Home Klik Di Bawah

Isnin, 30 Mac 2015

CINTA DI TOLAK atau PUTUS CINTA?

Istilah ini sering kita dengari bukan? Ianya ibarat satu perkara normal dalam kehidupan ini. Setiap individu pasti punya cara tersendiri untuk melalui ketika mana cinta di tolak dan juga putus cinta. Adakalanya, kita merasakan terlalu sakit, down, sedih dan banyak lagi perasaan yang negatif ini. Saya juga seperti anda, pernah melalui saat-saat yang menyakitkan ini. Kadang-kadang, saya merasa seperti “mayat hidup”. Mencari-mencari bilakah waktu kesedihan ini akan sampai ke akhirnya?

Adakalanya seperti sudah tiada jalan penyelesaiannya. Ramai individu, rakan-rakan di sekeliling adakalanya memberi nasihat, namun kadang-kadang nasihat mereka mungkin menambahkan kesakitan luka di hati yang mana diibaratkan mencurahkan lagi cuka di atas tempat yang luka itu. Sakit bukan? Ya, saya juga seperti anda. Pernah melalui semua ini.

Jika hari ini anda merasakan semua itu, saya di sini ingin mengajak anda bangun bersama saya, berdiri dan melangkah meneruskan kehidupan ini. PUTUS CINTA? CINTA DI TOLAK? Itu bukanlah pengakhiran hidup kita. Inilah yang Allah hadiahkan untuk kita iaitu ujian. Kerana apa Dia anugerahkan semua ini?



KERANA DIA SAYANG PADA KITA, DIA INGIN KITA KEMBALI PADA-NYA, MENGADU KEPADA-NYA.

Cinta itu satu fitrah. Tidak ada siapa pun yang dapat menghalang hati kita ini untuk kita merasakan mencintai dan di cintai. Setiap individu pasti inginkan semua ini. Namun, dunia kini, ramai yang mewarnai cinta dengan perkara-perkara ilusi dan fantasi. Kebanyakan daripada kita, apabila bercinta pasti ingin berdating, bermesej, bergayut sehingga lewat malam di telefon. Dan adakalanya terpaksa berhabis duit untuk mereka yang kita cintai ini. Untuk memberi hadiah kepada orang yang dicintai ini tidak salah, tetapi yang dimaksudkan berhabis duit ini adalah apabila kerap kali keluar dating, SMS dan juga bercakap di telefon sepanjang hari. Bukan kah ini satu pembaziran? Inilah fenomena cinta masa kini.

Saat ini, detik ini, mari kita singkap kembali apa itu cinta pada kita? Adakah cinta itu apabila saling ambil berat, berduaan dan bermesra sebelum akad di lafazkan? Saya juga muhasabah diri tentang definisi cinta yang saya bawa sejak dulu. Namun kini saya sedar, sekiranya CINTA, pasti kita ingin orang yang saya cinta itu bersama saya berada di syurga, menuju ke syurga. Mustahil jika dapat kita nyatakan kita menyayangi dan mencintai insan tersebut, tetapi pada asasnya kita membawa dia atau menolak dia ke dalam api di mana api itu terlalu panas berbanding di dunia ini yakni neraka jahanam. Jadi di sinilah, kita harus perbetulkan istilah cinta yang kita bawa kerana cinta itu adalah sesuatu yang cukup suci. Jangan kotorkan cinta itu dengan sesuatu yang tidak baik.

Kemudian, apa perlu buat jika cinta di tolak atau putus cinta? Ambil alkohol? Merokok? Bunuh Diri?
Ya, putus cinta atau cinta di tolak itu sangat perit dan sakit. Saya sendiri merasakan semua itu. Apabila terbangun dari tidur, tidak lain dan tidak bukan hanya satu impian saya agar menjadikan kesakitan itu hanyalah mimpi. Namun, jika berbalik kepada definisi cipta yang baru sahaja kita cipta sebentar tadi, wajarkah seseorang perempuan atau lelaki yang ingin ke syurga itu perlu bersikap lemah? Sedangkan dalam ayat 2 surah al-ankabut, Allah menyatakan;
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedangkan mereka tidak di uji?
Jadi daripada apa yang ada dalam ayat itu, jelas lah kita akan di uji. Namun bagaimana untuk kita melalui ujian ini lah yang harus kita fikirkan. Saya juga insan yang lemah. Tetapi saat ini, kita harus sama-sama membina diri kita. Mungkin dengan putus cinta atau cinta di tolak ini, Allah ingin kita mendekatkan diri kepada-Nya dan meningkatkan iman kita. Dulu sebelum terjadi kesedihan ini mungkin kita jarang sekali baca Al-Quran, Solat Sunat Malam dan berjemaah di Surau. Oleh itu, ambil lah peluang ini untuk kita kembali kepada-Nya secara istiqomah. Walaupun tidak mampu melakukan ibadah itu dengan kadar yang lebih, lakukanlah yang termampu dan istiqomah. Kerana Allah swt lebih suka jika kita istiqomoh melakukan ibadah daripada melakukan secara berlebihan tetapi tiada istiqomah. Jadi, ini lah jalan utama untuk kita bina diri kita yang baru.

Seterusnya, carilah bahan bacaan yang dapat membina diri kita. Bukan hanya bahan bacaan mengenai cinta atau tips memperbetulkan hubungan cinta yang telah retak itu. Namun carilah sesuatu bahan yang boleh membuka minda kita tentang kasih sayang Allah kepada kita. Kadang-kadang apabila sesuatu bahan bacaan itu membuatkan kita bermotivasi dan bersemangat, bacalah ianya berulang kali kerana adakalanya diri kita ini kembali rebah dan bersedih.

Kemudian apabila kita kecewa seperti ini, kita pasti akan merasakan untuk menangis, meratapi dan bersedih. Ya, kerana saya pernah melalui semua ini. Persilakan untuk anda menangis dan sebagainya itu. Tapi, jangan pula berlarutan. Sibukkanlah diri kita dengan sesuatu yang bermanfaat seperti study, beriadah dan buatlah sesuatu yang mampu menenangkan hati. Jangan terus berada dalam lingkungan kesedihan dan kekecewaan. Sedih dan kecewa itu perkara biasa. Namun, apabila saya sedih, saya selalu ingat yang Allah bersama saya. Ya, Dia tidak hanya bersama saya, tapi juga bersama kita semua. Ingat, senjata utama seorang mukmin itu adalah doa. Justeru, perbanyakkan doa.

putus cinta 

Dan yang terpenting apabila kita kecewa atau sedih dengan keadaan putus cinta atau cinta di tolak ini, lepaskanlah semuanya. Jangan di fikir lagi tentang semua ini, teruskan kehidupan. Semua ini tak mudah. Kadang kala kita terfikir, siapa lagi yang nak kawin dengan aku?  Tapi, kita harus mencuba untuk kuatkan diri. Bagaimana? seperti yang saya katakan tadi, lepaskan semuanya, jangan difikir lagi dan teruskanlah kehidupan kita. Dan pada ketika ini, ada sesuatu yang harus kita pelajari iaitu “KEIKHLASAN”. Ya, ikhlaslah. Apabila kita ikhlas, kita pasti melakukan semua itu hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah. 

Tanamkan ini dalam hati kita, sematkan niat untuk ikhlas ini. Pasti, saya dan anda semua akan merasakan satu ketenangan. Jangan di fikir lagi, siapa yang salah dan siapa yang betul dalam hal ini. Jangan di fikir kenapa dia melakukan semua ini pada kita. Jangan difikir dengan siapa kita nak kawin dan adakah dia akan kembali lagi pada kita? Dia ini jodoh kita ke tak sebenarnya? Satu yang boleh saya katakan tentang setiap persoalan ini iaitu “sejauh mana pun kita fikir tentang semua ini, kita tidak akan menemui jawapannya”. Jika anda bertanya, Mengapa? Jawabnya pemikiran manusia ini terbatas, kita tidak tahu sesuatu yang ghaib melainkan Allah Maha mengetahui. Kemudian, ikhlas lah dan yakinlah setiap apa yang kita lakukan sama ada baik atau buruk, Allah pasti akan membalasnya. Sematkan ini juga di hati kita. Kita tak boleh lemah.

 * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Jagalah hubungan kita dengan Allah, Banyakkan zikir. Singkapkan kembali definisi cinta yang kita terapkan di minda dan jiwa kita. Jika benar mencintai, bukan dengan cara ber dua-duaan. Couple atau coupling bukan syarat untuk mengatakan dia adalah jodoh kita. Ramai yang bercouple tetapi selepas nikah setahun dua, dah bercerai. Adakah itu di namakan jodoh? Wallahua’llam. Ya, putus cinta atau cinta di tolak ini memberi impak yang amat besar untuk saya dan saya tahu, untuk anda juga? sama-samalah kita muhasabah diri. ingat, setiap kesulitan pasti akan di sertakan dengan kemudahan. Peganglah pada janji-janji Allah. Dia sentiasa dekat dengan kita. Sebagai penutup kita renungkan maksud ayat di bawah ini;
“dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” Surah At-Talaq ayat 2-3.

http://zoncinta.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan