melakukan LP adalah
apabila anak itu disyaki menghidapi radang otak akibat draipada
jangkitan. Ini kerana ujian lain seperti sampel darah dan ujian ‘scan’
pada otak sahaja tidak memadai untuk mencapai diagnosis yang tepat.
Tambahan
pula, kadang kala kanak-kanak yang menghidapi jangkitan otak tidak
menunjukkan tanda- tanda ‘klasik’ atau biasa jangkitan tersebut. Ini
menyukarkan para doktor untuk membuat diagnosis.
Dengan
adanya CSF, analisis terperinci dapat dibuat agar rawatan yang diberikan
kepada pesakit adalah tepat dan terbaik. Sekiranya sampel ini tidak
diperolehi, rawatan akan diteruskan juga mengikut ‘bukti-bukti’ klinikal
yang sedia ada. Namun, kehadiran organisma yang menyebabkan jangkitan
tidak akan dapat dibuktikan. Kesukaran akan timbul sekiranya kanak-
kanak tersebut tidak menunjukkan tindak balas yang baik terhadap rawatan
awal. Ini akan merumitkan rawatan seterusnya kerana doktor tidak
mempunyai ‘bukti’ utuh untuk memandukan pelan rawatan ke atas pesakit.
‘Lumbar
puncture’ juga boleh dilakukan untuk memberi ubat – ubatan ataupun untuk
mengurangkan tekanan di dalam ruang otak dalam kes- kes terpilih.
Bagaimanakah prosedur ini dijalankan?
Prosedur
ini selalunya memakan masa dalam 20 hingga 30 minit. Bergantung kepada
keaadan pesakit, ubat pelali mungkin diberi ataupun tidak. Tiada
persiapan khas yang diperlukan untuk pesakit. Prosedur ini dilakukan
dalam keadaan steril dan menggunakan sebatang jarum khas.
Sebelum
itu, ubat untuk mengurangkan sakit akan diberikan dalam bentuk krim pada
kawasan tulang belakang. Ubat tahan sakit berbentuk suntikan kadang
kala diberikan bergantung kepada usia dan keadaan klinikal. Doktor akan
memilih kawasan yang hendak dicucuk iaitu di antara tulang-tulang
vertebra dan di kawasan yang jauh daripada rangkaian saraf tunjang.
Jarum ini kemudiannya dimasukkan ke kawasan yang telah dipilih. Air
tulang belakang akan keluar melalui jarum dan dikumpul untuk analisis.
Hanya beberapa titis shaja yang diperlukan untuk analisa.
Setelah
itu , jarum akan dikeluarkan dan kawasan tersebut akan ditutupi dengan
‘pressure dressing’ untuk beberapa ketika untuk memastikam tiada
pendarahan atau pembocoran air tulang belakang.
Apakah komplikasi yang boleh berlaku?
Dalam
kanak-kanak yang didapati sesuai untuk menjalani prosedur LP, komplikasi
yang boleh terjadi adalah perasaan sakit dibahagian yang dicucuk untuk
beberapa jam. Ada juga sesetengah anak -anak yang akan mengadu pening
kepala tetapi kedua-dua keadaan ini adalah sementara dan pesakit akan
dinasihatkan untuk baring atau berehat untuk beberapa jam dan juga untuk
meningkatkan pengambilan air.
Oleh
kerana tempat dimana jarum tersebut dimasukkan adalah jauh daripada
saraf tunjang, isu pesakit menjadi lumpuh tidak timbul. Tulang belakang
atau vertebra juga tidak dicederakan memandangkan kawasan yang dicucuk
adalah ‘ruang’ di antara tulang tersebut.
Air
tulang belakang yang diambil akan ‘diganti’ semula oleh otak kerana
seperti yang diterangkan, proses penghasilan CSF adalah suatu proses
yang berterusan.
Komplikasi
lain yang boleh timbul adalah radang atau jangkitan di kawasan yang
dicucuk tetapi ini sangat jarang berlaku kerana prosedur in dilakukan
dalam keadaan steril oleh doktor yang terlatih.
Source: www.diagnosisms.com
Adakah prosedur in selamat ?
Dalam
kes-kes yang telah ditentukan sesuai oleh Doktor yang merawat, prosedur
LP adalah satu prosedur yang selamat. LP sangat penting dalam membantu
penyiasatan penyakit berkaitan dengan otak dan saraf tunjang serta
penyakit-penyakit tertentu yang lain. Adalah normal untuk ibu bapa
merasa risau apabila doktor mengesyorkan prosedur tersebut dan staf yang
terlbat seharusnya sensitif dengan perasan ibubapa. Namun kedua-dua
pihak ibubapa dan doktor yang merawat bolehlah saling berbincang agar
sebarang keraguan dan persoalan dapat ditangani dengan cara yang
terbaik.
Dr. Alya
Hamzah merupakan pegawai perubatan paediatrik yang kini bertugas di
Sabah. Beliau amat mementingkan pendidikan pesakit dan keluarga pesakit
dalam memastikan rawatan yang diberikan adalah optimum. Kenali beliau
dengan lebih lanjut di laman The Team.
Rujukan:
http://www.childrenshospital.org/
http://kidshealth.org/
Tranungkite
Tiada ulasan:
Catat Ulasan