Cuti sekolah datang lagi. Sinonimnya cuti sekolah yang panjang, penuhlah majlis walimatulurus atau resepsi meraikan cinta uda dan dara. 
 
 
Ingat ya anak muda, tak perlulah berhutang dengan mana-mana pihak semata majlis bersanding. Berbelanja ala kadar mengikut keperluan. 
 
 
Semua orang tahu, walimatulurus ialah kenduri bagi meraikan atau merayakan pengantin baru. Walimah ialah jamuan agama, bukan jamuan adat kebiasaan yang dibuat kerana Allah, bukan jamuan kebanggaan dan bukan sumber mendapatkan keuntungan duniawi. Ya, buat majlis walimah adalah sangat digalakkan dalam Islam. Hukum mengadakan kenduri kahwin ini adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut.
 
 
Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa majlis meraikan pengantin memang wajar diadakan tetapi perlu diingat, tidak boleh ada unsur-unsur yang menyalahi hukum syarak. 
 
 
BAB TERIMA JEMPUTAN
Kalau terima jemputan ke majlis perkahwinan, anda wajib menghadirinya kecuali ada sesuatu keuzuran. Hukum ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Apabila kamu dijemput untuk menghadiri majlis kenduri kahwin, hendaklah kamu menghadirinya". – hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
 
 
Hukum wajib ini adalah berdasarkan syarat-syarat berikut iaitu majlis walimah itu:
 
1. Ada jemputan pelbagai golongan dan tidak terhad golongan yang kaya sahaja.
 
2. Tidak ada perkara yang mungkar dan maksiat seperti arak, judi dan majlis tari menari atau nyanyian melalaikan.
 
3. Tak ada percampuran bebas antara lelaki dan perempuan.
 
4. Tak menggunakan peralatan makan dan minum daripada barang yang diharamkan seperti emas, perak dan sutera. 
 
 
 
 
Tujuan sebenar buat walimah, untuk mengumumkan pernikahan di samping menggembirakan pengantin yang baru memasuki alam perkahwinan. Walimah juga sebagai tanda kegembiraan orang tua kerana mendapat menantu baru. Pengumuman yang sebaik-baiknya ialah majlis perkahwinan yang diadakan di masjid dan dipukul gendang dan rebana.
 
 
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Umumkanlah perkahwinan dan selenggarakanlah di masjid dan pukullah gendang dan rebana pada hari perkahwinan itu.” – hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi.
 
 
Tidak menjadi kesalahan kepada kita untuk mengikut adat resam sesebuah kaum asalkan adat itu tidak bertentangan dengan syarak. Maksud bertentangan dengan syarak adalah termasuk memeras satu pihak bagi menjayakan walimah yang dihajati oleh pihak yang lain.
 
 
Jangan ambil mudah dalam perkara meraikan majlis perkahwinan kerana ini juga menjadi punca perkahwinan sepasang pengantin tidak diberkati Ilahi dan sukar mencapai bahagia, nauzubillah. Lebih molek majlis yang mudah dan ringkas tetapi memuaskan hati semua pihak yang terlibat dan memberikan pahala, insya-Allah. 
  mingguan wanita