Rezeki sedikit atau banyak bukan persoalannya. Yang diutamakan adalah berkat. Apa guna dapat rezeki banyak tetapi tak berkat. Banyak mana pun masih tidak mencukupi. Selalu tidak puas hati. Sebaliknya kalau rezeki itu berkat, biarpun sedikit itu memadai. Apa yang ada diterima penuh redha dan kesyukuran. 
 
Cuba faham dulu konsep keberkatan, mesti kita tak cepat merungut walau kadang rezeki cukup-cukup makan saja. Malah rasa lapang dada dengan apa yang ada. 
 
Adakah rezeki yang kitadapat itu sudah dibersihkan untuk mendapatkan keberkatannya. Sama-sama dalami tip mendapat keberkatan rezeki...
 
 
1. Sedekah
Ini salah satu cara membersihkan rezeki yang diperoleh setiap bulan. Ringankan tangan menghulurkan sedekah kerana melalui cara itu kita akan mendapat keberkatan dalam rezeki. Jangan takut berkongsi sebab cara ini buat rezeki anda lebih cukup, malahan dapat menyimpan walaupun habuan yang diterima pada setiap bulan itu tidaklah lumayan. Ya, itulah berkat.
 
 
 
 
2. Ibu dan ayah
Ramai terlupa akan tanggungjawab sebagai seorang anak. Jangan berkira untuk hulurkan wang saku pada ibu dan ayah setiap bulan. Ingat dan percayalah, kalau selalu gembirakan kedua orang tuan kita mendapat redha daripada Allah SWT. Tak payah nak berkira dengan ibu dan ayah, anggaplah itu pemberian tetap pada setiap bulan yang perlu dilunaskan. 
 
 
3. Mudahkan urusan orang
Ketika kita senangkan urusan orang lain Allah juga akan membantu memudahkan segala urusan kita pula. Jangan berat tulang menolong dan meringankan bebanan orang lain kerana di situ juga akan mendatangkan keberkatan dalam rezeki yang kita nak dapat. 
 
 
4.  Jangan langgar apa yang haram
Taat perintah Allah dan cuba tinggalkan segala larangan Nya juga. Tak kiralah dalam punca rezeki atau sebaliknya. Mentaati perintah Allah adalah kata kunci untuk berjaya di dunia dan juga di akhirat. Kita jaga solat, rezeki lagi makin mudah. Jangan jadikan sibuk sebagai alasan untuk buat ibadat. 
 
 
5. Muliakan anak yatim
Dalam setiap rezeki yang kita peroleh, adanya hak orang lain. Jadi berikan pada yang benar-benar memerlukan. Muliakan anak yatim dan bantu mereka akan menjadikan rezeki yang diperoleh walaupun sedikit insya-Allah akan mencukupi. Jangan beranggapan dengan banyak memberi akan menjadikan kita kehabisan. Sebenarnya lagi banyak kita memberikan selagi itu Allah SWT akan lipat gandakan rezeki untuk kita. 
 
 
 
6. Ada rezeki lebih, dahulukan haji dan umrah
Kalau sudah berkemampuan dan sihat tubuh badan lakukanlah haji dan umrah. Ziarah tempat-tempat suci di Makkah dan Madinah pastinya akan membuatkan hati bertambah tenang dan mampu beribadat kepada Allah SWT. Dengan rezeki yang halal pastinya ia akan memberikan ketenangan yang hakiki kepada diri.   
mingguan wanita