Persepsi yang buruk membunuh. Persepsi yang baik membantu kita berdamai dengan takdir Allah..
Pernah atau tidak kita berusaha sedaya mungkin hanya untuk membuat insan yang kita sayangi tersenyum?Malah disaat mereka memberikan senyuman, kita yang merasa gembira lebih daripada mereka walaupun pada hakikatnya usaha yang kita lakukan sangat menyakitkan.
Saya ingin membawa anda duduk sebentar merenung dan mengingat kembali saat-saat yang anda rasa membahagiakan.
Cuba imbas kenangan-kenangan bahagia anda.
Pasti anda akan tersenyum sendirian. Melihat foto-foto yang merakam detik-detik bahagia anda, terdetik di hati alangkah gembiranya saat itu.
Tersenyum ketika gembira dan bahagia cukup mudah namun, mampukah kita tersenyum di saat diri dihimpit kekesalan, kegusaran, kegagalan dan kesempitan?
Satu persoalan yang tiba-tiba melupakan sebentar kenangan yang anda imbas sebentar tadi.
Membawa anda jauh menyelusuri detik-detik yang memilukan, menyedihkan dan menyesakkan.
Semua manusia di bumi ini pasti akan diuji.
Ujian ini tidak semestinya pahit malah kesenangan dan kegembiraan juga merupakan satu ujian buat diri kita yang bergelar hamba Allah.Hidup ini pasti ada pasang surutnya. Kadang kala kita di atas dan kadang kala kita di bawah. Langit tidak selalunya cerah.
Setiap daripada kita ditimpakan dengan berbagai ujian yang berbeza tanda kasih sayang daripada yang Maha Penyayang.
Allah berfirman dalam surah Al Ankabut ayat 2-3, yang bermaksud:
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan (saja) mengatakan kami telah beriman sedang mereka tidak diuji lagi. Dan sungguh kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”Menerusi ayat cintaNya dapat kita simpulkan bahawa ujian ini merupakan salah satu kekuasaan Yang Maha Esa untuk menilai hambaNya yang ikhlas mencintaiNya.
Hanya yang benar-benar yakin dengan kekuasaan dan janji Maha Esa mampu mengatur langkah mencari setiap hikmah ujian sambil hatinya berkata “Ujian ini milik Allah. Dia Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Hanya pada Allah kami memohon harap dan pertolongan”.
Bangunlah.. walaupun sukar.
Tidak dinafikan tidak mudah bagi jiwa seorang hamba untuk tidak berasa sedih jika dihadapkan dengan ujian yang bertimpa sementalah ujian-ujian itu amat memeritkan seperti kehilangan orang tersayang, dikhianati atau disisihkan oleh keluarga.Namun, itu bukan alasan untuk kita terus bangkit.
Yakin dengan kekuasaan Allah, pasti Allah sedang menyiapkan sesuatu untuk hambaNya. Teruskan melangkah, ambil hikmahnya.
Lain orang, lain caranya.
Walaupun ujiannya sama, tetapi cara mengatasinya berbeza.
Saya berikan contoh untuk kita melihat lebih jelas. Sekumpulan pelajar ingin melancong ke Pulau Langkawi.
Ada yang menaiki bas, ada yang menaiki kapal terbang dan ada yang menaiki kereta. Di sepanjang perjalanan, yang menaiki bas diuji dengan kesesakan jalan raya.
Yang menaiki kereta diuji dengan tayar pancit. Yang menaiki kapal terbang pula diuji dengan jadual penerbangan yang ditangguhkan.
Namun, akhirnya mereka sampai ke destinasi yang dituju. Begitu juga dalam kehidupan, dunia ibarat persinggahan dan akhirat merupakan matlamat atau destinasi akhir yang ingin dituju.
Pelbagai ujian akan kita lalui dan setiap laluan yang kita pilih juga berbeza, namun, jika kita berusaha dan bertawakal kepadaNya tidak mustahil kita dapat sampai ke destinasi akhir tersebut.
Ada yang kandas di perjalanan hanya kerana sikap meratapi setiap ujian, menyalahkan takdir, enggan berusaha, menyepi diri dan bodoh sombong.
Kikislah sifat-sifat ini.
Mana mungkin kita akan berjaya jika kita masih di takuk lama. Manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah. Yang diciptakan akal untuk berfikir.
Bagaimana mencari nikmat dalam setiap ujian?
Di sini suka saya kongsikan beberapa tips bagaimana menukar persepsi bahawa ujian itu nikmat- Yakin dengan ketentuan Allah (pasti Allah menggantikan yang lebih baik dan yakinlah Allah sedang mengabulkan doa kita bahawa Allah sedang memberikan petunjuk dan yang terbaik untuk kita)
- Berfikiran positif (sentiasa mengucapkan kata-kata positif dan memberi semangat pada diri untuk berubah ke arah kebaikan)
- Muhasabah diri (lihat kekurangan diri dan perbaiki)
- Bergaul dengan orang sekeliling (jangan sesekali menyendiri kerana waktu ini syaitan akan mula menghasut atau minta pertolongan insan yang dipercayai jika perlu)
- Alihkan perhatian (lakukan sesuatu yang dirasakan mampu mengubat diri)
Kesimpulan: Diuji tandanya Allah kasih dan sedang memerhatikan kita
Sedarlah bahawa:Allah tidak akan memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”Allah menurunkan ujian kepada hamba-hambaNya adalah sebagai bukti cintanya agar hambaNya sentiasa berasa bersyukur.
(Surah Al-Baqarah ayat 286)
Berbahagialah hamba-hambaNya yang sentiasa merasa bahagia dalam limpah kasih sayangNya.
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi perintahKu dan beriman kepadaKu agar mereka memperoleh kebenaran.”Jelaslah di sini bahawa pertolongan Allah itu sangat dekat.
(Surah Al-Baqarah ayat 186)
Sebagai hamba, puji serta syukur kepada Allah atas ujian dan rahmat yang diberikan. Patuhilah segala perintahNya dan tinggalkanlah laranganNya.
Janji Allah itu pasti.
Dan ingatlah bahawa:
Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”Untuk melepasi ujian-ujian hidup ini, usaha itu perlu.
(Surah Al Ra’d ayat 11)
Setelah berusaha, letakkan sepenuh pengharapan hanya padaNya kerana sesungguhnya hanya Dia yang berhak dalam mengizinkan sesuatu.
Wallahu’alam.
http://akuislam.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan