Nota Editor: Artikel ini asalnya telah dikongsikan oleh Ustaz Abu Basyer di Facebook.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah, Berdoa adalah amalan yang dituntut oleh
Islam. Seorang hamba yang merasa hina di sisi Tuhannya akan memanjatkan
permohonan dan doa kehadrat Allah SWT. agar ditunaikan segala hajat
yang diperlukannya. Ia merasa amat kerdil dan tidak ada pergantungan dan
pengharapan yang lain melainkan ditujukan kepada Allah yang Maha Esa.
Mohonkanlah kepada Allah SWT untuk mengatasi apa jua masalah yang
ditanggung, sama ada berkaitan diri sendiri, keluarga, masyarakat,
bahkan negara. Allah SWT tidak menyukai orang yang bermasalah, tetapi
sombong untuk bermohon kepadaNya, sebaliknya sanggup pula bermohon
kepada makhluk-makhluk yang tidak mempunyai sebarang kuasa, walaupun
untuk mencipta seekor lalat.
Tiada masalah yang tidak boleh didoa pada Allah SWT, Dia yang
mempunyai kerajaan, Dia yang memberi kekuasaan kepada sesiapa yang
dikehendaki-Nya dan Dia juga yang mencabut kekuasaan daripada sesiapa
yang dikehendaki-Nya. Kita selalu mengulangi pengakuan ini setiap kali
selesai menunaikan solat. Atas dasar ini, kita tidak harus bakhil untuk
berdoa untuk kemaslahatan dan tertunai segala hajat untuk diri kita,
keluarga, jiran tetangga, sahabat handai, saudara mara dan para alim
ulama dan para pendakwah semoga di beri kejayaan dan kekuatan oleh Allah
SWT untuk menyelesaikan semua masaalah yang di hadapi di dunia ini.
Sebagai seorang mukmin yang yakin di atas qadak dan qadar Allah SWT.
kita kena berfikiran positif dan yakin apa sahaja keputusan Allah SWT.
adalah keputusan yang terbaik, yang mana hanya Allah SWT. sahaja Maha
Mengetahui di atas kehidupan kita pada masa yang lepas, masa sekarang
dan pada masa akan datang. Terdapat tiga keadaan doa kita di sisi Allah
SWT. iaitu seperti berikut :
Pertama : Apabila Allah cepat makbulkan doa kalian, maka Dia menyayangimu.
Jika ia seorang pesakit, penderitaannya dirayu terus kepada Allah SWT
melalui doanya agar mengafiatkan penyakitnya. Jika ia seorang miskin,
maka kemiskinannya dirayu pada Allah SWT yang Maha Kaya dan mampu
mengatasi kemiskinannya. Kedudukan yang begitu rapat antara manusia
dengan Allah melalui doa, dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka
beritahu kepada mereka: ‘Sesungguhnya Aku sentiasa hampir kepada mereka.
Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa
kepada-Ku: (Surah al-Baqarah ayat 186).
Kedua : Apabila Dia lambat makbulkan doamu, Dia ingin mengujimu.
Menurut al-Khatabi : “Jika Allah tidak menjawab doa seseorang, Dia
akan memberikan kepadanya ketenangan dan kelapangan dalam hatinya atau
mengelakkan dirinya daripada kecelakaan, atau menggantinya dengan
pahala.”
Menurut hukama : “Manusia menyangka doa mereka tidak dimakbulkan,
sedangkan sebenarnya ia dimakbulkan melebihi daripada apa yang dipohon
atau ia menolak dengan musibah atau penyakit lebih banyak daripada apa
yang dipinta, atau diberikan ganjaran pada hari kiamat.”
Sehubungan itu, Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya cubaan.
Sesungguhnya, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menguji
mereka. Barang siapa yang reda dengan musibah itu maka baginya keredaan
Allah. Dan barang siapa yang marah (tidak reda) dengan musibah
berkenaan, maka baginya kemurkaan Allah.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)
Sabda Rasulullah lagi yang maksudnya: “Setiap sesuatu itu mempunyai
hakikat dan tidaklah seorang hamba mencapai hakikat iman sehingga dia
menyedari musibah yang menimpanya bukan untuk menyalahkannya dan
kesalahan yang dilakukannya bukan sebab untuk ditimpakan musibah
kepadanya.”
Sebelum Allah SWT menunaikan hajat hamba-Nya kadangkala diuji-Nya
dengan berbagai dugaan, yang penting kita perlu bersabar dan yakin
dengan janji Allah SWT, setiap kesusahan itu akan ada kebaikan dan
kejayaan.
Ketiga : Apabila Dia tidak makbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.
Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Boleh jadi kamu benci kepada
sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada
sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha
Mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
(Surah al-Baqarah ayat 216).
Allah SWT berfirman maksudnya : “Tidak luput darpada pengetahuan
Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang
lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar daripada itu melainkan
(semuanya tercatat) dalam kitab yang nyata (loh mahfuz)” (Surah Yunus ayat 61)
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud : “Allah SWT berfirman maksudnya : ‘Aku sesuai dengan
prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku’.”
(Hadis RiwayatAl-Bukhari)
Berdasrkan hadis di atas hanya doalah satu-satu cara yang boleh di
buat untuk merubah apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Ulama
mencadangkan bahawa bila kita berdoa perlu berulang-ulang kali jangan
jemu-jemu dan berserah bulat kepada Allah SWT.
Maksud hadis qudsi “Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku”
Bahawa bila kita yakin Allah SWT akan beri kebahagiaan untuk membina
rumah tangga muslim dan dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah,
maka keyakinan itu akan ditunaikan oleh Allah SWT.
Bila kita yakin Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosa kita dan
dimasukkan dikalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya di dunia dan akhirat
maka keyakinan ini akan ditunaikan oleh Allah SWT.
Bila kita yakin bahawa Allah SWT mencintai dan mengasihi kita dan di
jauhi dari musibah yang pernah kita alami dengan kekecewaan dan truma
sebelum ini, maka keyakinan ini akan ditunaikan oleh Allah SWT.
Bila kita yakin kita akan diberi rahmat oleh Allah SWT. dan
terpelihara iman dan akidah kita dan mendapat kematian yang baik iaitu
husnul khatimah (mati dalam mengucap kalimah syahadah), maka keyakinan
ini akan ditunaikan ole Allah SWT.
Sahabat yang dimuliakan, Selain daripada doa-doa yang kita pohon
untuk memenuhi hajat-hajat kita kepada Allah SWT mengenai urusan
duniawi, ada beberapa doa yang diajarkan Nabi SAW untuk kita
ulang-ulangkan setiap pagi dan petang adalah membaca doa berikut :
“Allahuma innanauzubika min annusrika bika syaian naklamuhu wanas taghfiruka limaa laa naklamu”
(Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu agar tidak
menyekutukan-Mu kepada sesuatu, sedang kami mengetahuinya, dan kami
memohon ampun terhadap apa-apa yang tidak kami ketahuinya.”
(Hadis Riwayat Ahmad)
“Allahumma laayakti bil hasanaati illah anta walaa yazhab bissaiaati illah anta walahaulaa kuwataillah billa”
(Ya Allah! Tiada yang mendatangkan kebaikan melainkan Engkau, dan tiada yang menghilangkan keburukan melainkan Engkau, tiada upaya melainkan dengan Allah)
(Hadis Riwayat Tirmizi)
(Ya Allah! Tiada yang mendatangkan kebaikan melainkan Engkau, dan tiada yang menghilangkan keburukan melainkan Engkau, tiada upaya melainkan dengan Allah)
(Hadis Riwayat Tirmizi)
Eloklah kita sentiasa membacanya setiap hari selepas solat Subuh dan
Asar, memohon kepada Allah SWT. agar terselamat daripada syirik
kepada-Nya dan sentiasa diberi kesihatan dan terhindar daripada musibah.
Oleh itu marilah kita jadikan doa-doa dan munajat kita kepada Allah
SWT sebagai keperluan dan diulang-ulangkan setiap masa hingga tidak ada
sesuatu pun yang kita perlukan melainkan kita meminta kepada Allah SWT.
Jika kita lapar, haus, sakit, sedih, gembira, perlu kepada kewangan,
perlu kepada isteri atau suami dan sebagainya terus minta kepada Allah
SWT kerana hakikatnya kita hamba yang lemah dan perlu kepada yang Maha
Kaya, Maha Berkuasa dan Maha Pengasih dan Penyayang iaitu Allah SWT.
Yakinlah doa-doa kita semuanya akan ditunaikan oleh Allah SWT samaada
tahap pertama, kedua atau ketiga seperti yang dinyatakan di atas.
islam ituindah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan