Saat yang dinanti hampir tiba. Si comel bakal dilahirkan. Sudah pasti bukan ibu sahaja risau dan gemuruh berhadapan saat itu, bapa juga terkena tempias yang sama. Oleh itu, suami juga harus bersedia dengan sebarang situasi semasa isteri menjalani proses bersalin. 
 
 
Suami perlu tampil dengan ceria untuk memberi aura positif ketika isteri memerlukannya. Bagi bakal bapa anda boleh mengikuti panduan ini ketika berhadapan dengan situasi kelahiran itu. 
 
 
Tahu keperluan isteri
Berbincanglah dengan isteri terlebih dahulu mengenai keperluannya sepanjang berada di dalam bilik bersalin. Anda bertanggungjawab memaklumkan perkara ini kepada doktor. Jika isteri anda mempunyai pelan kelahiran, jangan lupa membawanya apabila tiba masanya nanti.
 
 
Kurangkan sakit kontraksi isteri
Ketika isteri berhadapan dengan sakit kontraksi, suami perlu memainkan peranan  membantu mengurangkan rasa sakit yang dialami. Kenal pasti sesuatu yang boleh mengalihkan perhatian setiap kali kesakitan dialami. 
Anda digalakkan mengikuti kelas antenatal bersama isteri supaya apabila berhadapan dengan situasi sebenar, anda tahu apa yang perlu dijangkakan. Dengan mengikuti kelas antenatal, anda mempunyai maklumat mengenai proses kelahiran dan perkara-perkara berkaitan dengannya.
 
 
Sediakan keperluan diri
Bersedia jika anda perlu menemani isteri apabila ditahan di wad sebelum melahirkan. Jangan lupa lengkapkan barangan peribadi bersama beg isteri dan bayi. Anda disarankan membawa selipar, baju T dan kelengkapan mandi, tidak ketinggalan, bawa juga snek dan minuman yang boleh dijamah ketika kelaparan.
 
 
Buat keputusan tepat
Hanya anda dan isteri tahu apa yang anda berdua mahukan. Dalam keadaan sakit kontraksi, isteri anda mungkin tidak dapat membuat keputusan. Jadi, sentiasa bersedia membuat keputusan apabila situasi memerlukan anda berbuat demikian. 
 
 
Penuhi kemahuan isteri di wad
Walaupun terdapat ramai orang lebih berpengalaman di sekeliling kalian yang boleh membantu, anda adalah ‘tulang belakang’ paling penting bagi isteri. Buatlah apa sahaja dan dapatkan apa-apa jua yang diperlukannya. Hal ini termasuklah anda terpaksa berlari ke kafeteria untuk membeli gula-gula atau mengambilnya segelas air. 
 
 
Sabar menunggu
Tidak seperti yang anda lihat dalam drama mahupun filem, kebanyakan wanita terpaksa menempuh sakit bersalin selama berjam-jam sebelum ke hospital. Banyak pasangan yang berasa bahawa diri lebih selesa berada di rumah pada peringkat awal proses kelahiran. Malah, kebanyakan hospital menyarankan anda hanya datang ke hospital setelah merasai kesakitan kontraksi setiap lima minit sekali. 
mingguan wanita