Home Klik Di Bawah

Sabtu, 3 Ogos 2013

Kisah Untuk Iktibar - Apa Jadi Pada Lobak Merah, Telur Dan Kopi Setelah Direbus?

Seorang anak mengeluh pada ayahnya mengenai kehidupannya dan bertanya mengapa hidup ini terasa begitu sukar dan menyakitkan baginya. Dia tidak tahu bagaimana untuk menghadapinya dan hampir menyerah kalah dalam kehidupan. Setiap kali satu masalah selesai, timbul pula masalah baru.

Ayahnya yang bekerja sebagai tukang masak membawa anaknya itu ke dapur. Dia mengisi tiga buah periuk dengan air dan menjerangkannya diatas api. Setelah air di dalam ketiga periuk tersebut mendidih, dia memasukkan lobak merah di dalam periuk pertama, telur dalam periuk kedua dan serbuk kopi dalam periuk terakhir.
 
Dia membiarkannya mendidih tanpa berkata-kata. Si anak tertanya-tanya dan menunggu dengan tidak sabar sambil memikirkan apa yang sedang dilakukan oleh ayahnya. Tentunya dia sedar ayahnya sedang menunjukkan sesuatu pengajaran padanya berkait apa yang ditanya.
 
Setelah 20 minit, si ayah mematikan api. Dia menyisihkan lobak merah dan menaruhnya dalam mangkuk, mengangkat telur dan meletakkannya dalam mangkuk yang lain dan menuangkan kopi di mangkuk lain.
 
 
Lalu dia bertanya kepada anaknya, "Apa yang kau lihat, nak?" "Lobak merah, telur dan kopi", jawab si anak. Ayahnya meminta anaknya merasa lobak merah itu. Dia melakukannya dan berasa bahawa lobak itu sedap dimakan. Ayahnya meminta mengambil telur itu dan memecahkannya. Setelah membuang kulitnya, dia dapati sebiji telur rebus yang isinya sudah keras.

Akhir sekali, ayahnya memintanya untuk merasa kopi. Dia tersenyum ketika meminum kopi dengan aromanya yang wangi. Setelah itu, si anak bertanya, "Apa erti semua ini, ayah?" Ayah menerangkan bahawa ketiga-tiga bahan itu telah menghadapi kesulitan yang sama, direbus dalam air dengan api yang panas tetapi masing-masing menunjukkan reaksi yang berbeza.
 
Lobak merah sebelum direbus; kuat, keras dan sukar dipatahkan. Tetapi setelah direbus, lobak merah itu menjadi lembut dan mudah dimakan. Telur pula sebelumnya mudah pecah dengan isinya yang berupa cairan. Tetapi setelah direbus, isinya menjadi keras. Serbuk kopi pula mengalami perubahan yang unik. Setelah berada didalam rebusan air, serbuk kopi mengubah warna dan rasa air tersebut.
 
"Kamu termasuk golongan yang mana? Air panas yang mendidih itu umpama kesukaran dan dugaan yang kamu lalui. Ketika kesukaran dan kesulitan itu mendatangimu, bagaimanakah kau menghadapinya ? Apakah kamu seperti lobak merah, telur atau kopi ?" tanya ayahnya.
 
Bagaimana dengan kita? Apakah kita seperti lobak merah yang kelihatan keras, tapi setelah diuji dengan penderitaan dan kesulitan, adakah kita akan berubah menjadi lemah dan kehilangan semangat serta kekuatan?
 
Atau, apakah kita seperti telur yang pada awalnya memiliki hati lembut, dengan jiwa yang dinamis? Namun setelah adanya ujian, kesakitan, kematian, patah hati, penceraian atau apa saja cabaran dalam kehidupan akhirnya kita menjadi keras, pasif dan kaku. Dari luar rupa kita masih kelihatan sama, tetapi di dalam diri kita apakah kita telah hilang jati diri dengan jiwa dan hati yang kaku?
 
Atau adakah kita seumpama serbuk kopi yang direbus? Adakah kita mampu menjadi sepertinya? Serbuk kopi yang dilihat tidak punya kekuatan apa-apa tetapi berjaya mengubah keadaan air panas menjadi harum, wangi dan lazat. Hebatnya suatu yang dilihat lemah tetapi berjaya menghadapi ujian kesulitan dengan jiwa positif. Air panas mendidih yang semulajadinya begitu menyakitkan, dapat ditempuhi dengan begitu bersahaja. Ketika air mencapai suhu terpanas, kopi akan terasa semakin nikmat.
 
Alangkah luar biasanya individu yang seperti serbuk kopi ini. Ketika kesulitaan, penderitaan atau kesusahan menjadi semakin buruk atau memuncak, mereka rupanya akan menjadi semakin baik. Impak yang ditempuhi adalah positif dan bahkan mampu membuatkan keadaan disekitarnya juga menjadi semakin baik. Samalah halnya dengan serbuk kopi yang berjaya mengubah air panas yang merebus-didihkannya menjadikan ia lebih sedap dan enak untuk diminum. Apakah kita seperti itu?" 

Semua manusia menghadapi kesulitan dan kepayahan yang sama tetapi hasil atau natijah dari rebusan kesengsaraan itu tetaplah berbeza. Ianya bergantung bagaimana diri seseorang itu menghadapinya secara matang dan positif. Individu yang bernasib malang akan gagal sebaik menempuh ujian. Dia sudah menyerah kalah di awal-awal lagi. 

Ada juga individu yang cuba bertahan dengan melepasi tahap ujian demi ujian tetapi ia akhirnya juga kecundang. Kadang-kadang makin digagah untuk bertahan - tapi oleh kerana jati-dirinya tidak kuat - dia akhirnya terjelapak jatuh dengan lebih sakit dan menderita.

Hanya orang-orang pilihan sahaja yang mampu melepasi ujian dan halangan. Mereka ini berjiwa besar dan positif. Tidak ada kesulitan bagi mereka. Bagi mereka, kegagalan, merajuk atau kekecewaan tidak ada di dalam kamus hidup mereka. Mereka menghadapi segalanya dengan senyuman. 

Hati mereka bulat dan ikhlas menerima segalanya yang datang Tuhan mereka. Sebab itu mereka menghadapi ujian dengan penuh ketenangan. Mereka tidak melatah atau keluh kesah. Mereka tidak mencari salah orang lain. Mereka menghadapinya sendirian. Semakin banyak mereka diuji, semakin mantap pergantungan hati dengan Tuhan mereka. Semakin lama mereka diuji, semakin tenang jiwa mereka. 

Hakikatnya ujian yang mereka hadapi menjadi sumber keberuntungan yang luar biasa. Hati mereka mencapai tahap pasrah kepada Tuhan dengan sepenuh hati. Redhanya hati mereka dengan apa yang terjadi begitu terasa dan memberi kesan kepada orang lain. Malah orang sekeliling mendapat motivasi, dorongan dan semangat keyakinan. 

Demikianlah hebatnya orang-orang Tuhan. Ujian bukan penghalang untuk mereka maju memerdekakan diri dari nafsu syaitan yahudi dan bahkan mampu menyelamatkan orang lain. Bagi para pejuang, mereka sedikitpun tidak melihat kepada ujian, halangan atau masalah yang sedang dihadapi. Mereka lebih melihat sebaliknya. Hati mereka lebih fokus kepada Tuhan yang sedang menguji mereka. 

Sedangkan Tuhan itulah kecintaan mereka selama ini. Hati mereka yang sudah sedia terhubung dengan Tuhan semakin dirasakan terdorong untuk lebih dekat denganNya. Melalui ujian, hati akan lebih cepat tersentuh dan terpanggil untuk kekal terhubung dengan Tuhan.

http://suaramuhajirin313.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan