Dalam keadaan ekonomi hari ini, ramai yang mengeluh soal kos sara
hidup yang semakin tinggi dan mencari peluang lain dalam menjana
pendapatan tambahan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Industri Datuk Ahmad
Maslan melancarkan kempen #TambahPendapatan baru-baru ini bagi
mengalakkan orang ramai untuk melihat Internet sebagai peluang dalam
menjana pendapatan tambahan melalui perniagaan secara separuh masa.
Peluang memulakan perniagaan Internet secara sambilan sememangnya
antara pilihan yang boleh dimulakan oleh sesiapa saja. Justeru kini,
rata-rata menggunakan telefon pintar yang dalam capaian tangan boleh
mengakses kedai dalam talian (online) tempatan dan seluruh dunia dengan
hanya tekanan beberapa butang.
Keadaan ini satu peluang terbuka luas khususnya bagi mereka yang
ingin menjana pendapatan tambahan melalui perniagaan dalam talian.
Pasaran yang begitu besar dan luas dalam kalangan pengguna telefon
pintar dan Internet itu sendiri menjadi pasaran sedia ada bagi peniaga
Internet secara sambilan.
Untuk memudahkan langkah awal dalam memulakan perniagaan Internet
secara sambilan, formula 3P boleh digunakan iaitu produk, platform dan
promosi. Apakah maksud formula 3P?
P- untuk Produk
Memulakan perniagaan Internet pastinya memerlukan produk atau
perkhidmatan untuk dijual. Ini terutama jika perniagaan yang ingin
dimulakan adalah perniagaan sambilan, terbaik memulakan perniagaan yang
berdasarkan minat atau hobi kita.
Apa tidaknya, apabila balik dari pejabat mungkin sudah penat bekerja,
tiba masanya untuk melakukan sesuatu yang boleh memberi kepuasan kepada
diri sendiri, bukan saja pada wang. Jadi, P yang
pertama adalah mendapatkan produk dan perkhidmatan mengikut minat atau hobi.
Melakukan sesuatu perniagaan berdasarkan minat bukan saja memberi
kepuasan, tetapi juga memberi momentum untuk terus berusaha. Perniagaan
yang dijalankan tidak dilihat sebagai satu ‘kerja’, tetapi sebagai suatu
hobi yang dilakukan pada masa lapang. Bayangkan, melakukan sesuatu yang
digemari dan kemudian menjana pendapatan!
P- untuk Platfom
Untuk memulakan perniagaan sambilan cara mudah adalah dengan menggunakan platfom yang anda sedia ketahui.'
Contoh, mungkin anda biasa menggunakan Facebook atau Instagram.
Mungkin juga kita sering menonton video di YouTube dan menggunakan
e-mel. Contoh sebegini saja dapat memberi gambaran bahawa ilmu
menggunakan perisian ini sudah anda miliki cuma kaedah hendak menjadikan
platform yang kita biasa gunakan ini untuk berniaga.
Mungkin kini kita sering menggunakan Facebook untuk mendapatkan
informasi dan berhubung dengan kenalan dan keluarga atau menggunakan
emel untuk tugas harian. Sekurang-kurangnya kita sudah tidak lagi
janggal dalam menggunakan platfom sebegini kerana asas penggunaannya
sudah kita ketahui. Ini akan menjimatkan banyak masa dan usaha - tidak
perlu lagi belajar dari mula, tetapi perlu tahu cara menggunakannya
untuk tujuan berniaga.
P- untuk Promosi
Pelajari strategi dan teknik promosi platfom yang anda pilih. Tanpa
teknik dan strategi yang betul, pastinya sukar mendapat pelanggan. Ramai
yang bertanyakan saya, mereka sudah menggunakan Facebook, Instagram dan
platform media sosial lain tetapi masih sukar mendapat pelanggan.
Jawapannya mudah. Teknik dan strategi promosi yang digunakan itu
tidak efektif. Malah ada yang hanya menjatuhkan kredibiliti perniagaan
sendiri kerana melakukan teknik yang tidak beretika (tanpa disedari).
Teknik promosi juga berbeza untuk platform yang dipilih.
Teknik promosi Facebook berbeza daripada e-mel. Teknik promosi
YouTube juga berbeza dengan Instagram. Sememangnya lebih banyak teknik
dan kaedah promosi yang dipelajari, ia lebih baik untuk perniagaan.
Namun untuk perniagaan sambilan, memadai untuk kita mengetahui teknik
terbaik untuk satu-satu jenis platfom yang dipilih dan beri fokus
kepada platfom terbabit saja kerana kekangan masa menjalankan perniagaan
sambilan.
Formula pendapatan tambahan menggunakan 3P adalah untuk
mempermudahkan usaha dalam memulakan dan menjana pendapatan sambilan
tambahan. Faktor kekangan masa, modal dan ilmu berniaga khususnya
memerlukan peniaga sambilan di Internet memberi fokus kepada kekuatan
dan kelebihan sedia ada pada diri dan memanfaatkannya supaya relevan
untuk menjana pendapatan tambahan di Internet.
Dalam mencapai kejayaan perniagaan sama ada sepenuh masa atau
sambilan, ia semestinya memerlukan usaha. Dalam keadaan kos hidup yang
kian meningkat, usaha perlu dipertingkatkan dan alasan perlu dibuang.
Bilakah waktu terbaik memulakan perniagaan sambilan menggunakan formula 3P?
Tidak kira waktu! Apa yang penting, anda mulakan perniagaan sekarang.
Anda sendiri yang perlu menjadikan waktu ini waktu terbaik dalam
memulakan perniagaan.
Sekiranya ingin memulakan perniagaan, jangan fikir negatif pada diri
sendiri. Jika berfikir negatif, maka sampai bila pun kita tidak akan
mengambil langkah pertama.
Teringat saya pada satu mutiara kata. “Adakalanya kita akan menyesal
dengan apa yang sudah kita lakukan. Tetapi adakalanya juga kita akan
menyesal dengan apa yang kita TIDAK LAKUKAN.
Jangan pula satu hari nanti, dua tahun akan datang, lima tahun akan
datang atau 10 tahun akan datang, anda terfikir kembali. Kalaulah aku
mulakan perniagaan 10 tahun dulu, kan ke hidup aku dah berubah.”
mymetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan