Saat yang dinanti hampir tiba. Si comel bakal dilahirkan. Sudah pasti
bukan ibu sahaja risau dan gemuruh berhadapan saat itu, bapa juga
terkena tempias yang sama. Oleh itu, suami juga harus bersedia dengan
sebarang situasi semasa isteri menjalani proses bersalin.
Suami perlu tampil dengan ceria untuk memberi aura positif ketika
isteri memerlukannya. Bagi bakal bapa anda boleh mengikuti panduan ini
ketika berhadapan dengan situasi kelahiran itu.
Tahu keperluan isteri
Berbincanglah dengan isteri terlebih dahulu mengenai keperluannya
sepanjang berada di dalam bilik bersalin. Anda bertanggungjawab
memaklumkan perkara ini kepada doktor. Jika isteri anda mempunyai pelan
kelahiran, jangan lupa membawanya apabila tiba masanya nanti.
Kurangkan sakit kontraksi isteri
Ketika isteri berhadapan dengan sakit kontraksi, suami perlu memainkan
peranan membantu mengurangkan rasa sakit yang dialami. Kenal pasti
sesuatu yang boleh mengalihkan perhatian setiap kali kesakitan dialami.
Anda digalakkan mengikuti kelas antenatal bersama isteri supaya apabila
berhadapan dengan situasi sebenar, anda tahu apa yang perlu
dijangkakan. Dengan mengikuti kelas antenatal, anda mempunyai maklumat
mengenai proses kelahiran dan perkara-perkara berkaitan dengannya.
Sediakan keperluan diri
Bersedia jika anda perlu menemani isteri apabila ditahan di wad sebelum
melahirkan. Jangan lupa lengkapkan barangan peribadi bersama beg isteri
dan bayi. Anda disarankan membawa selipar, baju T dan kelengkapan
mandi, tidak ketinggalan, bawa juga snek dan minuman yang boleh dijamah
ketika kelaparan.
Buat keputusan tepat
Hanya anda dan isteri tahu apa yang anda berdua mahukan. Dalam keadaan
sakit kontraksi, isteri anda mungkin tidak dapat membuat keputusan.
Jadi, sentiasa bersedia membuat keputusan apabila situasi memerlukan
anda berbuat demikian.
Penuhi kemahuan isteri di wad
Walaupun terdapat ramai orang lebih berpengalaman di sekeliling kalian
yang boleh membantu, anda adalah ‘tulang belakang’ paling penting bagi
isteri. Buatlah apa sahaja dan dapatkan apa-apa jua yang diperlukannya.
Hal ini termasuklah anda terpaksa berlari ke kafeteria untuk membeli
gula-gula atau mengambilnya segelas air.
Sabar menunggu
Tidak seperti yang anda lihat dalam drama mahupun filem, kebanyakan
wanita terpaksa menempuh sakit bersalin selama berjam-jam sebelum ke
hospital. Banyak pasangan yang berasa bahawa diri lebih selesa berada di
rumah pada peringkat awal proses kelahiran. Malah, kebanyakan hospital
menyarankan anda hanya datang ke hospital setelah merasai kesakitan
kontraksi setiap lima minit sekali.
mingguan wanita
Tiada ulasan:
Catat Ulasan